EPISODE 2
Petang itu nampak cerah seperti biasa. Langit pun nampak biru dengan sedikit awan di sini sana. Seorang kanak-kanak lelaki kelihatan baru pulang dari sekolah menggendong beg galas di belakangnya. Sesampainya di rumah, diletakkannya kasut di atas rak tepi pintu dan terus ke biliknya untuk mengganti baju. Di satu sudut kelihatan serang lelaki sedang tidur. Si anak ini tadi berjalan senyap-senyap bimbang lelaki itu tersedar dari nyenyak. Diam-diam dia terus menyelinap ke dapur. Dia tahu, sekiranya lelaki itu bangkit nantinya pasti ada saja yang tidak kena di matanya. Jadi dia berusaha untuk menjadi sesenyap mungkin.
Anak kecil itu tadi terus membuka tudung saji. Meja makan itu kelihatan comot dengan nasi dan kuah-kuah yang tumpah. Bagai ada kucing rakus yang menjamah makanan sebelum itu. Lauk-pauk pun kelihatannya sudah tinggal saki baki. Anak itu menutup kembali tudung saji itu. Dia terus ke peti ais dan membuka laci di bawah sekali tempat selalu diisikan dengan sayur-sayuran oleh ibunya.
Dari situ dia keluarkan sekeping kertas. Terlipat rapi di bawah longgokan timun dan tomato. Segala perbuatannya itu bagaikan rutin. Dia bagaikan sudah terbiasa dengan kondisi seperti itu. Dibukanya lipatan kertas tadi dan terus dibacanya.
“ Hazim. Mak pergi kerja dulu ya. Mak dah masak. Tapi kalau ayah dah habiskan semua lauk, Hazim tahu nak cari kat mana kan sayang? Hari ni Hazim tolong pergi kedai beli barang-barang lagi ye.
Tepung gandum 2 kg
Gula 1kg
Kelapa parut sebiji
Telur 10 biji
Hazim cakap kat pak Mat semua tu masuk buku ya. Nanti cukup bulan mak bayar macam selalu. Hati-hati jalan ye nak. Nanti malam kita buat kuih sama-sama. Jangan bagi ayah marah-marah ok!”
Hazim melipat kembali kertas itu ke dalam poketnya. Dia terus pergi ke almari. Membuka tin biskut dan mengeluarkan seketul ayam goreng dan telur goreng. Dia duduk di meja dan terus menyuap nasi ke dalam mulutnya. Usai makan dia terus ke sinki. Tanpa sedar kakinya tersadung seekor kucing yang dari tadi mengiau minta diberi makan. Pinggan di tangannya pun terlepas dan berderai di lantai.
Untuk seketika Hazim terdiam. Dia kaku. Telinganya ditumpukan pada sebarang bunyi yang datang dari arah depan. Takut ayahnya terjaga. Setelah pasti tiada apa-apa bunyi yang menandakan ayahnya telah bangun, dia terus mengambil penyapu dan membersihkan serpihan kaca-kaca tadi. Sedang dia leka dengan serpihan-serpihan itu, dia tersentak apabila tiba-tiba telinganya dipulas dari belakang. Jantungnya bagai direntap. Rasa sakit yang teramat terus merebak ke seluruh badannya.
“ oi budak celaka, engkau kalau satu hari tak buat masalah tak boleh ke? Perangai sebiji macam mak kau. Bodoh!” ayahnya berbisik dengan nada yang menakutkan di sebelah telinganya. Namun Hazim duduk diam sahaja. Dia tidak berani meronta atau mengaduh kesakitan. Kerana pengalaman-pengalamnnya sebelum ini mengajarnya untuk terus diam. Kalaupun mahu melawan, apalah sangat yang ada pada kudrat seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun sepertinya jika dibandingkan dengan lelaki dewasa. Makin dia meronta, makin teruk dia kena. Makin dia mengaduh, makin lama dia terseksa. Jadi kali ini dia memilih untuk kekal diam.
“ engkau ni memang saja menaikkan darah aku kan! Maznah! Kau tengok anak kau ni buat apa! Bodohnya sama macam kau ni! Maznah! Mana mak kau? Oh baguslah dia da tak ada. Kau siap!” En Zamir bapa Hazim terus meluru ke biliknya. “kau duduk situ diam-diam!” dia keluar semula dengan tali pinggang tergenggam erat di tangan.
Sesampainya di dapur terus dia hayunkan tali pinggang itu ke segenap tubuh anaknya itu. Terpejam-pejam mata Hazim menahan sakit. Air matanya mengalir tanpa sebarang suara yang keluar dari mulutnya. Tanpa belas tubuhnya dilibas berkali-kali. Namun dia hanya diam. Tak berani untuk berbuat apa-apa. Hinggalah jeritan ayahnya kedengaran ketika kakinya terpijak serpihan kaca di lantai dapur itu. Darah pekat kelihatan mengalir keluar dari tapak kaki lelaki itu.
“aduh. Celaka punya budak! Ini semua kau punya pasal! Hei kau nak pergi mana?” Hazim terus mengambil peluang itu untuk melarikan diri. Dia dapat merasakan tali pinggang yang dibaling ayahnya tepat mengenai belakang badannya. Namun dia tidak berhenti. Dia terus berlari tanpa arah menjauhi bapanya. Berlari sekuat hati untuk menyelamatkan diri.
*****************
Sebuah mercedez hitam meluncur laju selepas keluar dari simpang tiga yang rosak lampu traffiknya itu. En Daris yang sedang memandu bernyanyi kecil mengikut rentak lagu Bukan Kerna Nama nyanyian Ramli Sarip yang berkumandang di radio. Isterinya Pn Rahemah yang duduk di sebelah hanya tekun membelek majalah yang dibelinya tadi.
“ esok saya nak ke JB. Ada meeting di sana. Awak nak ikut?” En Daris menegur isterinya yang hanya diam sepulangnya mereka dari hospital tadi.
“ kenapa awak ni? Sudahlah tu. Tak payahlah nak sedih-sedih ni. Ingat tu semua ujian Allah. Kita ni kena redha” En Daris menyambung perbualannya. Dalam hati dia tahu apa yang sedang bermain di benak isterinya itu. Dia pun merasakan perkara yang sama. Sudah lima tahun mereka berkahwin, namun masih belum dikurniakan anak. Dua tiga hari kebelakangan itu Pn Rahemah sering saja muntah-muntah dan pening kepala. Jadi mereka berdua menjangkakan bahawa itu adalah berita gembira yang bakal mereka terima. Jadi mereka terus ke hospital.
Malangnya hasil pemeriksaan sebentar tadi, doktor mengesahkan bahawa Pn Rahemah cuma demam biasa dan dia perlukan rehat yang secukupnya. Perasaan yang tadinya berbunga gembira mengharapkan berita baik yang tak kunjung tiba berubah menjadi hiba. Sama keadaannya pada setiap kali mereka ditanyakan soal anak daripada siapa-siapa. Mereka begitu berharap dikurniakan seorang anak untuk melengkapi keluarga mereka. Sudah lima tahun mereka mencuba. Namun masih belum ada tanda-tanda kebahagiaan itu akan tiba.
“ saya redha bang. Mungkin kita terlalu fikirkan sangat hal tu. Imah percaya tuhan dah rancangkan sesuatu yang terbaik untuk kita. Abang...Sebenarnya dah lama Imah nak cakap dengan abang pasal hal ini. Apa kata kita ambil anak angkat?” penuh hati-hati Pn Rahemah berkata pada suaminya. Takut cadangannya tidak diterima. Takut suaminya terasa hati atau apa-apa.
“sebenarnya abang pun dah lama fikirkan hal itu. Kalau betul Imah nak ambil anak angkat, nanti kita cari sama-sama ya” En Daris tersenyum memandang isterinya yang turut tersenyum memandangnya. Ada sinar bahagia di mata itu. Tangannya perlahan digerakkan mencari tangan si isteri di sebelahnya dan digenggam rapi.
Tiba-tiba keadaan berubah. Sepantas kilat suasana itu berganti cemas yang tak terhingga. Seorang kanak-kanak lelaki berlari melintasi jalanraya itu sambil tangannya ditekupkan di muka tanpa menghiraukan kenderaan yang lalu-lalang.
“bang ada orang bang!!” Pn Rahemah menjerit memberitahu suaminya. Brek ditekan kuat namun jarak yang terlalu hampir menyebabkan hampir mustahil sebarang perlanggaran dapat dielakkan. Tubuh kanak-kanak lelaki itu tercampak ke bahu jalan. Darah kelihatan mengalir dari dahi dan beberapa bahagian lain tubuhnya. Tangannya terkulai layu sambil menggenggam erat lipatan kertas putih yang tercemar merah dengan percikan darahnya
“ya allah bang, cepat bang tengok budak tu!” Pn Rahemah dan suaminya bergegas keluar dari kenderaan itu lantas mendapatkan kanak-kanak lelaki tersebut.
****************
Keadaan di hadapan pintu pagar utama Sekolah Menengah Taman Sentosa riuh rendah dengan suara pelajar-pelajar yang keluar setelah tamat sesi pembelajaran hari itu. Keadaan di luar pula sesak dengan kenderaan ibu bapa dan bas-bas sekolah yang sedang menunggu para pelajar keluar dari sekolah. Sebuah Satria Neo berwarna putih diparkir di bawah pokok ara tidak jauh dari pintu pagar. Di pintu bahagian pemandu kelihatan seorang lelaki kurus sedang bersandar sambil memerhatikan pelajar-pelajar yang sedang berjalan.
Lelaki tadi menjengah seperti mencari seseorang. Dari jauh kelihatan empat orang remaja lelaki sedang berjalan ke luar pagar sambil tertawa sesama mereka. Setelah pasti remaja itu yang dia cari dari tadi, lelaki itu terus memanggil remaja tersebut.
“Hadi! Hadii, sini!” lelaki itu melambai-lambi ke arah kumpulan remaja tadi. Kumpulan remaja yang sedang tertawa bergurau sesama sendiri itu pun segera terdiam.
“ Alamak weh, Hadi, ada awek panggil kau lah kat sana tu! Cun gila” seorang dari remaja tadi berkata kepada Hadi yang hanya terdiam di situ.
“ Hahaha. Awek bendanya Ajib! Bapok doh tu! Dia panggil kau lah Hadi. Siapa doh? Kau kenal ke? Skandal ea? Ahaha anak ikan ke?” seorang lagi rakan Hadi bersuara. Kali ini Hadi semakin diam. Dia tidak tahu harus berbuat apa. Tiba-tiba, lelaki yang bersandar di kereta tadi itu berlari melintas jalan ke arah kumpulan remaja lelaki tadi. Rambutnya yang panjang itu mengurai-urai di tiup angin. Sesampainya di situ, lelaki tadi terus mendapatkan Hadi yang hanya terpacak membatu.
“ Hadi, apsal lambat? Penat abang tunggu tau! Owh, ni ke kawan-kawan Hadi? Comel! Kenalkan, nama I Norazman. Panggil je Nora” Azman menghulurkan jari gemalainya untuk bersalaman dengan remaja-remaja itu.
“ You ni siapa?” seorang dari remaja tadi yang bernama Ajib itu bertanya kepada Azman. Riak wajahnya nyata tidak selesa dengan keadaan itu. Tambahan pula banyak mata-mata yang memandang mereka berlima di situ.
“ Owh, bagus you tanya! I ni abang angkat Hadi. Kan Hadi kan?”
“ Abang Man buat apa kat sini? Mak mana?” Hadi yang dari tadi berdiam diri mula bersuara. Tapi nadanya jelas tersekat-sekat.
“ Mak Hadi call tadi. Dia pesan suruh ambil Hadi sebab dia ada meeting mengejut. So abang datanglah. Lagipun kan haritu abang dah janji nak belikan Hadi hadiah hari jadi. Ingat tak? Abang dah beli dah. Special punya! Dah jom balik! Adik-adik, abang pinjam Hadi korang ye!” Azman segera menarik tangan Hadi dan menuju ke kereta. Serentak itu Hadi merentap tangannya dari tangan Azman. Rakan-rakannya yang lain hanya berpandangan sesama sendiri kehairanan.
“ Abang Man balik je lah dulu. Hadi nak keluar ngan kawan-kawan lah” Hadi segera memusingkan badannya dan kembali berjalan ke arah teman-temannya. Azman yang berada di depan itu segera mendapatkan Hadi dan menarik tangannya kembali.
“ Hadi nanti mak Hadi marahlah! Dah jom balik. Lain kalilah keluar ngan kawan-kawan tu. Nanti ajak abang sekali ok! Dah jom balik” Hadi tidak dapat berbuat apa. Dia sedar orang-orang sekeliling semua sedang memerhatikan gelagatnya dan Azman. Siapapun di situ pastinya perasankan Azman. Masakan tidak. Hari itu dia mengenakan kemeja putih berlengan panjang yang dilipat hingga ke lengan. Cermin mata gelap berbingkai merah jambu, seluar jeans ketat juga bewarna merah jambu, dan kasut hitam bertali juga merah jambu. Hadi hanya berjalan tunduk sehinggalah sampai ke kereta putih tadi dan terus masuk ke tempat duduk penumpang.
Tiga remaja yang bersama Hadi tadi hanya terdiam. Mereka saling berpandangan. Ajib tersenyum. Mizi berkerut dahi. Dan Hakim terkebil-kebil. Di dalam kereta, sepanjang perjalanan Hadi hanya diam. Soalan-soalan Azman hanya dijawabnya sepatah. Sesampainya di rumah, dia terus membuka pintu kereta, masuk ke dalam lif dan terus naik tanpa menghiraukan Azman yang kebingungan di situ.
****************
Jimmy tersedar dari mimpinya. Nafasnya turun naik. Ditekupkan sebelah telapak tangannya pada muka. Lama dia terdiam begitu. Mimpinya yang tadi sekali lagi membuatkan dia buntu. Buntu mencari siapakah dirinya yang sebenar. Dia cuma ingat segala yang berlaku sewaktu usianya tujuh tahun. Tahun-tahun sebelum itu dia langsung tidak tahu.
Di mimpinya tadi dia lihat seorang wanita sedang menangisi seorang kanak-kanak yang terlantar di atas katil. Wanita itu jugalah yang kerap kali muncul dalam mimpinya. Terlalu kerap sehinggakan dia cukup kenal akan wajah itu. Sekali imbas wajah itu serupa dengan seseorang. Pembantu kantin sekolah rendahnya dulu. Namun seperti biasanya dia buntu. Apakah kaitan wanita itu sama mimpi-mimpinya selama ini. Jimmy segera menuju ke meja di tepi jendela. Mengeluarkan kertas putih dari laci dan mula menulis.
Mimpi yang tadi itu
Menemukan aku lagi dengan dia
Dia yang langsung tidak aku ketahui tentang apa-apa
Dia yang aku kenal cuma dalam lelap
Cuma dalam gelap
Aku mahu jumpa dia
Disetiap kali aku lihat
Yang nampak cuma air mata
Untuk apa dia menangis aku buntu
Untuk siapa dia meratap aku pasti itu aku
Siapa dia aku keliru
Tuhan, aku mahu lihat dia dalam sedar
Aku mahu lihat dia bukan dengan pudar
Sekali cuma
Aku mohon dengan sangat
Ketemukan insan itu pada aku
Mau kutanyakan dia tentang segala kekeliruan aku
Engkau yang menangis itu
Pandangkan wajahmumu kemataku lain kali
Mahu aku lihat puas-puas
Mahu aku tanyakan biar jelas
Tolong jangan biar aku terus tenggelam lemas
Mati dengan soalan tak berbalas
Jawabkan aku: camar kertas
Usai mencoretkan itu, seperti kebiasaannya dia melipat kertas putih itu menjadi camar kertas dan terus membuka jendela. Dia melepaskan burung kertas itu dan memandangnya jatuh ke bawah. Dia terus menutup kembali jendela dan terus ke ruang tamu dan mencapai kunci kereta. Perutnya terasa lapar kerana belum makan tengahari. Basikalnya sudah ditempah tapi masih belum diterima kerana kehabisan stok.
Di post pengawal kelihatan seorang gadis bertopi berjalan kaki masuk ke perkarangan kondominium itu. Seperti biasanya Hani akan pulang ke rumah dari tempat kerja pada waktu-waktu begitu. Pandangannya tertumpu ke arah rimbunan pokok pandan di bawah kondominium tersebut. Tempat biasanya dia temukan burung kertas bewarna putih jatuh. Dari jauh dia sudah melihat objek putih di sebelah rimbunan pandan. Dia terus berlari mendapatkan burung kertas tersebut dan menyimpannya di dalam beg.
Hani terus menuju ke arah lif dan terus menekan butang naik. Pintu lif terbuka. Jimmy yang berada di dalam lif tadi terburu-buru keluar dan Hani pun masuk ke dalam.
Beberapa langkah berjalan, Jimmy tersedar yang dompetnya tidak berada di poketnya. Dia segera berlari kembali ke arah lif yang hampir tertutup pintunya itu.
“nanti,nanti nanti!!” Jimmy menahan pintu lif tersebut. Mujur masih sempat. Hani yang berada di dalam tidak langsung memandang Jimmy yang tercungap-cungap .
“tingakat berapa?” Hani bertanya dingin.
“ lapan” jawab Jimmy ringkas. Hani pun menekan butang bernombor lapan dan lif itu mula bergerak naik ke atas. Mereka berdua hanya diam. Hani yang memang tidak biasa berdua-duaan dengan lelaki lain selain Azman di tempat seperti itu cuma memeluk tubuh tanpa suara. Jimmy pula hanya bersandar di dinding sambil menekan-nekan telefon bimbitnya tanpa sebab.
Tiba-tiba lif itu terhenti dengan sedikit hentakan. Lampu terpadam. Hani menjerit terkejut dan telefon bimbit Jimmy pula terlepas dari tangannya. Keadaan gelap gelita itu buat mereka panik.
“ cik awak ok?” Jimmy bertanya kepada Hani yang menjerit jelas terkejut dengan situasi itu. Dia segera mencangkung dan meraba-raba di lantai untuk mencari telefon bimbitnya yang terjatuh tadi. Tanpa sedar tangannya menyentuh kaki Hani. Serentak itu satu pelempang yang entah datang dari mana hinggap tepat di pipinya.
“ oi kau jangan nak kurang ajar ok! Aku belasah kau kang!” Hani yang jelas marah dengan insiden itu menjerit kepada Jimmy.
“ aduh! Eh sorry, sorry cik! Saya takde niat apa-apa pun. Saya nak cari handphone saya jatuh. Sorry!” Jimmy yang nyata rasa bersalah itu berkali-kali meminta maaf dari Hani. Akhirnya dia temukan telefon bimbitnya di sudut kiri lif itu.
“ Alah lelaki sekarang ni semua sama jelah! Suka ambil kesempatan. Kau buat lagi aku karate kau!” keadaan gelap gelita itu menyukarkan Hani untuk mengetahui kedudukan sebenar Jimmy. Yang termampu dia lakukan hanyalah menjerit mengancam Jimmy untuk tidak mendekatinya.
Tiba-tiba lampu di atas mereka berkelip-kelip dan terus menyala semula. Semuanya kembali jelas. Hani sedang berdiri manakala Jimmy pula mencangkung sambil bersandar di dinding menekupkan tangannya ke muka. Rasa bersalah tiba-tiba menyelinap ke dalam hati Hani.
“ Err kau ok ke? Sorrylah aku terkejut tadi.” Nada suara Hani luar biasa rendah daripada sebelumnya. Dia memandang Jimmy dengan rasa bersalah. Jimmy bangun dari duduknya. Digosokkan tangannya di pipi kirinya itu dan dijatuhkan ke bawah.
“ Takpe, saya ok. Sorry saya tak sengaja tadi.” Jimmy memandang Hani di sebelahnya. Mata mereka bertemu. Serentak mereka berdua terdiam. Lantas masing-masing memalingkan muka dan membuat hal sendiri. Jimmy melihat kukunya dan Hani pula mengeluarkan telefon bimbit dan mendail seseorang.
“ Ha hello, En Fauzi, lif ni rosak lagilah! Saya tersangkut kat dalam ni. Kata haritu dah ok. Datang cepat tau!” Hani meletak telefonnya. Dia mengeluh panjang.
“ Awak kenal ke en Fauzi tu?” Jimmy memulakan bicara.
“ kalau dah tiap-tiap bulan tersangkut macam ni mesti kenal nanti dengan si Fauzi tu” Hani jawab selamba. Tapi dia masih tidak berani memandang muka Jimmy.
“ owh!” Jimmy pun kehabisan kata-kata. Selepas itu semuanya jadi sunyi. Tiada sesiapa pun yang bersuara. Penat berdiri lama, Hani duduk menyandar di di dinding lif itu. Dia masih tidak memandang wajah Jimmy. Hatinya berdegup kencang. Tidak pernah sekencang itu. Dia membuka beg tangannya dan mengeluarkan burung kertas bewarna putih itu dan membaca tulisan di dalamnya.
Perbuatan Hani itu dilihat oleh Jiimmy. Jimmy terkejut melihat burung kertas yang dibalingnya tadi itu ada bersama-sama Hani.
“Apa tu?” Jimmy bertanya penuh berharap yang burung kertas itu bukan miliknya.
“ Apa? Ni? Puisi.” Jawab Hani selamba. Matanya tidak dialih dari kertas tersebut.
“ Awak suka puisi ke?” Jimmy bertanya lagi.
“ SANGAT! Dari dulu saya suka puisi.” Mata Hani masih menghadap kertas itu. Tidak berani dia berpaling kepada Jimmy di sebelahnya. Lama juga keadaan mereka begitu. Mereka berdua terus berdiam tanpa kata-kata. Tiba-tiba pintu lif itu terbuka dan seorang lelaki berjaket kerja warna kelabu berdiri di depan pintu.
“ Sorry Hani. Hehehe. Lama ke tunggu” En Fauzi tersengih melihat Hani dan Jimmy duduk bersila di lantai lif tersebut.
“ Tak payah ketawalah. Takde yang kelakar pun! Hani terus mencapai begnya dan keluar dari lif itu tanpa menghiraukan Jimmy mahupun Fauzi. Jimmy bangkit dari duduknya dan menepuk-nepuk seluarnya.
“ Dah ok ke lif ni encik?” Jimmy bertanya kepada En Fauzi.
“ Dah ok dah. Adik nak pergi tingkat berapa?”
“lapan”
“ ha oklah. Hati-hati jalan. Baru duduk sini ya? Ambil nombor saya kat pintu lif tu, nanti kalau rosak lagi call saya ye”
“ ok. Terima kasih ye encik” Jimmy terus menekan butang bernombor lapan. Pintu lif tertutup dan bergerak ke atas. Tangannya menggosok-gosok pipinya yang baru ditampar tadi. Sakitnya sudah lama hilang. Tetapi bagai ada sesuatu yang dirasakannya waktu itu. Sesuatu yang tidak pernah dirasainya sepanjang dia hidup. Bibirnya tersenyum.
Sementara itu Hani yang sudah sampai di rumahnya masuk ke bilik dan terus mendail seseorang.
“ Man..... aku jumpa ANGEL! Mak cair nok!”
**********************
ok ini lagu yang aku tuliskan khas untuk episode ini
KERNA KAU SATU
Di dalam beribu hanya kau di mataku
Jangan pernah kau dustai aku
Biar apa terjadi setia padaku
Kekasihku janganlah ragu dan malu
Sudikah dirimu menjadi milikku
kupersebahkan laguku untukmu
biar kau membisu ku tetap menunggu
janganlah engkau terus membisu
janganlah engkau terus tersipu
kerana dirimulah yang selalu ku rindu
kerana dirimulah yang selalu ku mahu
kekasihku kau tataplah mataku
moga kau temukan keikhlasan hatiku
Katakanlah kau juga begitu
agar kita berdua kan bisa menyatu
kerana dirimulah yang selalu ku rindu
kerana dirimulah yang selalu ku mahu
kerana dirimu yang mencuri hatiku
kau satu tiada ragu
dikaulah sayangku.
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by AllBlogTools.com Enhanced by MyBloggerTricks.com
No comments:
Post a Comment