oh belog

Sunday, March 18, 2012

ORIGAMI_EPISODE 2


EPISODE 2


Petang itu nampak cerah seperti biasa. Langit pun nampak biru dengan sedikit awan di sini sana. Seorang kanak-kanak lelaki kelihatan baru pulang dari sekolah menggendong beg galas di belakangnya. Sesampainya di rumah, diletakkannya kasut di atas rak tepi pintu dan terus ke biliknya untuk mengganti baju. Di satu sudut kelihatan serang lelaki sedang tidur. Si anak ini tadi berjalan senyap-senyap bimbang lelaki itu tersedar dari nyenyak. Diam-diam dia terus menyelinap ke dapur. Dia tahu, sekiranya lelaki itu bangkit nantinya pasti ada saja yang tidak kena di matanya. Jadi dia berusaha untuk menjadi sesenyap mungkin.
          Anak kecil itu tadi terus membuka tudung saji. Meja makan itu kelihatan comot dengan nasi dan kuah-kuah yang tumpah. Bagai ada kucing rakus yang menjamah makanan sebelum itu. Lauk-pauk pun kelihatannya sudah tinggal saki baki. Anak itu menutup kembali tudung saji itu. Dia terus ke peti ais dan membuka laci di bawah sekali tempat selalu diisikan dengan sayur-sayuran oleh ibunya.
          Dari  situ dia keluarkan sekeping kertas. Terlipat rapi di bawah longgokan timun dan tomato. Segala perbuatannya itu bagaikan rutin. Dia bagaikan sudah terbiasa dengan kondisi seperti itu. Dibukanya lipatan kertas tadi dan terus dibacanya.
“ Hazim. Mak pergi kerja dulu ya. Mak dah masak. Tapi kalau ayah dah habiskan semua lauk, Hazim tahu nak cari kat mana kan sayang? Hari ni Hazim tolong pergi kedai beli barang-barang lagi ye.
Tepung gandum 2 kg
Gula 1kg
Kelapa parut sebiji
Telur 10 biji
Hazim cakap kat pak Mat semua tu masuk buku ya. Nanti cukup bulan mak bayar macam selalu. Hati-hati jalan ye nak. Nanti malam kita buat kuih sama-sama. Jangan bagi ayah marah-marah ok!”

          Hazim melipat kembali kertas itu ke dalam poketnya. Dia terus pergi ke almari. Membuka tin biskut dan mengeluarkan seketul ayam goreng dan telur goreng. Dia duduk di meja dan terus menyuap nasi ke dalam mulutnya. Usai makan dia terus ke sinki. Tanpa sedar kakinya tersadung seekor kucing yang dari tadi mengiau minta diberi makan. Pinggan di tangannya pun terlepas dan berderai di lantai.
Untuk seketika Hazim terdiam. Dia kaku. Telinganya ditumpukan pada sebarang bunyi yang datang dari arah depan. Takut ayahnya terjaga. Setelah pasti tiada apa-apa bunyi yang menandakan ayahnya telah bangun, dia terus mengambil penyapu dan membersihkan serpihan kaca-kaca tadi. Sedang  dia leka dengan serpihan-serpihan itu, dia tersentak apabila tiba-tiba telinganya dipulas dari belakang. Jantungnya bagai direntap. Rasa sakit yang teramat terus merebak ke seluruh badannya.
          “ oi budak celaka, engkau kalau satu hari tak buat masalah tak boleh ke? Perangai sebiji macam mak kau. Bodoh!” ayahnya berbisik dengan nada yang menakutkan di sebelah telinganya. Namun Hazim duduk diam sahaja. Dia tidak berani meronta atau mengaduh kesakitan. Kerana pengalaman-pengalamnnya sebelum ini mengajarnya untuk terus diam. Kalaupun mahu melawan, apalah sangat yang ada pada kudrat seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun sepertinya jika dibandingkan dengan lelaki dewasa. Makin dia meronta, makin teruk dia kena. Makin dia mengaduh, makin lama dia terseksa. Jadi kali ini dia memilih untuk kekal diam.
          “ engkau ni memang saja menaikkan darah aku kan! Maznah! Kau tengok anak kau ni buat apa! Bodohnya sama macam kau ni! Maznah! Mana mak kau? Oh baguslah dia da tak ada. Kau siap!” En Zamir bapa Hazim terus meluru ke biliknya. “kau duduk situ diam-diam!” dia keluar semula dengan tali pinggang tergenggam erat di tangan.
          Sesampainya di dapur terus dia hayunkan tali pinggang itu ke segenap tubuh anaknya itu. Terpejam-pejam mata Hazim menahan sakit. Air matanya mengalir tanpa sebarang suara yang keluar dari mulutnya. Tanpa belas tubuhnya dilibas berkali-kali. Namun dia hanya diam. Tak berani untuk berbuat apa-apa. Hinggalah jeritan ayahnya kedengaran ketika kakinya terpijak serpihan kaca di lantai dapur itu. Darah pekat kelihatan mengalir keluar dari tapak kaki lelaki itu.
          “aduh. Celaka punya budak! Ini semua kau punya pasal! Hei kau nak pergi mana?” Hazim terus mengambil peluang itu untuk melarikan diri. Dia dapat merasakan tali pinggang yang dibaling ayahnya tepat mengenai belakang badannya. Namun dia tidak berhenti. Dia terus berlari tanpa arah menjauhi bapanya. Berlari sekuat hati untuk menyelamatkan diri.
                                                *****************

          Sebuah mercedez hitam meluncur laju selepas keluar dari simpang tiga yang rosak lampu traffiknya itu. En Daris yang sedang memandu bernyanyi kecil mengikut rentak lagu Bukan Kerna Nama nyanyian Ramli Sarip yang berkumandang di radio. Isterinya Pn Rahemah yang duduk di sebelah hanya tekun membelek majalah yang dibelinya tadi.
          “ esok saya nak ke JB. Ada meeting di sana. Awak nak ikut?” En Daris menegur isterinya yang hanya diam sepulangnya mereka dari hospital tadi.
          “ kenapa awak ni? Sudahlah tu. Tak payahlah nak sedih-sedih ni. Ingat tu semua ujian Allah. Kita ni kena redha” En Daris menyambung perbualannya. Dalam hati dia tahu apa yang sedang bermain di benak isterinya itu. Dia pun merasakan perkara yang sama. Sudah lima tahun mereka berkahwin, namun masih belum dikurniakan anak. Dua tiga hari kebelakangan itu Pn Rahemah sering saja muntah-muntah dan pening kepala. Jadi mereka berdua menjangkakan bahawa itu adalah berita gembira yang bakal mereka terima. Jadi mereka terus ke hospital.
          Malangnya hasil pemeriksaan sebentar tadi, doktor mengesahkan bahawa Pn Rahemah cuma demam biasa dan dia perlukan rehat yang secukupnya. Perasaan yang tadinya berbunga gembira mengharapkan berita baik yang tak kunjung tiba berubah menjadi hiba. Sama keadaannya pada setiap kali mereka ditanyakan soal anak daripada siapa-siapa. Mereka begitu berharap dikurniakan seorang anak untuk melengkapi keluarga mereka. Sudah lima tahun mereka mencuba. Namun masih belum ada tanda-tanda kebahagiaan itu akan tiba.
          “ saya redha bang. Mungkin kita terlalu fikirkan sangat hal tu. Imah percaya tuhan dah rancangkan sesuatu yang terbaik untuk kita. Abang...Sebenarnya dah lama Imah nak cakap dengan abang pasal hal ini. Apa kata kita ambil anak angkat?” penuh hati-hati Pn Rahemah berkata pada suaminya. Takut cadangannya tidak diterima. Takut suaminya terasa hati atau apa-apa.
          “sebenarnya abang pun dah lama fikirkan hal itu. Kalau betul Imah nak ambil anak angkat, nanti kita cari sama-sama ya”  En Daris tersenyum memandang isterinya yang turut tersenyum memandangnya. Ada sinar bahagia di mata itu. Tangannya perlahan digerakkan mencari tangan si isteri di sebelahnya dan digenggam rapi.
          Tiba-tiba keadaan berubah. Sepantas kilat suasana itu berganti cemas yang tak terhingga. Seorang kanak-kanak lelaki berlari melintasi jalanraya itu sambil tangannya ditekupkan di muka tanpa menghiraukan kenderaan yang lalu-lalang.
          “bang ada orang bang!!” Pn Rahemah menjerit memberitahu suaminya. Brek ditekan kuat namun jarak yang terlalu hampir menyebabkan hampir mustahil sebarang perlanggaran dapat dielakkan. Tubuh kanak-kanak lelaki itu tercampak ke bahu jalan. Darah kelihatan mengalir dari dahi dan beberapa bahagian lain tubuhnya. Tangannya terkulai layu sambil menggenggam erat lipatan kertas putih yang tercemar merah dengan percikan darahnya
          “ya allah bang, cepat bang tengok budak tu!” Pn Rahemah dan suaminya bergegas keluar dari kenderaan itu lantas mendapatkan kanak-kanak lelaki tersebut.
                                                ****************
         
          Keadaan di hadapan pintu pagar utama Sekolah Menengah Taman Sentosa riuh rendah dengan suara pelajar-pelajar yang keluar setelah tamat sesi pembelajaran hari itu. Keadaan di luar pula sesak dengan kenderaan ibu bapa dan bas-bas sekolah yang sedang menunggu para pelajar keluar dari sekolah. Sebuah Satria Neo  berwarna putih diparkir di bawah pokok ara tidak jauh dari pintu pagar. Di pintu bahagian pemandu kelihatan seorang lelaki kurus sedang bersandar sambil memerhatikan  pelajar-pelajar yang sedang berjalan.
          Lelaki tadi menjengah seperti mencari seseorang. Dari jauh kelihatan empat orang remaja lelaki sedang berjalan ke luar pagar sambil tertawa sesama mereka. Setelah pasti remaja itu yang dia cari dari tadi, lelaki itu terus memanggil remaja tersebut.
          “Hadi! Hadii, sini!” lelaki itu melambai-lambi ke arah kumpulan remaja tadi. Kumpulan remaja yang sedang tertawa bergurau sesama sendiri itu pun segera terdiam.
          “ Alamak weh, Hadi, ada awek panggil kau lah kat sana tu! Cun gila” seorang dari remaja tadi berkata kepada Hadi  yang hanya terdiam di situ.
          “ Hahaha. Awek bendanya Ajib! Bapok doh tu! Dia panggil kau lah Hadi. Siapa doh? Kau kenal ke? Skandal ea? Ahaha anak ikan ke?” seorang lagi rakan Hadi bersuara. Kali ini Hadi semakin diam. Dia tidak tahu harus berbuat apa. Tiba-tiba, lelaki yang bersandar di kereta tadi itu berlari melintas jalan ke arah kumpulan remaja lelaki tadi. Rambutnya yang panjang itu mengurai-urai di tiup angin. Sesampainya di situ, lelaki tadi terus mendapatkan Hadi yang hanya terpacak membatu.
          “ Hadi, apsal lambat? Penat abang tunggu tau! Owh, ni ke kawan-kawan Hadi? Comel! Kenalkan, nama I Norazman. Panggil je Nora” Azman menghulurkan jari gemalainya untuk bersalaman dengan remaja-remaja itu.
          “ You ni siapa?” seorang dari remaja tadi yang bernama Ajib itu bertanya kepada Azman. Riak wajahnya nyata tidak selesa dengan keadaan itu. Tambahan pula banyak mata-mata yang memandang mereka berlima di situ.
          “ Owh, bagus you tanya! I ni abang angkat Hadi. Kan Hadi kan?”
          “ Abang Man buat apa kat sini? Mak mana?” Hadi yang dari tadi berdiam diri mula bersuara. Tapi nadanya jelas tersekat-sekat.
          “ Mak Hadi call tadi. Dia pesan suruh ambil Hadi sebab dia ada meeting mengejut. So abang datanglah. Lagipun kan haritu abang dah janji nak belikan Hadi hadiah hari jadi. Ingat tak? Abang dah beli dah. Special punya! Dah jom balik! Adik-adik, abang pinjam Hadi korang ye!” Azman segera menarik tangan Hadi dan menuju ke kereta. Serentak itu Hadi merentap tangannya dari tangan Azman. Rakan-rakannya yang lain hanya berpandangan sesama sendiri kehairanan.
          “ Abang Man balik je lah dulu. Hadi nak keluar ngan kawan-kawan lah” Hadi segera memusingkan badannya dan kembali berjalan ke arah teman-temannya. Azman yang berada di depan itu segera mendapatkan Hadi dan menarik tangannya kembali.
          “ Hadi nanti mak Hadi marahlah! Dah jom balik. Lain kalilah keluar ngan kawan-kawan tu. Nanti ajak abang sekali ok! Dah jom balik” Hadi tidak dapat berbuat apa. Dia sedar orang-orang sekeliling semua sedang memerhatikan gelagatnya dan Azman. Siapapun di situ pastinya perasankan Azman. Masakan tidak. Hari itu dia mengenakan kemeja putih berlengan panjang yang dilipat hingga ke lengan. Cermin mata gelap berbingkai merah jambu, seluar jeans ketat juga bewarna merah jambu, dan kasut hitam bertali juga merah jambu. Hadi hanya berjalan tunduk sehinggalah sampai ke kereta putih tadi dan terus masuk ke tempat duduk penumpang.
          Tiga remaja yang bersama Hadi tadi hanya terdiam. Mereka saling berpandangan. Ajib tersenyum. Mizi berkerut dahi. Dan Hakim terkebil-kebil. Di dalam kereta, sepanjang perjalanan Hadi hanya diam. Soalan-soalan Azman hanya dijawabnya sepatah. Sesampainya di rumah, dia terus membuka pintu kereta, masuk ke dalam lif dan terus naik tanpa menghiraukan Azman yang kebingungan di situ.
                                                ****************

Jimmy tersedar dari mimpinya. Nafasnya turun naik. Ditekupkan sebelah telapak tangannya pada muka. Lama dia terdiam begitu. Mimpinya yang tadi sekali lagi membuatkan dia buntu. Buntu mencari siapakah dirinya yang sebenar. Dia cuma ingat segala yang berlaku sewaktu usianya tujuh tahun. Tahun-tahun sebelum itu dia langsung tidak tahu.
Di mimpinya tadi dia lihat seorang wanita sedang menangisi seorang kanak-kanak yang terlantar di atas katil. Wanita itu jugalah yang kerap kali muncul dalam mimpinya. Terlalu kerap sehinggakan dia cukup kenal akan wajah itu. Sekali imbas wajah itu serupa dengan seseorang. Pembantu kantin sekolah rendahnya dulu. Namun seperti biasanya dia buntu. Apakah kaitan wanita itu sama mimpi-mimpinya selama ini. Jimmy segera menuju ke meja di tepi jendela. Mengeluarkan kertas putih dari laci dan mula menulis.

Mimpi yang tadi itu
Menemukan aku lagi dengan dia
Dia yang langsung tidak aku ketahui tentang apa-apa
Dia yang aku kenal cuma dalam lelap
Cuma dalam gelap
Aku mahu jumpa dia

Disetiap kali aku lihat
Yang nampak cuma air mata
Untuk apa dia menangis aku buntu
Untuk siapa dia meratap aku pasti itu aku
Siapa dia aku keliru

Tuhan, aku mahu lihat dia dalam sedar
Aku mahu lihat dia bukan dengan pudar
Sekali cuma
Aku mohon dengan sangat
Ketemukan insan itu pada aku
Mau kutanyakan dia tentang segala kekeliruan aku

Engkau yang menangis itu
Pandangkan wajahmumu kemataku lain kali
Mahu aku lihat puas-puas
Mahu aku tanyakan biar jelas
Tolong jangan biar aku terus tenggelam lemas
Mati dengan soalan tak berbalas


Jawabkan aku: camar kertas

          Usai mencoretkan itu, seperti kebiasaannya dia melipat kertas putih itu menjadi camar kertas dan terus membuka jendela. Dia melepaskan burung kertas itu dan memandangnya jatuh ke bawah. Dia terus menutup kembali jendela dan terus ke ruang tamu dan mencapai kunci kereta. Perutnya terasa lapar kerana belum makan tengahari. Basikalnya sudah ditempah tapi masih belum diterima kerana kehabisan stok.
          Di post pengawal kelihatan seorang gadis bertopi berjalan kaki masuk ke perkarangan kondominium itu. Seperti biasanya Hani akan pulang ke rumah dari tempat kerja pada waktu-waktu begitu. Pandangannya tertumpu ke arah rimbunan pokok pandan di bawah kondominium tersebut. Tempat biasanya dia temukan burung kertas bewarna putih jatuh. Dari jauh dia sudah melihat objek putih di sebelah rimbunan pandan. Dia terus berlari mendapatkan burung kertas tersebut dan menyimpannya di dalam beg.
          Hani terus menuju ke arah lif dan terus menekan butang naik. Pintu lif terbuka. Jimmy yang berada di dalam lif tadi terburu-buru keluar dan Hani pun masuk ke dalam.
          Beberapa langkah berjalan, Jimmy tersedar yang dompetnya tidak berada di poketnya. Dia segera berlari kembali ke arah lif yang hampir tertutup pintunya itu.
          “nanti,nanti nanti!!” Jimmy menahan pintu lif tersebut. Mujur masih sempat. Hani yang berada di dalam tidak langsung memandang Jimmy yang tercungap-cungap .
          “tingakat berapa?” Hani bertanya dingin.
          “ lapan” jawab Jimmy ringkas. Hani pun menekan butang bernombor lapan dan lif itu mula bergerak naik ke atas. Mereka berdua hanya diam. Hani yang memang tidak biasa berdua-duaan dengan lelaki lain selain Azman  di tempat seperti itu cuma memeluk tubuh tanpa suara. Jimmy pula hanya bersandar di dinding sambil menekan-nekan telefon bimbitnya tanpa sebab.
          Tiba-tiba lif itu terhenti dengan sedikit hentakan. Lampu terpadam. Hani menjerit terkejut dan telefon bimbit Jimmy pula terlepas dari tangannya. Keadaan gelap gelita itu buat mereka panik.
          “ cik awak ok?” Jimmy bertanya kepada Hani yang menjerit jelas terkejut dengan situasi itu. Dia segera mencangkung dan meraba-raba di lantai untuk mencari telefon bimbitnya yang terjatuh tadi. Tanpa sedar tangannya menyentuh kaki Hani. Serentak itu satu pelempang yang entah datang dari mana hinggap tepat di pipinya.
          “ oi kau jangan nak kurang ajar ok! Aku belasah kau kang!” Hani yang jelas marah dengan insiden itu menjerit kepada Jimmy.
          “ aduh! Eh sorry, sorry cik! Saya takde niat apa-apa pun.  Saya nak cari handphone saya jatuh. Sorry!” Jimmy yang nyata rasa bersalah itu berkali-kali meminta maaf dari Hani. Akhirnya dia temukan telefon bimbitnya di sudut kiri lif itu.
          “ Alah lelaki sekarang ni semua sama jelah! Suka ambil kesempatan. Kau buat lagi aku karate kau!” keadaan gelap gelita itu menyukarkan Hani untuk mengetahui kedudukan sebenar Jimmy. Yang termampu dia lakukan hanyalah menjerit mengancam Jimmy untuk tidak mendekatinya.
          Tiba-tiba lampu di atas mereka berkelip-kelip dan terus menyala semula. Semuanya kembali jelas. Hani sedang berdiri manakala Jimmy pula mencangkung sambil bersandar di dinding menekupkan tangannya ke muka. Rasa bersalah tiba-tiba menyelinap ke dalam hati Hani.
          “ Err kau ok ke? Sorrylah aku terkejut tadi.” Nada suara Hani luar biasa rendah daripada sebelumnya. Dia memandang Jimmy dengan rasa bersalah. Jimmy bangun dari duduknya. Digosokkan tangannya di pipi kirinya itu dan dijatuhkan ke bawah.
          “ Takpe, saya ok. Sorry saya tak sengaja tadi.” Jimmy memandang Hani di sebelahnya. Mata mereka bertemu. Serentak mereka berdua terdiam. Lantas masing-masing memalingkan muka dan membuat hal sendiri. Jimmy melihat kukunya dan Hani pula mengeluarkan telefon bimbit dan mendail seseorang.
          “ Ha hello, En Fauzi, lif ni rosak lagilah! Saya tersangkut kat dalam ni. Kata haritu dah ok. Datang cepat tau!” Hani meletak telefonnya. Dia mengeluh panjang.
          “ Awak kenal ke en Fauzi tu?” Jimmy memulakan bicara.
          “ kalau dah tiap-tiap bulan tersangkut macam ni mesti kenal nanti dengan si Fauzi tu” Hani jawab selamba. Tapi dia masih tidak berani memandang muka Jimmy.
          “ owh!” Jimmy pun kehabisan kata-kata. Selepas itu semuanya jadi sunyi. Tiada sesiapa pun yang bersuara. Penat berdiri lama, Hani duduk menyandar di di dinding lif itu. Dia masih tidak memandang wajah Jimmy. Hatinya berdegup kencang. Tidak pernah sekencang itu. Dia membuka beg tangannya dan mengeluarkan burung kertas bewarna putih itu dan membaca tulisan di dalamnya.
          Perbuatan Hani itu dilihat oleh Jiimmy. Jimmy terkejut melihat burung kertas yang dibalingnya tadi itu ada bersama-sama Hani.
          “Apa tu?” Jimmy bertanya penuh berharap yang burung kertas itu bukan miliknya.
          “ Apa? Ni? Puisi.” Jawab Hani selamba. Matanya tidak dialih dari kertas tersebut.
          “ Awak suka puisi ke?” Jimmy bertanya lagi.
          “ SANGAT! Dari dulu saya suka puisi.” Mata Hani masih menghadap kertas itu. Tidak berani dia berpaling kepada Jimmy di sebelahnya. Lama juga keadaan mereka begitu. Mereka berdua terus berdiam tanpa kata-kata. Tiba-tiba pintu lif itu terbuka dan seorang lelaki berjaket kerja warna kelabu berdiri di depan pintu.
          “ Sorry Hani. Hehehe. Lama ke tunggu” En Fauzi tersengih melihat Hani dan Jimmy duduk bersila di lantai lif tersebut.
          “ Tak payah ketawalah. Takde yang kelakar pun! Hani terus mencapai begnya dan keluar dari lif itu tanpa menghiraukan Jimmy mahupun Fauzi. Jimmy bangkit dari duduknya  dan menepuk-nepuk seluarnya.
          “ Dah ok ke lif ni encik?” Jimmy bertanya kepada En Fauzi.
          “ Dah ok dah. Adik nak pergi tingkat berapa?”
          “lapan”
          “ ha oklah. Hati-hati jalan. Baru duduk sini ya? Ambil nombor saya kat pintu lif tu, nanti kalau rosak lagi call saya ye”
          “ ok. Terima kasih ye encik” Jimmy terus menekan butang bernombor lapan. Pintu lif tertutup dan bergerak ke atas. Tangannya menggosok-gosok pipinya yang baru ditampar tadi. Sakitnya sudah lama hilang. Tetapi bagai ada sesuatu yang dirasakannya waktu itu. Sesuatu yang tidak pernah dirasainya sepanjang dia hidup. Bibirnya tersenyum.
          Sementara itu Hani yang  sudah sampai di rumahnya masuk ke bilik dan terus mendail seseorang.
          “ Man..... aku jumpa ANGEL! Mak cair nok!”
                                                **********************
 -TAMAT EPISODE 2-

ok ini lagu yang aku tuliskan khas untuk episode ini

KERNA KAU SATU

 Kekasihku hanya engkau yang satu
Di dalam beribu hanya kau di mataku

Jangan pernah kau dustai aku
Biar apa terjadi setia padaku

Kekasihku janganlah ragu dan malu
Sudikah dirimu menjadi milikku

kupersebahkan laguku untukmu
biar kau membisu ku tetap menunggu

janganlah engkau terus membisu
janganlah engkau terus tersipu

kerana dirimulah yang selalu ku rindu
kerana dirimulah yang selalu ku mahu

kekasihku kau tataplah mataku
moga  kau temukan keikhlasan hatiku

Katakanlah kau juga begitu
agar kita berdua kan bisa menyatu
kerana dirimulah yang selalu ku rindu
kerana dirimulah yang selalu ku mahu
kerana dirimu yang mencuri hatiku
kau satu tiada ragu
dikaulah sayangku.



mood jiwang karat: deedymarji



teruskan membaca episode 3


Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by AllBlogTools.com Enhanced by MyBloggerTricks.com

ORIGAMI_EPISODE 1






Salam!
serapan lengkong!!
lama sudah aku tidak membebel di sini
sebenarnya aku sibuk menyiapkan projek cerpen aku

ok. cerpen ini bertajuk origami
aku gunakan watak-watak artis korea mewakili karakter-karakter yang aku cipta di dalam cerpen ini
kalau kalian xsuka korea, silakan pilih wajah sesiapa sahaja untuk karakter2 tersebut ya!

cerpen ini tidak ada kaitan sama yang hidup atau yang mati

satu lagi!
aku cuba buat sedikit kelainan dengan menyertakan satu lagu tema yang aku buat sendiri untuk setiap episode cerpen ini.
ada 8 episode bermakna ada 8 lagu tema
aku sudah buat sedaya upaya. terpulang pada pembaca untuk menilai

ok kesemua lapan episode sudah aku uploadkan di sini
jadi bila sudah habis episode pertama ini aku sudah sediakan link untuk episode seterusnya di bawah.

baik kita mulakan dengan pengenalan watak2 terlebih dahulu ya!!

choi si won sebagai izzat hazimi abdullah
tiffany sebagai hani nuraishah azmi

choi minho sebagai hadi armansyah azmi

jo kwon sebagai nor azman zainal
aku cuma letakkan empat watak utama ini sahaja. watak yang lainnya terpulang pada kalian.




EPISODE SATU.

          Hari itu keadaan di persekitaran kampus UITM Shah Alam sesak luar biasa. Orang ramai yang hadir semuanya untuk mendaftarkan anak-anak atau saudara mara mereka di situ. Dari jauh kelihatan kelibat tiga orang lelaki dan seorang wanita bertudung kuning sedang duduk  di cafe. Seorang daripada lelaki dan wanita itu berusia dalam lingkungan 50an, seorang lagi lelaki yang hanya duduk diam di sebelah itu pula usianya lebih kurang dalam pertengahan 40an. Dan seorang lagi adalah remaja lelaki yang dari tadi matanya liar memandang ke sekeliling kawasan persekitaran. Memandangkan ini hari pertama dia mendaftar di situ, remaja lelaki tadi kelihatannya sedikit gugup.
          “Jimmy, mama dan papa nak kena balik ni. Esok papa nak ke Jakarta, ada urusan. So mama nak kena kemas-kemas pakaian dulu ni. Urusan pendaftaran dah selesai, nanti pak Mail hantar Jimmy pergi rumah yang papa bagitau haritu ye. Sorrylah mama tak dapat teman Jimmy kemas rumah tu. Nanti balik dari Jakarta mama datang” Wanita itu mengusap lembut rambut anak lelakinya itu. Sebenarnya dia ingin sekali untuk menghantar anaknya itu ke rumah tempat dia bakal menginap selama berada di kampus tersebut. Namun atas urusan kerja suaminya. Dia terpaksa akur.
          “mama, takpelah, mama baliklah dulu. Jimmy ok je dengan pak Mail. Nanti apa-apa hal Jimmy bagitau mama ye” remaja lelaki tadi yang mesra dipanggil Jimmy  itu segera bersalaman dan berpelukan dengan ayah dan ibunya.
          “ oklah. Papa dengan mama nak kena balik dulu ni. Nanti kalau Jimmy nak apa-apa bagitau je dengan papa ye” En Daris memeluk erat anak lelakinya itu.
          “ tak ape. Jimmy ok. Semuanya dah terlebih cukup. Papa tak payahlah risau” keempat-empat mereka terus bergerak ke kawasan parkir. Mereka bersalaman sekali lagi dan terus masuk ke dalam kereta berasingan. En Daris dan isterinya Puan Rahemah masuk ke dalam kereta Honda mewah berwana hitam itu. Manakala Pak Mail dan Jimmy masuk ke dalam Suzuki Swift berwarna biru di sebelahnya. Kedua-dua kenderaan itu pun meluncur laju ke haluan masing-masing.
          Sepanjang perjalanan, Jimmy hanya duduk mendiamkan diri. Tidak banyak yang dibualkannya bersama pemandu ayahnya yang dipanggil Pak Mail itu. Sesampainya di suatu persimpangan, Pak Mail memperlahankan kenderaan dan masuk ke pintu pagar sebuah apartment mewah yang belum pernah Jimmy pergi sebelum ini. Pak Mail mengangkat tangan pada pengawal keselamatan di situ, menunjukkan sesuatu seperti pas masuk, dan terus menuju ke parking setelah pengawal itu memberi laluan.
          “Pak Mail, kita nak pergi mana? Takkanlah Jimmy nak tinggal kat kondo ni kot?” Jimmy masih ragu. Mulanya dia mahu duduk tinggal di asrama pelajar sahaja. Namun dia akur pada kehendak ayahnya untuk dia tinggal di rumah yang telah disediakan oleh ayahnya itu. Pada mulanya dia menyangkakan rumah yang dimaksudkan itu hanyalah rumah biasa sahaja, sesuai dengan statusnya yang masih seorang mahasiswa. Tidak pula dia membayangkan ayahnya akan menyediakannya sebuah apartment mewah seperti itu.
          “ha, yelah rumah ni. Kat tingkat lapan. Datuk baru beli bulan lepas. Dah jom tolong Pak Mail angkat barang-barang Jimmy ni” Pak Mail segera mengeluarkan bagasi dari kenderaan itu. Jimmy turut membantu. Mereka terus menuju ke lif dan naik ke tingkat lapan. Sesampainya di pintu apartment, Pak mail segera mengeluarkan kunci dan membuka pintu.
          “ha, untunglah Jimmy masih belajar pun dah dapat duduk rumah macam ini. Besar, cantik. Duduk sini nanti pandai-pandailah berdikari ye Jimmy, orang bujang ni kena pandai serba serbi” Pak Mail terus masuk ke rumah itu. Jimmy masih lagi berada di muka pintu bersama bagasinya. Dia bagaikan tidak percaya dengan semua itu. Jauh di lubuk hatinya, dia berasa kurang senang diberikan semua itu daripada ibu dan ayahnya. Jujurnya dia mahu tinggal di asrama sahaja. Ramai kawan-kawan. Di situ, di rumah sebesar itu, dia cuma akan tinggal seorang. Dia rasa janggal.
          “ kenapa Pak Mail tak cakap dengan Jimmy yang papa beli rumah ni?” Jimmy terus memunggah bagasinya masuk ke dalam rumah tersebut.
          “ Jimmy tak suka ke dengan rumah ni? Kenapa?” Pak Mail kehairanan melihat muka anak muda yang dia kenal sejak anak itu masih kecil kelihatan muram sebegitu. Seharusnya, manusia mana-mana pun pastinya akan kegirangan bila medapat semua itu.
          “ tak sangka pulak papa belikan rumah ni. Jimmy ingat papa beli yang biasa-biasa saja. Tak seronoklah Pak Mail. Mesti Jimmy bosan duduk sini sorang-sorang. Jimmy tak kisah pun kalau papa suruh duduk asrama. Jimmy lagi suka. Ramai kawan. Kat sini ada siapa? Lagipun Pak Mail tahu kan Jimmy ni siapa. Jimmy rasa tak senanglah dengan semua ni” Jimmy merebahkan badannya di sofa. Pak Mail hanya memerhatikan sahaja anak muda itu. Di hatinya dia tahu apa yang bermain di benak anak muda tersebut. Dia bekerja dengan Datuk Daris semenjak Jimmy berusia 8 tahun. Jadi dia cukup kenal dengan perangai Jimmy.
          Jimmy yang dia kenal adalah seorang yang sukakan kesederhanaan. Tidak suka menunjuk-nunjuk walaupun ayahnya seorang yang kaya. Dia masih ingat bagaimana Jimmy akan ke dapur setiap pagi sebelum kesekolah minta Mak Ani iaitu pembantu rumahnya  untuk membungkuskan sarapan pagi. Kalau ditanya mengapa dia tidak gunakan wang yang diberi ayahnya itu, dia cuma akan bilang mahu simpan untuk beli basikal atau apa-apa.
          Kalau dibawa berjalan kemana-mana, anak itu cuma akan mengikut. Tidak pernah pula dia melihat anak itu merengek-rengek minta dibelikan sesuatu. Jimmy yang dia kenal adalah seorang anak yang lebih suka berdiam diri. Tidak seperti anak-anak lain seusianya.
          “Pak Mail tahu apa yang Jimmy tengah fikir. Jimmy kena ingat, datuk dah lama anggap Jimmy macam anak dia sendiri. Alah duduk jelah rumah ni Jimmy. Dari kecil Jimmy tak pernah minta apa-apa dari datuk. Tak payahlah risau. Kalau bosan-bosan nanti Jimmy keluarlah jalan-jalan. Cari kawan-kawan. Tapi jangan buat benda-benda tak elok pulak. Awak tu nak belajar kan?” pak Mail menasihati Jimmy persis seorang bapa menasihati anaknya. Lagi pula Pak Mail sudah menganggap Jimmy itu bagai anaknya kandungnya sendiri.
          “ye Pak Mail, Jimmy ingat. Pak Mail duduk dululah. Jimmy nak kemas baju-baju ni dulu” Jimmy terus mengangkat bagasinya masuk ke bilik.
          “ Betul ni tak nak Pak Mail tolong?”
          “ Takpe lah. Jimmy buat sendiri. Pak Mail duduk je kat situ rehat” Jimmy segera membuka bagasinya dan mula menyusun baju-baju dan bukunya de dalam almari.
          “Jimmy kalau macam tu Pak Mail balik dululah ye. Nanti apa-apa hal Jimmy call je ok!” Pak Mail segera menuju ke pintu dan beredar dari rumah itu.
          “ok terima kasih ye hantarkan Jimmy!” Jimmy terus menyambung kembali kerjanya. Selang beberapa minit, telefon bimbitnya berbunyi. “pak Mail ni mesti tertinggal barang ni” Dia terus menjawab panggilan pemandu ayahnya itu.
          “ Jimmy, Pak Mail tahu Jimmy tak suka. Tapi datuk yang suruh. Kunci kereta Pak Mail dah tinggal atas meja. Nanti bawak elok-elok tau kereta tu. Jangan langgar orang pulak”
          “hah? Habis tu Pak Mail balik naik teksi ke ni? Pak Mail ni.... kan Jimmy dah cakap Jimmy nak beli basikal. Pak Mail ni suka macam tu tau. Ikut je cakap papa tu. Jimmy tak nak bawaklah kereta tu!” Jimmy terkejut dengan semua itu. Belum lagi reda hatinya perihal rumah mewah itu, sekarang ditambah lagi dengan kereta. Mungkin pada pandangan mata orang dia kelihatan bodoh menolak semua itu. Namun sebenarnya dia cuma ingin belajar berdikari. Belajar untuk hidup sendiri. Kenyataan bahawa Pak Mail pun berkomplot dengan ayahnya juga sedikit sebanyak menyakitkan hatinya.
          “alah sorrylah. Pak Mail kena ikut cakap papa Jimmy. Kalau Jimmy nak beli basikal nanti belilah. Tapi nanti kalau hujan kan susah nak ke kampus. Jimmy guna jelah kereta tu ye. Oklah, Pak Mail busy ni. Nanti call lagi ye”
          “ yelah tu. Busy sangatlah Pak Mail dalam teksi tu. Hmm oklah. Tapi janji jangan bagitau papa Jimmy nak beli basikal ok” Jimmy terus meletakkan telefonnya. Dia terus merebahkan badannya di atas katil. Memandang kosong pada siling. Mengingati masa-masa kecilnya yang tidak pernah dia pasti tentang apa-apa. Lama juga dia termenung sendirian. Akhirnya dia terlelap sendirian di dalam apartment barunya itu.
          Petang itu dia terjaga. Dia bergegas ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Jam sudah menunjukkan tepat pukul enam petang. Dia masih belum solat asar. Usai solat, dia duduk membaca doa dan terus ke meja belajar yang letaknya di tepi jendela kamarnya. Hatinya tidak tenteram. Mimpinya yang tadi itu membuatkan dia gementaran. Dilihatnya seorang wanita separuh umur dipukul dengan zalim oleh seorang lelaki yang bagaikan sudah hilang akal. Dilihatnya juga seorang kanak-kanak lelaki sedang duduk menangis menyorok di balik kerusi sambil melihat wanita tadi diseksa.
          Mimpi-mimpi seperti itulah yang sering mengganggu dirinya. Membuatkan dia sering tidak pasti tentang siapa dirinya yang sebenar. Seperti selalunya, selepas mendapat mimpi-mimpi seperti itu, dia akan duduk kaku termenung begitu. Dan kebiasaannya, dia akan menuliskan ketakutannya itu pada buku, kertas atau diarinya. Dia masih ingat, diwaktu kecilnya, setiap kali bermimpi buruk atau ditimpa masalah, ibunya Puan Rahemah selalu akan menyuruhnya menulis semua itu di atas kertas. Selesai menulis, dia akan lipatkan kertas itu menjadi origami berbentuk burung camar. Kemudian ibunya akan mendukungnya ke balkoni dan menyuruhnya melepaskan origami kertas itu.
          “biar semua masalah Jimmy pergi terbang macam burung kertas itu” itulah yang sering dinasihati kepadanya. Jadi hari itu, sama seperti hari-hari sebelumnya, dia segera menuliskan semua itu di atas sekeping kertas yang diambil dari dalam laci meja. Dengan penuh tekun dia cuba mencoretkan apa yang terbuku di hatinya waktu itu.

Aku, siapa aku?
Engkaukah aku?
Engkaukah???
Mesti bukan, engkau mesti bukan aku!
Sebab aku adalah aku! Bukannya engkau!
Tapi........ siapa aku??

Aku, siapa aku?
Engkau kenal aku??
Benarkah yang engkau kenal itu aku?
Jangan-jangan kau cuma tipu
Siapa engkau??
Siapa aku??
Tolonglah aku!!!!

Aku buntu
Tuhan, tunjukkan siapa aku
Aku keliru
Biar aku kenal siapa aku
Biar aku lihat sebenarnya diri aku
Jangan biar aku terus termangu
Mencari-cari pada setiap sesuatu

Biar camar ini terbang bawa aku pada aku
Biar nantinya aku temui siapa aku
Baik buruk, hina mulianya aku
Aku akan terima itu seadanya aku

Siapa aku: camar kertas

          Usai menulis itu, dia segera melipatkan helaian kertas itu menjadi camar kertas yang biasanya dia buat. Proses itu bagaikan begitu mudah. Dia memang begitu arif tentang langkah-langkah melipat origami tersebut. Setelah siap. Dia membuka jendela dan segera melepaskan origami kertas itu ke luar. Dari jendela tingkat lapan itu dia cuma memerhatikan camar kertasnya melayang di tiup angin, kemudian, setelah kembali semangatnya, dia kembali ke bagasinya untuk mengemas baju-bajunya yang masih banyak belum dikerjakan. Lusa kelasnya sudah bermula. Dia begitu teruja mahu memulakan semuanya.

                                      *************************

          Dua orang remaja kelihatan berjalan memasuki perkarangan apartment mewah tersebut. Seorangnya lelaki dan seorangnya lagi perempuan. Perempuan itu begitu manis mengenakan kemeja t bewarna merah. Kepalanya ditutup rapi dengan topi nike bewarna hitam gelap. Yang lelakinya pula, sekali pandang bagaikan yang berjalan itu dua-duanya perempuan. Dia mengenakan t-shirt berkolar bulat berwarna merah jambu. Seluar jeans hitam yang dipadankan dengan tali pinggang yang juga warnanya merah jambu. Kasutnya bewarna putih bersih yang talinya juga merah jambu. Rambutnya disisir ke tepi hampir menutup sebelah matanya. Mereka berdua berjalan sambil si lelaki tadi itu membiarkan rambutnya berkibar-kibar ditiup angin
          “oi, kau tak rimas ke rambut mengurai camtu? Aku yang tengok ni pun sakit mata tau tak!” remaja perempuan tadi yang sedikit kasar itu mencuit bahu rakannya di sebelah itu.
          “eleh jeleslah tu! Haruslah mengurai camni! NORA ok! N.O.R.A . Nora! Cepatlah sikit jalan. Panas ni!” lelaki tadi itu berjalan laju sedikit di hadapan. Tangannya dikibas-kibas lembut di wajahnya persis pelakon dalam opera cina mengibas kipas tangan untuk menyejukkan badannya.
          “ha yelah tu Nora! Nora konon! En Nor Azman Zainal, gediklah engkau ni!”
          “ hei, perlunya nak panggil nama penuh aku! Azman Zainal tu nama kat kampung ok. Family aku je boleh panggil nama tu. Ada faham cik Hani Nuraisyah Azmi? Hehe. Cepatlah jalan, aku da kebulur ni. Nanti nak suruh mak kau buatkan mee hailam feveret aku”  Azman berjalan semakin laju meninggalkan Hani di belakangnya.
          “oit minah fake, tunggulah! Kau kalau bab nak pau mak aku memang kau tak reti nak sabar kan! Tunggulah kejap!” Hani berlari-lari anak  mengejar kawannya itu. Segera dia menarik baju Azman dari belakang. “Tunggu aku gedik!”
          “sakitlah. Kau ni cubalah behave cam pompuan sikit. Sakit tau. Macam jantan! Aduh penatnya. Tolonglah  ea janganlah rosak lagi lif rumah kau ni. Tak larat aku nak naik tangga tingkat lima tu lagi sekali” Azman meronta minta Hani melepaskan bajunya yang ditarik dari belakang.
          “ Dah eloklah lif tu. Kalau rosak lagi aku maki abang yang baiki haritu. Dah jom cepat. Mak aku dah masak dah mee hailam feveret kau. Ha sukalah tu!” Hani segera menarik Azman untuk mengikutnya. Ketika itu juga satu objek berwarna putih jatuh tepat di atas kepala Azman.
          “weh ape ni? Tak ade rasa bersalah langsung main baling-baling sampah suka-suka hati. Eh burung!” azman segera membelek  burung kertas di tangannya itu. “ nasib baik burung ni comel, kalau tahi burung tadi aku sumbat mulut orang yang baling ni dengan stokin!” mereka berdua serentak mendongak ke atas. Berharap dapat melihat insan tak bertanggungjawab yang melemparkan objek itu dari atas. Namun tiada kelibat manusia yang kelihatan di jendela mahupun balkoni bangunan sebelas tingkat tersebut.
          “kau rasa burung kertas kau ni boleh terbang ke sengal!” dengan lancangnya Azman bersuara sambil mencekak pinggang. Sikapnya memang begitu, suka cakap lepas.
          “dahlah jom. Aku pun dah kebulur ni. Penat okay kerja hari ni. Penuh gila mall tu. Nasib baik shift aku sampai petang je. Tak larat aku kalau kerja malam! Boleh pengsan! Weh cepatlah, hari ni birthday adik aku” Hani kembali menarik Azman . mereka terus masuk ke lif untuk naik ke tingkat lima.
          “ Owh ye ke? Hari ni birthday Hadi si comel tu? Alamak camne ni? Tak beli hadiah. Hadi... akak takde hadiah nak bagi, bagi cium je boleh?” Azman menjuirkan bibirnya bagai Angelina Jolie tak berapa menjadi.
          “Oi, adik aku suci ok! Kau jangan nak macam-macam pulak! Dah cepatlah tekan nombor lima tu” mereka berdua masuk ke dalam lif dan menuju ke tingkat lima. Sementara itu Azman masih lagi membelek burung kertas tadi.
          “eh ada tulisan lah! Aku siapa aku? Engkaukah aku? Engkaukah? Bukan, mesti bukan... eee apa ni? Pening kepala mak layan! phsyco nye!”
          “kau merepek ape gila? Meh sini aku tengok!” Dengan pantas Hani merampas burung kertas yang telah dibuka lipatannya itu daripada Azman. Dia kemudiannya tekun membaca tulisan itu sehingga habis. Azman di sebelah hanya memandang hairan ke wajah rakannya itu.
          “oi, kau dah kenapa?”
          “ kau tahu kan aku suka benda-benda macam ni! Camar kertas? Siapa dia ni ea?” Hani merenung tepat kepada tulisan di kertas itu. Memang sejak di bangku sekolah lagi dia gemarkan puisi-puisi sebegitu. Rak-rak buku di biliknya pun penuh dengan buku-buku koleksi puisi yang dikumpulnya dari dulu.
          “ Dah tak payah nak gila bayang pulak sekarang! Pintu dah terbuka tu, nak aku tinggal kau sesorang dalam lif ni ke?” Azman terus keluar dari lif itu kemudian menuju ke pintu nombor 10 dan terus mengetuk pintu tersebut.
          “Assalamualaikum! Assalamualaikum! Cik tipah gebu ada? Oooo cik tipah gebu! Saya datang nak meminang bujang you!” begitulah Azman setiap kali ke rumah Hani. Mulutnya bising tak sudah. Ibu Hani yang bernama puan Latifah itupun sudah dianggap bagai ibunya sendiri. ‘Cik Tipah Gebu’ itulah panggilan yang diberikan Azman kepada ibu Hani.
          “waalaikumsalam. Ha dah balik pun anak dara dua orang ni. Cik Tipah Gebu tengah masak. Dah mari masuk” Pn Latifah membuka pintu dan menjemput Azman dan Hani masuk ke dalam. Keluarga Azman memang berhubungan baik dengan keluarga Hani. Dulunya mereka berjiran. Sejak kecil Azmanlah yang paling rapat dengan Hani. Hinggakan setelah keluarga Hani berpindah rumah di situ pun mereka masih lagi semesra dulu.
          “cik tipah gebu, mana birthday boy buchuk manja tu? Arman! Mana kau? Hadi Armansyah Azmi! Birthday boy! Akak Nora datang ni! Ha ni pun dia. Dah besar dah. Cik Tipah tak payah susah-susah carikan jodoh untuk dia ye. Saya ada. Hahahahaha” Azman ketawa mengilai-ngilai di ruang tamu itu. Kalau ada yang mendengar malam-malam, pasti ada yang cabut lari.
          “Nak ke kamu Hadi dengan AKAK NORA kamu ni? Hahaha. Kalau nak mak boleh je pinangkan. Makcik Zila kamu tu pun kawan baik mak” Puan Latifah sengaja mengacau anak bujangnya yang baru keluar dari biliknya itu. Dari muka dan rambutnya, dia mungkin baru bangun dari tidur.
          “ Abang Man ni mengarut je lah. Hadi dah ada orang punyalah. Mak ni jangan layan abang Man ni. Ha Abang Man, mana hadiah? Kalau xde hadiah tak boleh makan kek Hadi. Akak  Hani pun dah janji nak belikan Hadi hadiah. Mana? Mak dah belikan Hadi kasut baru. Hahaha jangan jeles!” Hadi memandang kakanya dengan wajah penuh suka hati.
          “ Gelilah panggil aku abang! Sorrylah Hadi, tak tahu pulak hari ni birthday kau. Esok aku janji aku belikan kau hadiah ye. Dengan syarat hari ni kau suap aku kek kau! Hehehe” Azman tertawa lagi sambil diperhatikan oleh Puan Latifah dan Hani. Mereka kemudiannya bergerak ke meja makan yang terhidang berbagai makanan dan sebiji kek coklat di atasnya. Hani duduk menghadap kek coklat tersebut.
          “ Dah besar dah anak bujang mak ni. Sekejap je dah 16 tahun umur Hadi. Tahu tak, muka Hadi seiras muka arwah ayah masa muda-muda dulu tau” Puan Latifah memandang anaknya dengan penuh kasih sayang. Dirasakan usahanya membesarkan anak-anak seorang diri berbaloi bila melihat kegembiraan di mata anak-anaknya itu.
          “  Ha’a, kejap lagi mak dapat menantu lah. Dah bergayut je kerjanya tiap malam. Baca buku malas! Dah cepat potong kek tu!” Hani segera memintas percakapan ibunya. Dia sengaja berbuat begitu kerana setiap kali cerita tentang arwah ayahnya dibangkitkan, pasti suasana akan berubah sayu.
          “ok ok kita nyanyi! Happy birthday to youuu... happy birthday to you... happy birthday Hadi busyuk! Happy birthday to you!” Azman memulakan nyanyian ulang tahun itu kemudian diikuti oleh Hani dan Puan Latifah. Hadi memotong keknya dan mereka makan bersama. Suasana malam itu begitu meriah dengan hilai tawa mereka.
          “ Yeay sirap bandung! Thank you cik Tipah! Tau je kita suka yang pink-pink colour ni! Hahahaha” Dengan segera Azman mencapai gelas yang berisi air sirap bandung itu lantas meminumnya.
          “ Nah, akak belikan Hadi kemeja. Jangan tengok harga ok. Akak beli ikhlas ni untuk Hadi” Hani menghulur kotak hadiah bewarna hitam itu kepada adiknya.
          “ thankz akak” Hadi terus membuka kotak itu dan memadankan kemeja itu dibadannya.
          “ cis, rm 29.99 sen. Kedekut betul akak kau ni. Esok aku belikan lagi mahal untuk kau ye” Azman menjuir bibirnya kepada Hani. Serentak itu Hani menayangkan buku limanya kepada Azman.
          “ Tak pe. Hadi suka. Warna dia cantik. Abang Man tu janji je lebih! Haha. Kalau takde esok siap” Hadi masih lagi cuba memadankan kemeja itu di badannya.
          “ yelah. Nanti aku belikan” Azman buat muka toya.
          “ dah dah tu. Jom kemas ni semua. Hadi simpan dulu baju tu. Meh tolong kakak cuci pinggan. Kau tu dah besar nanti satu benda pun tak tahu nak buat” Hani menyusun pinggan-pinggan kotor yang telah digunakan itu bertingkat-tingkat dan dibawa ke sinki. Sebagai anak yang sulung, dia sedar hakikat bahawa dialah yang perlu membantu ibunya setelah kematian ayah mereka.
          “ yelah, orang nak kemas lah ni” Hadi pun turut membantu Hani. Ibu mereka puan Latifah sudah beredar masuk ke biliknya.
          “ Man, kau nak stay lama ke kat rumah aku ni?” Hani bertanya Azman yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.
          “ Kau ni macam tak suka je kan aku datang sini? Cis! Yelah aku memang nak balik pun ni. Dah malam. Aku balik dululah ni. Cik Tipah Gebu!!! Cik Nora nak balik dulu ni. Terima kasih ye masak mee hailam feveret kita! Bye!” Azman pun keluar melalui pintu di ruang tamu. Keadaan rumah selepas itu sunyi serta merta. Hani yang sudah siap memcuci pinggan mangkuk itu mengelap tangannya dan terus masuk ke biliknya.
          Lampu dia buka. Dihempaskan badannya di atas katil. Seharian dia bekerja sebagai juruwang di pasaraya. Penatnya masih belum hilang. Dia cuba sedaya upaya untuk tidak terlelap. Dia tidak mahu tertidur dalam keadaan masih kotor dan belum mandi itu. Tiba-tiba dia teringat akan sesuatu. Dicapainya beg tangan yg diletakkan di tepi katil. Kemudian dia mngeluarkan sehelai kertas putih dan merenung kertas itu. Membaca tulisannya dengan tekun sehingga habis.
          “Camar Kertas” dia memusingkan badannya dan berjalan menuju ke meja solek. Diletakkannya kertas itu di atas permukaan meja dan mula melipat kertas tadi mengikut garisan lipatan yang sudah sedia ada. Akhirnya burung kertas itu pun kembali ke bentuknya yang asal.Dia tinggalkan burung itu di atas meja, mencapai tuala dan terus ke bilik air.

-tamat episode 1-


ok ini lagu yang aku tuliskan khas untuk episode ini

TENTANG HARI INI

indah hari penuh cahaya
menghapus segala 
mendung kelmarin jadi punca derita

langit cerah bawa bahagia
tiada gelita

kubertanya kemana menghilang
sang mendung hiba
yang kelmarin datang

meragut harapan segala impian 
oh tuhan berkati hari ini
moga penuh cinta
biarkan cerah segalanya
menghapus sengsara

langkah kaki maju bersama
tidakkan ku lupa
mendung kelmarin mungkin kembali jua

biar nanti ku kebasahan
tidakkan ku rebah




kubertanya kemana menghilang
sang mendung hiba
yang kelmarin datang

meragut harapan segala impian 
oh tuhan berkati hari ini
moga penuh cinta
biarkan cerah segalanya
menghapus sengsara

semuanya yang telah terjadi pasti ada hikmahnya
biarkan kecundang hari ini kubangkit semula

tentang hari ini: deedymarji



         
         

         





Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by AllBlogTools.com Enhanced by MyBloggerTricks.com

Tuesday, February 21, 2012

bukan, jangan aku


haluuu serapan lengkong!!!!
assalamualaikum!!

dah lama aku menghilang diri
hahahaha
cuti hanya betapa dalam bilik tengok korea

hari ni ada lagu baru lagi
dengan gitar baru yg abg aku kasi
owhh happy!!!


sempat lagi nak pose gitar baru. lol


bukan, jangan aku


bukan aku... untuk kamu
bukan aku... terbaik untukmu

lupakan semua
lupakan segalanya
lupakan cerita kita berdua

usah kau katakan
usah kau laungkan
usah kau lafazkan kata terpendam

sesungguhnya aku tak buta untuk rasakan
namun kupejam mata
cuba untuk menjauhkan

bukan aku.... untuk kamu
bukan aku... terbaik untukmu
yang lainnya masih ada
jujur lebih layaknya
bukan aku.... bukan aku

maafkan diriku
berpura tak menahu
sedangkan aku tahu apa maksudmu

jujur ku tak bisa
jujur ku tak berdaya
tak mahu kau terluka
dengarkan ini kukata

bukan aku buat kamu
bukan aku... aku cuma aku
yang lainnya pasti bisa
buat kau istimewa
bukan aku.... jangan aku



sebab aku bukan orang baik: DeedyMarji
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by AllBlogTools.com Enhanced by MyBloggerTricks.com