oh belog

Sunday, March 18, 2012

ORIGAMI_EPISODE 6


EPISODE 6
          Pintu lif tertutup. Lambaian mesra Azman dan Hani yang tertunduk bisu di sebelahnya sudah tidak lagi kelihatan. Jimmy tersenyum sendiri. Dia pun bagaikan tidak percaya apa yang berlaku hari ini. Kelasnya yang padat membuatkan dia terlambat untuk pulang kerumah lebih awal seperti biasanya untuk menunggu Hani. Namun takdir hari itu begitu baik. Dia diketemukan dengan Hani ditengah jalan dan menolong gadis itu yang sedang dilanda kesusahan. Masih terbayang dimatanya senyum manis gadis itu sewaktu dia hulurkan beg tangannya tadi.
Lif berhenti di tingkat lapan. Pintu terbuka dan dia segera menuju ke pintu rumahnya. Dia membuka kunci, menghidupkan lampu dan terus duduk di atas sofa. Beg berisi buku-buku kuliahnya diletakkan di tepi. Dia duduk bersandar sambil tersenyum sendiri. Lama dia duduk begitu sehingga matanya hampir terlelap. Tiba-tiba dia bangkit dari bersandar. Dia teringatkan sesuatu. Sesuatu yang sudah menjadi rutinnya sejak hampir tiga bulan dia duduk di bangunan itu. Origami.
Hari itu terlalu pantas berlalu. Terlalu dipenuhi dengan peristiwa-peristiwa penting yang membuatkannya begitu sesak. Bagaimana pensyarahnya En Fahmi mengamuk dikelas akibat ramai yang tidak hadir. Bagaimana pendrivenya tertinggal dirumah sehinggakan dia terpaksa berpatah balik untuk menghantar tugasannya. Peperiksaan yang tinggal seminngu lagi akan tiba. Yang paling penting, peristiwa petang tadi. Perkara-perkara itu buat dia lupa akan origaminya. Jimmy segera ke meja belajarnya di tepi jendela dan mengeluarkan kertas seperti biasa. Dia mengambil pen hitam dan mengetuk kepalanya beberapa kali untuk mencari ilham.

Hari ini sepatutnya merah
Tapi camar ini warnanya putih

Bahagia lihat senyumnya
Gembira lihat galak matanya
Camar ini terbang melayang girang
Bila si merak datang be...

Coretannya terhenti di situ bila tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi di sebelah. Dia meletakkan penanya dan terus menjawab panggilan tersebut. Di skrin telefon tertera nama ‘mama’. Jimmy merenung skrin itu. Ada rasa bersalah dalam dirinya. Lama sudah dia tidak menelefon wanita itu untuk bertanya khabar. Malahan, sejak tinggal di kondominium itu dia jarang-jarang pulang ke rumah. Dia segera menjawab panggilan tersebut.
“ hello, assalamualaikum ma!”  perasaan gembiranya hari itu sukar untuk dia sembunyikan.
“ waalaikumsalam! Jimmy tengah buat apa nak? Mama ganggu ke? Banyak assignment?”
“tak buat apa-apa ma. Jimmy tak busy pun. Assignment dah hantar, tinggal final exam minggu depan. Kenapa mama call malam-malam ni? Ada apa-apa yang jadi kat rumah ke ma?” menyedari nada suara ibunya luar biasa perlahan hari ini. Jimmy mula bertanyakan kalau ada apa-apa yang tidak diingini berlaku di rumahnya.
“ Jimmy. Jimmy balik rumah sayang. Mama ada hal nak beritahu Jimmy”  ada getar-getar sayu pada nada suara Puan Rahemah. Jimmy mula dapat menangkap sesuatu yang tidak kena.
“ balik? Kenapa ni ma? Esok petang Jimmy tak ada kuliah.nanti Jimmy balik. Tapi mama okay ke ni?”
“ Jimmy balik malam ni tak boleh ke? Mama nak beritahu perkara penting ni”
“ hmmmm okay-okay Jimmy balik sekarang. Tapi mama bagitahu dulu apa yang penting tu” Jimmy semakin risau dan tertanya-tanya apakah yang terjadi kepada ibunya itu.
“ Hmm okay. Biar mama bagitahu Jimmy.” Nada suara Puan Raheman semakin perlahan.
“ Ok Jimmy dengar”
“ mama dah jumpa ibu kandung Jimmy. Jimmy balik ya nak!”
                                      *************

Pintu pagar banglo mewah itu terbuka. Sebuah Suzuki Swift berwarna biru masuk ke perkarangan rumah tersebut. Dari kereta tersebut keluar Jimmy dengan penuh kelam kabut dan terus menuju ke pintu masuk. Di situ Puan Rahemah sudah sedia menunggu. Dia tersenyum ke arah anak bujangnya itu.
“ Mama kata mak Jimmy dah mati!” Jiimmy tidak menyambut salam yang dihulur oleh ibunya itu. Dia terus bertanya dengan nada yang agak tinggi kepada ibunya. Sementara itu ayahnya Encik Daris juga sudah berdiri di muka pintu.
“ Masuk dulu Jimmy. Kita bincang” Penuh lembut Encik Daris memanggil anaknya itu. Dia menghulurkan salam. Dengan berat hati Jimmy pun bersalaman dan mencium tangan kedua ibu bapanya itu. Di hatinya terdetik rasa bersalah akibat bersikap kasar sebentar tadi. Namun segala yang terpendam di lubuk hatinya membuatkan dia tidak sabar untuk mengetahui kisah yang sebenar.
“ kat mana mak Jimmy? Kenapa dia tinggal Jimmy pada mama? Mama mana mak Jimmy?” Jimmy bertanya tanpa henti. Selama ini dia tahu dia bukannya anak kandung kepada Puan Raheman dan Encik Daris. Tapi dia tidak bertanyakan langsung tentang keluarga kandungnya. Semua persoalan itu cuma dia simpan di dalam hati. Yang dia tahu, Puan Rahemah mengatakan bahawa ibunya telah mati. Siapa ibunya dia tidak tahu. Siapa ayahnya dia tidak tahu. Adakah dia punya adik beradik pun dia tidak tahu. Yang dia tahu, Puan Rahemah dan En Darislah yang telah membawanya ke banglo itu sewaktu umurnya tujuh tahun. Sewaktu dia keluar dari hospital dengan kepala yang masih berbalut. Dengan kaki yang terhincut-hincut. Apa-apa sahaja memori sebelum itu, kosong.
Kalaupun ada mungkin cuma imbasan-imbasan mimpi yang selalu hadir disetiap tidurnya. Imbasan air mata dan senyuman seorang wanita penuh kasih sayang yang memandangnya. Selain itu tidak ada. Baginya Puan Rahemah dan En Daris adalah keluarganya. Ibu bapanya. Pernah juga dia terniat untuk bertanyakan mereka tentang asal usulnya. Namun disetiap kali itu juga dia akan ragu-ragu. Takut ibu bapa angkatnya itu tersinggung. Takut mereka terasa bahawa dia tidak selesa beribu bapakan mereka. Jadi dia cuma diam. Di hatinya dia percaya bahawa itu adalah keluarganya kini. Ibunya telah lama meninggal. Itu yang dia percaya.
Tapi kini apabila mengetahui ibu kandungnya masih hidup, Jimmy terasa bodoh kerana tidak bertanyakan mereka soalan-soalan itu. Dia berasa dungu kerana mempercayai bulat-bulat kata-kata mamanya. Dia seolah menemui sinar. Sinar yang mampu menyuluhi mimpi dan memori silamnya yang gelita.
“ Kenapa mama dengan papa tipu Jimmy? Selama ni Jimmy ingat Jimmy ni dah takde sesiapa lagi. Selama ni Jimmy cuma ingat yang Jimmy hanya ada mama dengan papa. Dari dulu Jimmy ingat Jimmy yatim piatu, sebatang kara. Sekarang mama cakap mak Jimmy hidup lagi. Apa semua ni?” Air mata mula membasahi pipi Jimmy. Perasaan yang bercampur antara terkejut, sedih, kecewa dan gembira itu bercampur menjadi satu.
“ Jimmy, Jimmy dengar dulu cerita mama. Mama takde niat pun nak tipu Jimmy. Mama takde niat pun nak pisahkan Jimmy dari mak Jimmy” Puan Rahemah mula bersuara dengan nada yang sebak. Encik Daris di sebelahnya hanya mendiamkan diri.
“ Habis tu kenapa mama cakap mak Jimmy dah mati? Kenapa tipu?” perasaan Jimmy semakin sukar dibendung. Jiwanya terlalu serabut dengan segala kecelaruan yang dihadapinya waktu itu. Semua itu terlalu mengejut. Berat untuknya menerima segala kecelaruan itu dalam masa yang singkat.
“ Jimmy, Jimmy dengar dulu apa papa nak cakap ni. Kami takde niat pun nak sembunyikan semua ni dari Jimmy. Papa tahu papa dengan mama salah. Tapi lebih baik Jimmy tanya sendiri hal ni dengan mak Jimmy. Mungkin dia boleh terangkan semuanya pada Jimmy” Lembut En Daris memujuk hati Jimmy yang sedang kusut serabut itu. Tidak pernah dilihatnya anak itu sehampa itu selama ini. Tidak pernah dilihatnya anak itu sesedih itu sejak mula-mula dibawanya ke sini.
“ Mama pun minta maaf Jimmy. Kalau Jimmy nak marah mama dengan papa takpe, itu hak Jimmy. Kami memang bersalah” Puan Rahemah tertunduk sayu. Air matanya tidak mampu lagi untuk dibendung.
“ Mama janganlah cakap macam tu. Jimmy minta maaf. Jimmy tahu Jimmy dah kurang ajar dengan mama dan papa tadi. Jimmy cuma terkejut dengan semua ni. Susah nak terima apa yang terjadi” Jimmy mencapai tangan ibunya itu lalu menggenggam erat tangan itu.
“ Kalau betul Jimmy nak jumpa mak Jimmy, esok mama suruh Pak Mail hantarkan Jimmy ke rumahnya. Dah jangan sedih-sedih lagi. Jimmy pergilah tidur dulu berehat ye nak!” Pn Rahemah mengusap lebut kepala anak lelakinya itu. Di hatinya dia tahu betapa remuknya jiwa anak itu bila mendapat tahu tentang segala kenyataan itu. Timbul rasa kesal di hatinya kerna tidak berterus terang dari dulu.

                                      *********************

Langit petang itu sudah beranjak senja. Bunyi-bunyi cengkerik pun sudah mula kedengaran. Seorang perempuan berjalan kaki masuk  ke perkarangan rumah papan sederhana besar itu. Di tangannya dia memegang sebiji bakul rotan yang diisi beberapa biji kelapa tua yang dia kutip dari kebun
Wanita itu bernama Maznah. Dia memberi salam dan terus masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur. Baru beberapa langkah masuk ke dalam rumah, dia dikejutkan dengan tompokan-tompokan darah yang berada di atas lantai. hatinya gementaran. Jantungnya berdegup tak keruan. “ya allah, Hazim!”
Dia bergegas berlari ke bilik anak lelakinya itu. Namun kelibat anak kecil berusia 7 tahun itu tidak kelihatan. Dia memanggil anak itu berkali-kali namun tiada sebarang suara yang menyahut panggilannya.
“ Tahu pun kau nak balik! Aku ingat dah mampos dalam kebun tu!” kedengaran suara garau seorang lelaki yang sedang duduk di kerusi malas bersebelahan tingkap menegur Maznah dengan kasar.
“ Abang, Hazim mana bang? Apa abang buat kat dia?” Maznah segera bergegas mendapatkan lelaki itu.
“ Manalah aku tau. Biar mampos je budak tu senang! Tak menyusahkan orang!” lelaki itu masih lagi bersandar di kerusi malas.
“ Apa abang dah buat pada Hazim bang? Kenapa dengan darah-darah tu? Cepatlah cakap mana Hazim?” Maznah tidak dapat mengawal lagi kesabarannya.
“ kau tengok kaki aku ni! Anak kau yang setan tu yang dah lukakan kaki aku! Biar mampos je budak tu senang!” lelaki tadi menunjukkan kakinya yang berbungkus itu kepada Maznah.
“ Mana Hazim bang? Abang pukul dia lagi kan? Sampai hati abang! Hazim tu anak kita!”
“ hahahahaha. Anak kita kepala otak kau! Dia anak Dolah! Bukan anak aku! Perangai dia tu bodoh sama macam bapak dia. Bekas laki kau tu memang tak guna!” lelaki tadi sudah berdiri dan menghampiri Maznah. Dia kemudiannya menarik rambut perempuan itu yang kemudiannya jatuh melutut ke lantai.
“ lepas bang! Lepas! Mana Hazim? Mana Hazim?” Maznah bersuara dalam esakan. Namun sedikitpun tidak tergambar belas kasihan di wajah suaminya itu. Air matanya membasahi pipi.
“ Aku kan dah cakap aku tak tahu budak setan tu pergi mana! Kau ni betul-betul tak faham bahasa lah!” dengan satu tolakan kasar Maznah jatuh terhumban ke lantai.  suara esakannya semakin kuat kedengaran.
“ Mana Hazim?” itu sahaja yang kedengaran dari mulutnya ketika berkali-kali tubuhnya dihujani dengan sepak terajang suaminya itu
En zamir bagai sudah hilang akal. Dia memperlakukan Maznah tanpa belas kasihan. Isterinya itu kini terbaring dilantai tidak mampu berbuat apa. Hanya esakan kecil yang kedengaran dari wanita itu.
“melayan engkau dengan anak kau tu jadi gila aku dibuatnya! Dah aku nak keluar!” En Zamir terus menuju ke pintu dan terus menghempas daun pintu itu dari luar. Puan Maznah masih lagi terbaring di lantai. kesakitan yang dialaminya masih belum hilang. Lama juga dia terbaring di situ sehinggalah suara jirannya iaitu puan Salmah kedengaran.
“Assalamualaikum! Maznah... ooo Maznah!” puan Salmah mengetuk pintu berkali-kali namun tiada sebarang jawapan dari dalam rumah kedengaran. “Maznah oi... kau ada kat dalam ke? Mana kau pergi ni, anak kau Hazim kemalangan ni!” Puan Salmah yang kelihatannya agak kelam kabut itu berulang-ulang kali memanggil nama Puan Maznah.
Sementara itu di dalam rumah puan Maznah masih terbaring di lantai. namun dia dapat mendengar panggilan jirannya itu. Dengan kudrat yang ada dia cuba untuk memanggil Salmah. Namun cuma suara seperti orang mengerang yang kedengaran. Tapi itu sudah cukup kuat untuk memberitahu Salmah yang ada orang di dalam rumah.
Mendengar suara mengerang kesakitan itu, Salmah segera mengintai-intai dari tingkap. Alangkah terkejutnya dia melihat Maznah terbaring kaku di lantai ruang tamu rumah tersebut.
“Ya Allah Nah! Kenapa dengan kau?” Salmah cuba membuka pintu. Namun pintu tersebut sudah dikunci dari dalam oleh En Zamir sebelumnya. Dia bergegas menuju ke pintu dapur. Mujur pintu tersebut tidak berkunci. Dia segera masuk dan meluru ke depan untuk mendapatkan Maznah.
“ Ya Allah.. Maznah kau okay ke Maznah? Kau okay ke?” Salmah menggoyang-goyangkan tubuh Maznah berkali-kali. Namun wanita itu hanya diam terkaku di lantai. “ celaka kau Zamir!” 
Sukar untuk dibendung lagi perasaan benci Salmah terhadap En Zamir. Selama ini berkali-kali dia cuba meyakinkan Maznah untuk melaporkan segala perlakuan lelaki itu kepada polis. Dia sudah tidak tahan melihat jirannya itu sering kali dijadikan bahan melepas geram. Apatah lagi bila anak lelaki Maznah iaitu Hazim juga sering kali diperlakukan dengan kejam. Namun disetiap kali itu juga Maznah menghalangnya. Disetiap kali itu juga Maznah mengatakan bahawa cuma Zamir tempat dia dan Hazim bergantung hidup.
Salmah menggoncang tubuh Maznah berkali-kali namun tiada sebarang reaksi dari wanita itu. Dia terus menuju ke tingkap di sebelah kanan ruang tamu itu lantas membukanya. Dia menjerit memanggil suaminya yang berada di rumah untuk membantu.
“ Bang Khalid! Abang! Cepat bang, Maznah sakit ni! Abang Khalid!!” berkali-kali dia memanggil suaminya itu. Tidak lama kemudian kelihatan kelibat suaminya menjenguk dari tingkap dapur rumah mereka.
“ Kenapa Mah?”
“ Cepat sini bang! Kita kena bawa Maznah pergi hospital”

                                      *****************

“ Doktor, macam mana keadaan dia doktor?” sebaik sahaja pintu bilik kecemasan itu dibuka, Puan Rahemah dan En Daris bergegas mendapatkan doktor yang baru sahaja keluar dari bilik tersebut.
“ Puan ni emak kepada budak tu ke?” doktor tersebut bertanya kepada Puan Rahemah yang jelas sedang kerisauan di sebelahnya.
“ Bukan doktor, saya dan suami saya yang bawa budak tu ke sini. Kami tak tahu siapa mak bapak dia. Tadi suami saya sudah pergi bertanya dekat-dekat kawasan kami terlanggar budak ni tadi. Mereka kata mereka kenal dengan budak tu. Mungkin sekejap lagi ibu bapa dia datang. Macam mana keadaan dia doktor? Dia okay ke?” Puan Rahemah jelas kerisauan, En Daris di sebelahnya cuba untuk menenangkan isterinya itu.
“ Okay macam ni puan, keadaan dia masih lagi belum stabil. Kecederaan kepalanya agak serius. Kami terpaksa jalankan beberapa x ray untuk memastikan tidak ada pendarahan dalaman dan sebagainya. Nanti kalau ibu bapa dia dah datang minta beritahu staff yang bertugas ya. Saya ada pesakit lain sekarang, buat masa ni ada beberapa doktor lagi di dalam yang sedang merawat dia. Harap bersabar ya!” doktor lelaki tadi terus berlalu meninggalkan Puan Rahemah dan En Daris yang jelas kerisauan di situ. Puan Rahemah yang nyata tidak mampu melawan rasa takutnya itu menangis di pelukan suaminya.
“ Sabar Mah, doktor tengah cuba selamatkan dia” En Daris mengusap lembut kepala isterinya itu.
“ Apa kita nak jawab dengan mak bapak budak tu bang? Mah risau bang” Puan Rahemah tidak mampu berkata apa-apa lagi. Wajahnya dia sembamkan di bahu suaminya iaitu En Daris.
Dari hujung lorong menuju ke bilik kecemasan tersebut kelihatan seorang wanita dan seorang lelaki berkain pelikat berjalan agak laju menuju ke arah Puan Rahemah dan En Daris. Sesampainya di hadapan bilik kecemasan tersebut wanita dan lelaki tadi cuba menjenguk-jenguk dari kaca pintu bilik itu.
“ Hazim ada dalam ni ke bang?” Salmah bertanya kepada suaminya yang masih lagi menjenguk ke dalam melalui kaca pintu.
“ orang tu tadi kata kat sini lah” En Khalid masih lagi menjenguk di kaca pada pintu tersebut. Sementara itu Puan Rahemah dan suaminya yang menyedari kehadiran Salmah dan Khalid pun segera mendapatkan mereka.
“ Assalamualaikum, encik berdua ni ibu bapa budak kecil tu ke?” En Daris menghulurkan salam kepada En Khalid. Mereka berdua bersalaman.
“ budak kecik? Owh nama dia Hazim. Dia bukan anak kami. Kami ni jiran dia. Tapi encik berdua ni siapa ya?” en Khalid memperkenalkan diri. Sementara itu Puan Salmah sedang bersalaman dengan Puan Rahemah di sebelahnya.
“ Owh macam tu ke. Maaflah encik, sebenarnya kami berdua yang terlanggar budak tu tadi. Tiba-tiba je dia melintas jalan. Saya tak dapat nak elak. Lepas tu kami terus bawa dia ke sini” en Daris menerangkan segala yang berlaku kepada En Khalid. Sementara itu puan Rahemah pula sedang menangis sambil memeluk puan Salmah. En Daris hanya memerhatikan sahaja isterinya itu. Dia tahu isterinya itu begitu risau akan keadaan anak kecil yang mereka langgar tadi.
“ Tapi macam mana keadaan Hazim sekarang? Kita tak boleh masuk ke?” Puan Salmah bertanya pula kepada En Daris tentang keadaan Hazim.
“ Buat masa ni doktor kata dia masih belum stabil. So kita kena tunggu dulu. Tapi kalau boleh saya tanya, mana ibu bapa si Hazim tu?” En Daris bertanya kepada Pn Salmah dan En Khalid tentang keberadaan ibu bapa Hazim.
“ Ibu dia ada di hospital ni juga. Tapi dia tak sihat.kena tahan wad. Kesian budak Hazim tu. Kecil-kecil lagi dah tanggung banyak masalah” Puan Salmah melepaskan pelukan Pn Rahemah. Digosok-gosoknya belakang badan wanita yang sedari tadi mengalirkan airmata itu. “ mari kita duduk di bangku sana tu. Penat pula berdiri lama-lama” mereka berempat terus menuju ke bangku yang terletak di luar bilik kecemasan tersebut.
Puan Salmah dan suaminya pun menceritakan segala yang berkaitan Hazim kepada Puan Rahemah dan En Daris. Perihal bagaimana pada mulanya Maznah iaitu ibu Hazim berkahwin dengan Abdullah, lelaki yang dikenalinya sejak kecil. Bagaimana Abdullah mengalami kemalangan jalanraya yang mengorbankan dirinya sewaktu isterinya Maznah sedang mengandungkan Hazim. Perihal Zamir, suami kedua Maznah yang kerap kali memukul Maznah dan Hazim yang masih kecil. Hinggalah peristiwa petang tadi yang membuatkan Maznah terlantar di hospital kini. Semuanya diceritakan oleh puan Salmah kepada Rahemah dan suaminya.
“ Maznah dipaksa kahwin dengan Zamir. Waktu itu Hazim baru berusia dua tahun. Kesian budak kecil tu. Sudahlah tidak berbapa, bapa tiri pula buat dia macam patung. Tempat melepas geram bila kalah berjudi. Ada saja salah budak kecil tu. Maznah pula kena kerja hari-hari. Ambil upah menoreh getah di kebun orang. Malam pulak dia buat kuih. Semata-mata nak menyara keluarganya. Ada suami tak boleh harap. Hari-hari Maznah kena tengking. Kami jiran-jiran pun dah tak sanggup tengok mereka dua beranak macam tu” panjang lebar cerita Salmah. Puan Rahemah dan suaminya hanya mendengar khusyuk. Tidak ada sepatah perkataan keluar dari mulut mereka dari tadi. Cerita yang disampaikan Salmah itu membuatkan rasa bersalah mereka kepada Hazim semakin kuat. Sudahlah anak itu menjalani hidup yang susah dan penuh seksa. Sekarang, dia terpaksa bertarung nyawa akibat dilanggar mereka. Air mata masih berlinangan dari kelopak mata Puan Rahemah.
“ Jadi macam mana dengan keadaan ibu Hazim? Puan Maznah yang awak ceritakan tadi tu masih belum sedar ke?” En Daris bertanyakan perihal ibu Hazim kepada Puan Salmah dan suaminya.
“ Dia masih belum sedar. Doktor tadi kata esok baru kita dapat ketahui keadaan kesihatannya. Harap-harap semuanya okay”
Lama mereka berempat duduk di luar bilik kecemasan tersebut. Salmah dan suaminya bercerita panjang lebar perihal keluarga Hazim. Puan Rahemah dan suaminya pula lebih banyak berdiam. Jauh di lubuk hati, mereka sangat bersimpati dengan nasib yang menimpa Hazim dan ibunya Maznah.
Jam menunjukkan jam 3.30 pagi apabila pintu bilik kecemasan itu dibuka. En Khalid mengejutkan isterinya yang sedang tertidur bersandar di kerusi lantas bergegas menuju kepada seorang doktor yang baru sahaja keluar dari bilik tersebut. Langkah mereka diikuti oleh En Daris dan Puan Rahemah dari belakang.
“ Doktor, macammana keadaan dia doktor?” Puan Salmah pantas bertanyakan doktor itu tentang keadaan Hazim. Nada cemas jelas kedengaran dari suaranya yang bergetar-getar itu.
“ Begini puan, xray yang kami jalankan menunjukkan tiada pendarahan dalaman yang berlaku di kepalanya. Tapi kami risau mungkin pesakit ni mengalami gegaran otak akibat hentakan yang kuat di kepalanya tadi. Tulang kakinya yang patah sudah kami operate dan insyaallah tiada masalah. Setakat ini dia masih belum stabil sepenuhnya. Saya nasihatkan tuan-tuan baliklah dulu. Esok pagi baru datang semula” panjang lebar penerangan yang diberikan oleh doktor tersebut. Puan Rahemah dan yang lainnya hanya tekun mendengar. Setelah itu, doktor itupun terus berlalu meninggalkan mereka berempat di situ.
“ En Daris, Puan Rahemah, eloklah rasanya kalau kita balik dulu. Dah pagi dah ni. Esok kita datang lagi” En Khalid berkata kepada En Daris dan isterinya.
“ Baiklah kalau macam tu. Nanti siang kami datang lagi. Terima kasihlah ya En Khalid, puan Salmah!” En Daris dah Rahemah pun beredar dari situ meninggalkan En Khalid dan Salmah di hadapan bilik kecemasan tersebut.
“ Kita nak balik sekarang ke bang? Mah risau ni. Maznah tu entah dah sedar ke belum” Salmah memandang lesu ke arah suaminya.
“ Kita buat report polis dulu. Zamir tu memang dah melampau sekarang ni. Biar kena tangkap masuk penjara lagi bagus! Tak sedar diuntung!”
                             *************************

Jam menunjukkan jam 7 pagi. Zamir yang kelihatannya separa mabuk berjalan terhuyung-hayang menuju ke rumahnya. Dari kejauhan dia dapat melihat dua buah kenderaan polis betul-betul diparkir di halaman rumahnya. Lampu-lampu bewarna biru berkelip-kelip dari atas bumbung kenderaan tersebut.
Zamir lantas menyembunyikan diri disebalik rimbunan pokok pisang di pinggir jalan.
“ celaka punya polis! Sampai ke rumah aku pun nak kacau!”
                             ******************************
“ oi bangun! Bangun!”   Zamir menggoncang tubuh Maznah yang sedang terlantar itu dengan kasar. Namun nada suaranya sengaja ditenggelamkan. Risau kalau-kalau ada yang mendengarkan mereka. Sementara itu Maznah baru sedar dari tidurnya. Kepalanya pusing. Seluruh badannya sakit-sakit. Pandangan yang tadinya kabur kini jelas. Dia baru menyedari yang dia sedang berbaring di katil sebuah hospital. Di sisinya berdiri suaminya iaitu Zamir dengan wajah mencebik.
“ Engkau ni bodoh ke apa ha? Oh sekarang dah pandai nak report-report polis! Kau lupa ke aku yang kutip engkau dengan anak kau tu dulu! Tak sedar diri!” kepala Maznah ditonjol-tonjol dengan jari telunjuknya.
“ Mana Hazim bang?” itu sahaja yang terkeluar dari mulut Maznah ketika itu.
“ Manalah aku tau anak kau tu ada dekat mana! Biar mampos! Engkau ni pun satu bodoh. Ini hospital swasta kau tahu. Engkau ingat aku ada ke duit nak bayar semua kos kau kat sini ha? Dahlah sekarang semua polis tengah cari aku!” Zamir bersuara agak kuat kali ini. Namun matanya masih memandang cemas kesana kemari.
“ Mana Hazim?” nada suara Maznah masih terlalu rendah. Sakit di kepalanya dirasakan tidak tertanggung lagi.
“ sekarang kau ikut aku. Kita pergi dari sini cepat! Aku tak nak lagi nak berhutang dengan pihak hospital pulak” Zamir segera mengangkat isterinya yang terbaring itu .
“ Tapi bang, Hazim?”
“ Sekali lagi kau sebut nama budak tu aku belasah kau cukup-cukup. Budak tu dah mati agaknya! Aku dengar semalam dia kena langgar kereta.” Selamba nada Zamir menyebutkan kata-kata itu. Tiada langsung terpalit rasa kasihan atau risaunya pada Hazim.
“ Ya Allah!” air mata berguguran di mata Maznah. Namun dia tidak mampu berbuat apa. Tubuhnya terlalu lemah walaupun untuk sekadar berdiri. Zamir segera mendokong tubuh isterinya itu dan segera meninggalkan hospital tersebut. Sebelum itu dia sempat meninggalkan sesuatu di bawah bantal di katil itu.
                                                ********************

          Salmah, maafkan aku. Aku terpaksa ikut Zamir. Tolong jangan cari aku lagi. Anak aku Hazim, kau tolong jagakan ya! Kalaupun tidak, kau berilah dia pada siapa-siapa yang mahu. Aku tak mahu dia menderita lagi. Kalau dia sedar nanti, kalau dia sudah sembuh. Katakan sahaja aku sudah mati. Tolong aku salmah!
                                                                                                Maznah


          Salmah terkedu membaca surat yang terlipat kemas di bawah bantal tersebut. Rasa terkejutnya melihat Maznah tidak berada di katilnya sebentar tadi bertambah sebaik membaca isi kandungan surat di tangannya itu.
          “ Apa kita nak buat sekarang ni bang?” itu saja yang kerkeluar dari mulutnya ketika itu. Dia terkedu. Suaminya di sebelah hanya berdiam diri. Dia juga tidak tahu harus berbuat apa. Tiba-tiba telefon bimbit kepunyaan En Khalid berdering. Dia lantas menjawab panggilan tersebut.
          “ Assalamualaikum. En Khalid. Saya ni Daris. En ada dekat mana? Cepat datang sini, Hazim dah sedar” nada suara En Daris waktu itu jelas teruja.
          “ Baik kejap lagi kami datang” dia mengakhiri panggilan tersebut.
          “ siapa bang?”
          “ Hazim dah sedar. Jom pergi tengok dia” En Khalid dan puan salmah bergegas menuju ke tempat En Daris dan Puan Rahemah berada.
                                      ********************
         
          Hazim terlantar di atas katilnya. Baru beberapa saat dia berjaya membuka mata. Pandangannya kabur. Segala benda kelihatan bagai kabus. Dikelipkan matnya berkali-kali namun penglihatannya tetap begitu. Kepalanya juga berdenyut-denyut sejak tadi.
          Di hapannya kini berdiri Puan Rahemah dan en Daris. Mereka berdua memerhatikan sahaja tingkah laku Hazim dengan wajah separuh lega dan separuh risau. En Khalid dan Salmah sudah diberitahu akan keadaan Hazim dan mereka berdua sedang berada dalam perjalanan ke situ.
          Pintu bilik terbuka. Salmah dan suaminya masuk dan terus mendapatkan Hazim yang terlantar.
          “ Ya allah! Syukurlah Hazim dah sedar. Sakit lagi tak Zim? Cik Salmah risau sangat!” Salmah begitu gembira. Diciumnya pipi kanak-kanak itu berulang kali. Suaminya hanya memerhatikan saja tingkah Salmah. Sementara itu Hazim kelihatan terpinga-pinga dan memandang pelik kepada Salmah yang sedari tadi menciumnya.
          “ Hazim ape khabar? Sakit lagi tak?” Giliran En Khalid pula bertanya kepada Hazim. Namun tiada sebarang respon dari anak itu. Wajahnya jelas terpinga-pinga. Mengesyaki sesuatu yang tidak kena berlaku, Salmah segera bertanya kepada Hazim.
          “ Hazim kenal cik Salmah? Hazim kenal ni pak cik Khalid?” soalan dari Salmah tidak berbalas. Hazim hanya terlantar diam di katilnya. Raut wajahnya kosong.
          “ Hazim, ni pak cik Khalid ni. Jiran Hazim. Hazim tak kenal pak cik?” sekali lagi soalan yang sama diajukan kepada kanak-kanak itu. Tetapi kali ini soalan itu hanya dijawab dengan gelengan kepala oleh anak itu. En Khalid bingung. Dia memandang cemas kepada isterinya, En Daris dan Puan Rahemah serta seorang jururawat yang berada di dalam bilik itu.
          “ Biar saya cuba” En Daris maju ke depan. “ Hazim. Yang ini pak cik Khalid. Yang ini pulak Mak cik Salmah. Hazim kenal mereka?” lembut suara En Daris bertanya kepada anak itu. Namun hanya gelengan kecil yang diberi oleh anak itu. Situasi jadi senyap. Masing-masing keliru tidak tahu harus berbuat apa.
          “ Biar saya panggilkan doktor” Jururawat yang sedari tadi berdiri di dalam bilik itu pun bergegas keluar untuk mencari doktor. Tidak lama kemudian dia masuk semula bersama-sama seorang doktor di belakangnya.
          “ Encik dan puan-puan boleh tunggu di luar sekejap. Doktor akan lakukan pemeriksaan pada pesakit” En Daris dan yang lainnya segera keluar dari bilik itu. Wajah masing-masing jelas keliru dengan apa yang berlaku.
          “ Agaknya kenapalah Hazim tak kenal kita ye bang? Entah-entah dia hilang ingatan tak? Subhanallah!” air mata Salmah menitis dari kelopak matanya.
          “ Haishh awak ni. Jangan fikir bukan-bukan. Kan doktor tengah periksa dia tu” En Khalid cuba menenangkan perasaan isterinya itu.
          “ Insyaallah, harap-harap semuanya baik-baik saja. Mari kita doa sama-sama. En Khalid, macammana pulak keadaan emak si Hazim tu? Dia dah sedar?” en Daris bertanyakan perihal Maznah yang diceritakan kepadanya oleh En Khalid semalam. Soalan itu disambut pula dengan linangan air mata dari Salmah.
          “ Kami tidak tahu apa yang berlaku. Pagi tadi kami sampai, tengok-tengok Maznah dah tak ada atas katil. Kami cari dia merata tempat tapi tak jumpa. Kami Cuma jumpa surat ini ditinggalkan bawah bantal dia” Salmah menghulurkan surat di tangannya itu kepada Daris dan Rahemah lantas mereka segera membacanya.
          “ Kami rasa Zamir yang bawa dia lari. Semalam polis sudah cuba untuk menjejaki dia. Tapi tak jumpa” Khalid bersuara agak hampa. Sementara itu Rahemah dan Daris baru yang sahaja selesai membaca surat itu mengelengkan kepala. Cukup berat rasanya melihat anak sekecil itu ditimpa musibah yang begitu besar.
          Lima belas minit berlalu. Mereka hanya diam berpeluk tubuh. Segala andaian tentang kesihatan Hazim hinggalah menghilangnya Maznah sudah ditamatkan sejak tadi. Salmah duduk bersebelahan suaminya. Beberapa meter di sebelah kanan Rahemah berbisik-bisik sesuatu kepada suaminya yang juga berbuat demikian. Pintu bilik dibuka. Doktor yang tadinya masuk bersama jururawat itu berdiri di muka pintu. En Daris dan yang lainnya bergerak menuju ke arah doktor tersebut.
          “ Macammana keadaannya doktor?”
          “ setakat ni dia ok. Cuma kakinya sahaja yang perlukan rawatan lebih lanjut. Kehilangan ingatan sementara. Itu biasa terjadi apabila berlaku hentakan di kepala ataupun rasa fobia pada sesuatu terjadi. Kami akan lakukan pemeriksaan lebih lanjut mengenai hal ini. Ada doktor yang lebih berpengalaman dengan kes-kes seperti ini. Saya rasa kita perlu dapatkan bantuan dia. Tapi apepun harap encik semua tak perlu risau. Pesakit sudah berjaya melepasi tahap kritikalnya. Sekarang dia normal” panjang lebar penjelasan yang diberi oleh doktor muda itu.
          “ Tapi doktor, boleh ke ingatan dia pulih? Makan masa ke?” Salmah bertanya dengan agak cemas.
          “ Itu bergantung kepada keadaan pesakit. Kadang-kadang rasa fobia pada sesuatu juga mampu membuat dia terus berkeadaan begitu. Apapun kita tunggu sahaja keputusan pemeriksaan lanjut yang akan dijalankan oleh doktor di bahagian neurologi. Saya tak mampu beri penjelasan yang banyak. Sebab saya bukan dari bidang tersebut. Dalam setengah jam lagi doktor tersebut akan sampai untuk membuat pemeriksaan. Kalau begitu saya pergi dahulu ya” doktor tersebut segera pergi untuk melihat pesakit-pesakitnya yang lain.
          “ doktor, boleh kami masuk untuk melawat dia?” Puan Rahemah sempat bertanyakan soalan itu sebelum doktor tersebut pergi.
          “ oh boleh. Jururawat ni akan temankan tuan-tuan dan puan-puan masuk ke dalam. Nadia, awak temankan mereka ya. Call saya kalau ada apa-apa berlaku” sejurus selepas itu. Doktor tersebut segera menuju ke wad-wad yang lain.
          “ En Khalid, Puan Salmah, sebelum masuk, kami ada sesuatu nak dibincangkan terlebih dahulu” En Daris menarik tangan en Khalid.
          “ Apa yang nak dibincangkan tu en Daris, puan Rahemah?” Puan Salmah kelihatan bingung.
          “ Begini, sebenarnya kami sudah lima tahun berkahwin, tapi kami tak dikurniakan anak walau seorang pun. Kami dah merancang untuk mengambil anak angkat” penuh hati-hati En Draris menyuarakan hasratnya itu kepada en Khalid dan isterinya.
          “ Jadi?” Salmah yang masih bingung itu bersuara memotong percakapan En Daris.
          “ Jadi begini Puan Salmah, En Khalid. Kami berhajat nak jadikan Hazim ni anak angkat kami. Kami janji kami akan jaga dia macam anak kami sendiri. Kami janji kami akan jaga dia sebaik mungkin. Mungkin inilah sahaja caranya untuk kami balas balik apa segala yang telah kami lakukan pada Hazim. Mungkin kami rasa bersalah, tapi jujurnya kami ikhlas mahu menjaga dia” En Daris begitu tenang dalam kata-katanya. Puan rahemah di sebelahnya memandang penuh harap kepada Khalid dan Salmah di hadapan mereka.
          En Khalid dan isterinya terdiam. Mereka tidak tahu harus berkata apa. Salmah memandang Khalid, dan begitulah sebaliknya.
          “ Begini En Daris. Biar saya dan Salmah bincang dahulu perkara ini. Sebab Maznah dah amanahkan kami untuk jaga si Hazim tu” Tenang suara En Khalid berkata. Dia kemudiannya membawa isterinya Salmah beberapa meter dari Daris dan Rahemah untuk berbincang. Di suatu sudut, Rahemah menggenggam erat tangan suaminya penuh berharap yang hajat mereka diterima oleh En Khalid dan Salmah.
          Usai berbincang, Salmah dan suaminya berjalan menuju En Daris dan Rahemah yang berdiri di pintu wad. Jururawat yang bernama Nadia itu sudah lama masuk ke dalam wad tersebut.
          “ Begini En Daris, kami berdua dah berbincang. Kalau betul ikhlas niat encik berdua nak menjaga Hazim, kami rela. Kami pun bukan orang senang. Kami masih ada anak-anak yang kami tanggung. Jagalah Hazim sebaik mungkin. Cuma satu. Tolong bantu kami cari di mana Maznah berada. Itu sahaja” En Khalid tersenyum mengatakan semua itu. Jauh di lubuk hatinya dia mampu melihat keikhlasan En Daris dan isterinya untuk menjaga Hazim. Isterinya Salmah turut tersenyum.
          “ Terima kasih En Khalid,, Puan Salmah! Kami janji kami akan jaga dia macam anak kami sendiri” itu sahaja yang mampu diucapkan oleh Puan Rahemah. Air matanya bergenang. Tidak mampu untuk dia ungkapkan betapa bersyukurnya dia waktu itu. Dipeluknya Salmah erat-erat. Air matanya tumpah di bahu wanita tersebut.
          “ Sudahlah tu. Mari kita masuk ke dalam tengok Hazim”
                                                ******************
 -tamat episode 6-

ini lagu yang aku tuliskan khas untuk episode ini

HIKMAHNYA


HIKMAHNYA

Langit biru menjadi kelabu
Ombak lesu kembali menderu
Bersama dugaan menimpa hidupku
Melemas nafasku mencari hikmahmu

Oh tuhan di sini kuberdiri
Tangisan sepi tak mampu ku hindari
Berserah, berharap semua kan teratasi
Biarkan mendung itu berganti pelangi

Bukanlah maksudku untuk meraih simpati
Ku hanya manusia kuperlu petunjukku
Berharap semua bahagia kan abadi
Mudahkan segala rintangan menghalangi

Oh.. tunjukkan
Padaku hikmahnya
Oh.. mudahkan
Bagiku jalannya




Jadikan dunia yang tersenyum selalu
Menadahkan doa bersujud kepadamu
Tunjukkan ku hikmah di balik ujianmu
Agar tak ku rebah dalam perjuanganku

Oh … tunjukkan
Padaku hikmahnya
Oh… mudahkan
Bagiku jalannya

tuhan sentiasa punya hikmah untuk segala sesuatu: deedymarji


teruskan membaca episode 7


Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by AllBlogTools.com Enhanced by MyBloggerTricks.com

ORIGAMI_EPISODE 5


EPISODE 5

Jam sudah menunjukkan jam enam petang. Seperti biasa Jimmy akan duduk di gazebo bersebelahan tasik di bawah kondominium itu. Hari itu Hadi tidak datang berjumpanya. Sudah empat hari berturut-turut  dia ‘membuka kelas’ origami dengan Hadi di tepi tasik itu. Akhirnya berjaya juga Hadi membuat bunga itu sendiri. Hari ini Hadi ada kelas tuisyen jadi Jimmy duduk berseorangan di situ seperti selalunya. Semua baju berlainan warna sudah dipakainya. Biru, kuning, hitam, merah, hijau, putih. Hari ini dia bermula semula dengan warna biru.
Dari jauh kelihatan seorang perempuan berjalan dari arah pintu masuk utama. Pada mulanya Jimmy menyangkakan perempuan itu adalah Hani. Rupanya perempuan itu adalah perempuan separuh umur dalam lingkungan usia ibunya sedang berjalan menuju ke kondominium tersebut. Jimmy hanya memperhatikan sahaja tingkah laku perempuan itu yang berjalan terdengkot-dengkot. Tiba-tiba kaki perempuan itu tergelincir dan dia jatuh ke tanah. Buah-buah oren di dalam plastik yang dipegang perempuan itu bertaburan.
Jimmy segera berlari untuk membantu perempuan tua itu namun langkahnya terhenti pabila melihat Hani juga sedang berlari ke arah perempuan itu dari arah pintu masuk utama. Hani membantu perempuan itu berdiri dan membetulkan pakaiannya.
“ Cik Ros tak apa-apa ke? Macammana boleh terjatuh ni? Ada luka tak?” Hani menepuk-nepuk kain Puan Ros yang dikotori tanah itu.
“ Tak pe Hani. Cik Ros tak perasan pulak ada lubang kat situ tadi. Cik Ros okay.” Puan Ros mengambil beg tangannya yang terjatuh di atas tanah. Sementara itu Jimmy sudah berada dekat dengan mereka. Dia segera mengutip buah-buah oren yang yang bertaburan di tanah.
“ Mak cik ok?” Jimmy terus memasukkan buah-buah oren yang dikutipnya itu ke dalam plastik. Sementara itu seperti biasanya Hani akan begitu gemuruh bila berjumpa dengan Jimmy. Dia masih lagi menepuk-nepuk kain Pn Ros walaupun debu-debu tadi sudah lama hilang.
“ Takpe dik, makcik ok. Terima kasihlah tolong makcik ni”
“ Makcik nak saya tolong angkatkan barang-barang ni ke rumah ke?” Jimmy bertanya lagi. Dari gayanya, Puan Ros baru pulang dari pasar dengan segala bungkusan sayur dan buah di tangannya.
“ Eh takpe-takpe, makcik boleh balik sendiri. Makcik ok! Terima kasihlah dik oi” Puan Ros mengambil bungkusan limau yang dihulurkan oleh Jimmy.
“ Awak, takpe, Cik Ros ni jiran saya. Biar saya je yang hantar” Hani tersenyum ke arah Jimmy dan terus memimpin Puan Ros yang berjalan agak terdengkot-dengkot itu naik ke atas. Jimmy pula hanya memerhatikan sahaja tingkah-laku Hani dari belakang.
Sesungguhnya hari itu buat dia begitu gembira. Sampai lewat malam dia tidak dapat tidur. Peristiwa tadi masih jelas terbayang dimatanya. Bagaimana Hani berlari untuk membantu perempuan itu. Bagaimana mata Hani mesra memandangnya. Bagaimana senyum Hani terukir di bibirnya. Bagaimana Hani dan puan Ros berhenti sekejap di tepi rimbunan pandan dan mengutip origami-origaminya. Dan paling tidak boleh dilupakan kata-kata Hani ‘awak, takpe cik Ros ni jiran saya’
“ Dia panggil aku AWAK” satu malam Jimmy hanya terbaring di katilnya melayan perasaan sambil mulutnya tersenyum-senyum sendiri.
                             ***********************

Petang itu agak mendung. Suasana di perhentian bas itu agak lengang. Hani duduk bersama dengan Azman menunggu bas dari tempat kerja seperti biasanya. Sudah hampir lima belas minit mereka menunggu namun bas yang biasa mereka naiki masih belum tiba. Azman buat muka masam mencuka. Payung bewarna hijau di tangannya sekejap dibuka dan sekejap dia tutup.
“ Kau nak jumpa mr Angel aku tak?” Hani buat pandangan nakal ke arah Azman.
“ Gila tak nak! Mestilah aku nak! Lepas kau cerita yang dia tolong Cik Ros minggu lepas tu aku terus cair dah! Tapi camne nak jumpa dia? Kau ada nombor dia ke?” Azman meletakkan payungnya di sisi dan terus tekun mendengar cerita Hani.
“ Manalah aku tau nombor dia. Nama pun aku tak tahu. Tapi sejak kebelakangan ni tiap-tiap petang dia akan duduk melepak kat bawah pokok tepi tasik bawah kondo tu. Dah dekat tiga minggu kot. Aku tak tahu dia buat apa”
“ weh jangan-jangan dia Camar Kertas kau?” Azman semakin teruja.
“ Aku rasa tak kot. Sebab masa aku ambil origami-origami tu dia dah lama duduk tepi tasik tu. Aku tak rasa pulak dia yang letak. And dah beberapa kali jugak aku baca puisi tu depan dia masa dalam lif. Kalau dia tahu tu dia punya mesti dia terkejut kot. Tapi dia selamba je. Cakap pasal Camar Kertas, aku rasa dia macam tengah bercinta je. Makin jiwang pulak sekarang. Pelik lah! Eh tapi serius kalau kau nak tengok mr angel tu nanti aku tunjuk. Ntah ape dia buat tepi tasik tu pun aku tak tahu!” Hani bercerita panjang lebar.
“ Entah-entah dia tunggu kau balik kerja tak? Tiga minggu? Gila setia menunggu! Hahahahaha” Azman ketawa mengilai seperti biasanya. Namun dia berhenti tertawa apabila sebuah motosikal dinaiki dua orang lelaki berhenti di hadapan perhentian bas itu. Mereka meletakkan motorsikal itu di pinggir jalan dan duduk di perhentian bas itu bersebelahan dengan Azman.
“ weh nanti kalau dia ada lagi kat tepi tasik tu kau tunjuk kat aku yang mana orangnya okay! Kau taknak tegur dia dulu kan, biar aku je yang ambil! Hahahaha” sekali lagi Azman ketawa mengilai. Lelaki-lelaki di sebelahnya pula memandangnya dengan wajah hairan. Azman pula buat muka jijik melihat dua lelaki tersebut.
“ Apsal? Ada masalah?” Azman bertanya kepada kedua lelaki itu dengan nada tidak sopan biasanya. Kedua lelaki tadi berpandangan sesama sendiri sambil tersenyum sumbing.
“ Man kau jangan nak start lagi ok!” Hani bagaikan sudah menghidu apa yang bakal berlaku selepas itu. Sudah banyak kali dia dan Azman ditimpa masalah jika peristiwa seperti itu berlaku.
“ Ahhh pergi mampos lah! Perasan bagus! Kesah ke aku!” Azman membuka begnya dan mengeluarkan cermin kecil sambil membelek wajahnya. “ weh jerawat kat hidung!”
“ Aduhai pondan ni pun tak sedar diri. Muka kalau dah jantan pecah rumah tak payah berangan jadi betina!” tiba-tiba salah seorang dari lelaki tadi bersuara sambil disahut dengan gelak tawa rakannya di sebelah. Mendengarkan itu Azman bingit. Dia membetulkan duduknya, mengipas wajahnya dengan tangan dan merenung ke arah Hani. Hani disebelahnya hanya terdiam sambil kepalanya digeleng-gelengkan tanda tidak mahu Azman bersuara lagi.
“ Aduh panas ni!! Eh Hani darling, you dengar tak apa i dengar? Ada macam bunyi babi tadi kan?” usai mengatakan itu Azman berpaling memandang kedua lelaki tadi dengan muka selamba. “ korang dengar tak?”
“ Woi bapok lu ni kurang hajar sangat ape hal? Kau ni sekali aku terajang mampos!” salah seorang dari lelaki tadi sudah berdiri di hadapan Azman. Tangannya sudah menggenggam kolar baju Azman. Hani di sebelah hanya terdiam. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan.
“ Kau fikir kau punya terajang je ke? Pegi mamposlah! Korang tu yang kurang ajar! Nak terajang, terajanglah!” Azman meludah muka lelaki tadi. Serentak itu juga satu tumbukan yang kuat tepat mengenai pipi Azman. Hani menjerit ketakutan. Dia cuba untuk membantu Azman berdiri namun dihalang oleh lelaki yang satu lagi.
“ Lu minah kalau nak selamat baik lu duduk je dekat situ. Member kau yang pondan ni memang kurang ajar!” Hani hanya mampu menjerit minta Azman dilepaskan bila melihat tubuh Azman dihinjak berkali-kali oleh kedua lelaki tadi. Azman pula menutup tangannya di muka.Dia menjerit kesakitan setiapa kali tubuhnya dipukul.
“ kau tu yang babi bodoh!”Lelaki yang mula-mula memukul Azman tadi tunduk ke muka Azman dan meludahnya kembali. Dia kemudiannya merampas beg Azman dan terus berdiri. Sementara itu lelaki yang seorang lagi sedang bergelut dengan Hani yang sedaya upaya tidak mahu begnya dirampas. Dia berkali-kali menjerit meminta pertolongan. Adengan tarik menarik berlaku dan dengan satu tolakan Hani jatuh ke tanah dan kedua lelaki tadi sudah menaiki motorsikal mereka.
                                      *********************
Hari sudah lewat petang. Jimmy memandu keretanya pulang dari kampus. Hari itu dia terlalu sibuk. Jadualnya padat kerana dipenuhi dengan kelas-kelas ganti yang telah ditangguhkan di awal semester. Jam sudah menunjukkan jam lima setengah petang.
Jimmy memandu agak laju. Dia tidak mahu ketinggalan untuk menunggu Hani hari itu. Camar dan mawar kertas masih belum dia lipat. Nota yang diberikan untuk Hani hari semalam menyatakan yang dia akan berbaju merah hari ini. Tapi kemeja yang dipakainya itu berwarna putih. Dia kelam kabut. Di mindanya dia cuba mengarang secepat mungkin bait-bait puisi untuk dicoretkan di camarnya hari itu. Dia buntu.
Mujur kenderaan tidak banyak di atas jalan hari itu. Jadinya dia dapat memandu dengan laju tanpa banyak halangan. Kalaupun ada cuma lampu traffik yang sedari tadi asyik merah. Dia menyumpah di dalam hati bila terpaksa berhenti di lampu merah sekali lagi. Jika diikutkan hati sudah dilanggar sahaja lampu itu. Jimmy mengeluh panjang. Radio yang dari tadi dipasang perlahan dia kuatkan volumenya. Dia mengangguk-anggukkan kepala mengikut rentak lagu yang berputar di corong radio.
Tiba-tiba dari dalam kereta itu dia dapat melihat jelas seorang perempuan jatuh terduduk ditolak seorang lelaki yang kemudiannya melarikan beg perempuan itu bersama rakannya yang sudah sedia di atas motosikal. Dia juga melihat kelibat seseorang yang terbaring di bawah bangku perhentian bas itu. Tanpa berfikir panjang dia terus memecut keretanya walaupun lampu traffik masih lagi menyala merah. Dia cuba untuk memotong motorsikal itu namun gagal. Berkali-kali dia membunyikan hon namun motosikal itu makin memecut dengan laju.
Jimmy menekan pedal minyaknya. Dia hampir berjaya memotong motosikal tersebut. Di belakang keretanya terdapat sebuah iswara merah yang nampaknya juga sedang mengejar motosikal tersebut. Jimmy memusingkan sterengnya ke sebelah kiri dan melanggar bahagian belakang motor tersebut. Penunggang motosikal tersebut kehilangan keseimbangan lalu mereka berdua jatuh terseret di atas jalan. Jimmy berhenti dan keluar dari kenderaanya. Dia kemudiannya memberkas pembonceng motosikal tadi yang kakinya sudah luka berdarah.
Tanpa Jimmy sedar, lelaki yang membawa motor tadi sudah berdiri dan mengangkat motornya semula. Dia naik ke motornya, memulas pedal dan terus bergerak meninggalkan kawannya yang sudah diberkas Jimmy. Namun pemandu kereta iswara tadi bertindak pantas dengan menghadang jalan penunggang motosikal tadi dan membuatkan dia tersungkur buat kali kedua. Dari dalam kereta iswara itu keluar seorang lelaki dan seorang perempuan yang kelihatan seperti pasangan suami isteri setengah umur. Si suami pantas memberkas penunggang motosikal tadi manakala isterinya mengeluarkan telefon dan menelefon polis.
Beberapa kenderaan lagi berhenti di situ. Masing-masing ingin membantu. Dari tempat dia duduk memegang tangan si peragut tadi Jimmy dapat melihat kelibat seorang perempuan sedang memapah lelaki kurus di sebelahnya menuju ke arah kumpulan orang ramai itu. Bila mereka semakin mendekat, barulah Jimmy kenal dengan wajah itu. “Hani” dia berbisik dalam hati.
“ owh kau meragut ya! Kurang ajar!” seorang lelaki berbadan agak besar datang ke arah Jimmy dan cuba untuk menendang si peragut tadi. Jimmy bertindak pantas dengan menghalang niat lelaki itu.
“ Bang jangan bang! Orang ni dah cedera teruk!”
“ Padan muka dia! Siapa suruh meragut. Kau tengok budak perempuan ni! Kau tengok kawan dia teruk kena pukul!” lelaki tadi menuding jarinya kepada Hani dan Azman yang berdiri di belakang Jimmy. Jimmy terus berpaling ke belakang. Sekali lagi matanya bertentangan dengan Hani. Dia dapat melihat dengan jelas riak terkejut di mata yang digilainya itu. Azman di sebelah Hani pula hanya bersandar di bahu Hani dan seorang lagi lelaki yang memapahnya.
“Nah ni beg awak kan!” Jimmy menghulur beg Hani yang diambilnya dari peragut tadi sambil tersenyum. Hani menerima beg itu dengan senyuman manis di bibirnya.
“ Terima kasih “ Hani terus mengalihkan perhatiannya ke arah Azman di sebelahnya.
“ Beg aku!” Azman menunjuk ke arah begnya yang masih di tangan peragut yang membawa motosikal tadi.
“ Kau ni dah sakit-sakit pun beg kau je yang kau ingat. Jap aku pergi ambil!” Hani meninggalkan Azman di situ. Dia menuju ke motosikal tadi dan mengambil beg Azman. Sebenarnya dia berasa janggal bila duduk berdekatan dengan Jimmy sebentar tadi. Kerna seperti biasanya dia akan gugup. Kali ini Jimmy telah menolongnya dan hatinya tidak boleh dikawal lagi debarannya.
Beberapa minit selepas itu kenderaan polis pun sampai. Beberapa pegawai keluar dan menggari kedua-dua peragut tadi.
“ siapa yang kena ragut ni?” seorang pegawai polis bertanya kepada orang ramai yang ada di situ. Hani dan Azman mengangkat tangan. Orang-orang yang lain pun menudingkan jari ke arah mereka.
“ Zarif kamu bawa dua orang ni ke balai. Awak berdua yang kena ragut tu boleh ikut saya. Kami nak ambil keterangan dan awak boleh buat report sekali. Mana-mana yang terlibat untuk tangkap dua orang tak guna tadi tu pun boleh ikut kami juga. Terima kasihlah kerana bantu, siapa yang tangkap ni tadi?”
Jimmy, pasangan suami isteri tadi, dan beberapa lagi lelaki yang berada di situ mengangkat tangan. Mereka pun memandu kenderaan masing-masing menuju ke balai polis. Semua yang berkumpul tadi bersurai meninggalkan beberapa pegawai polis yang sedang mengangkat motosikal peragut tadi itu.
                             ******************

“ takpe encik. Saya kenal mereka berdua ni. Kami duduk di bangunan yang sama. Saya boleh tolong hantarkan mereka balik ke rumah”
“ Owh kalau macam tu baguslah! Ha yang awak ni betul ke tak mahu pergi hospital?” Pegawai polis itu bertanya kepada Azman yang duduk di sebelah Hani.
“ tak pe encik, saya ok dah. Sakit sikit je ni”
“ ok takpelah kalau macamtu. Tapi kalau betul awak sakit kami boleh hantarkan ke hospital. Baiklah setakat ini awak semua bolehlah balik. Tapi harap boleh beri kerjasama jika kami perlukan awak-awak ni semua sebagai saksi jika kes ni dibawa ke mahkamah kelak” pegawai polis itu sudah berdiri dari kerusinya. Jimmy, Hani, Azman dan pasangan suami isteri itu pun turut bangun dan bersalaman dengan pegawai tadi.
“ ni encik Hazimi, betul nak bawa mereka berdua ni?” sekali lagi pegawai polis itu bertanya kepada Jimmy.
“ Takpe. Kami duduk di kondo yang sama encik. Hmm kalau macam tu kami gerak dululah ya!” sekali lagi dia bersalaman dengan pegawai itu.
“ terima kasihlah kerana membantu kami pihak polis dalam membanteras jenayah ragut ni ya! Harap dapat terus membantu kami. Terima kasih ye En Hazimi, En Zainal, Puan Zaiton. Awak berdua ni lain kali hati-hati ya! Jenayah ni boleh berlaku kat mana-mana pun!”  pegawai polis itu mengucapkan selamat tinggal kepada mereka semua. Pasangan suami isteri tadi pun bersalaman dengan Jimmy, Hani dan Azman lalu meninggalkan mereka bertiga di situ. Mereka bertiga pun menuju ke tempat parkir dimana tempat kereta Jimmy berada. Hani yang berada di sebelah kiri kereta itu dapat melihat dengan jelas kesan kemik di bahadian hadapan kereta biru itu akibat perlanggaran tadi.
“ Kereta awak kemik!” Hani bersuara dan memandang ke arah Jimmy. Azman disebelahnya hanya memerhatikan sahaja kesan kemik itu.
“ hmmm takpe. Sikit je tu. Masuk bengkel ketuk-ketuk sikit dah ok dah. Hmm masuklah!” Jimmy mempelawa Hani dan Azman masuk dan kemudian mereka pun bergerak untuk pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan mereka hanya banyak berdiam. Terutama sekali Azman yang bengkak pipinya akibat ditumbuk sebentar tadi.
“ korang berdua ok ke? Serius tak nak pergi hospital dulu?” Jimmy memulakan bicara.
“ eh takpe, kami nak terus balik rumah je” Hani segera menolak pelawaan itu. Hatinya masih berdegup kencang. Mujur ada Azman di situ. Kalau tidak mungkin dia sudah pengsan .
“ macammana kau tahu kitorang duduk kondominium Datin Aminah tu?” Azman menyuarakan soalannya.
“ saya duduk situ juga. So pernahlah nampak korang berdua kat situ” Jimmy menjawab soalan itu dengan penuh hati-hati. Dia tidak mahu tersilap kata. Padahal dialah yang duduk di tepi tasik menunggu Hani pulang kerja tiga minggu berturut-turut. Padahal dia jugalah yang menjatuhkan origami-origami dari jendela untuk Hani setiap petang.
Hani cuma senyap seribu bahasa. Azman begitu hairan dengan sikap kawannya itu. Dia mengangkat kening memberikan isyarat kepada Hani yang sedang membelek telefon bimbitnya tanpa sebab itu. ‘kenapa?’
Hani faham maksud isyarat yang diberikan Azman yang duduk di sebelahnya di belakang kereta itu. Di lantas menaip sesuatu di telefonnya dan menunjukkannya kepada Azman.
‘Mr Angel’
“hah??!!” Azman tidak dapat mengawal rasa terkejutnya. Dia kemudiannya menutup mulut tanda tidak percaya. Ditenungnya mata Hani dalam dalam dan kemudiannya tersenyum sambil berkata sesuatu. Tapi tiada suara yang kedengaran. Dari gerak mulut dan gaya menggedik Azman, Hani dapat mengagak apa yang cuba dikatakan oleh sahabatnya itu.
‘HENSEM GILAAAAAAAAAAAAAA!!!!’
                                      **********
Kereta berhenti di perkarangan kondominium tersebut. Jimmy memarkir Suzuki Swift nya di tempat biasa.
“ ok dah sampai” Jimmy keluar dari kereta tersebut diikuti oleh Hani dan Azman.
“ Awak terima kasih ye bantu kami. Kalau awak dengan orang-orang tadi takde mesti dah lesap dah beg kami” Hani berkata kepada Jimmy. Azman disebelahnya pula hanya tersenyum kambing melihat wajah Jimmy.
“ takpe, kebetulan saya lalu jalan tu. So saya tolonglah. So jomlah naik!”
“ terima kasih banyak-banyak ye!” Azman pula berterima kasih kepada Jimmy. Bibirnya masih lagi tersenyum lebar. Mereka bertiga pun berjalan menuju ke arah lif dan naik ke atas. Mereka tiba di tingkat lima. pintu terbuka. Hani dan Azman pun keluar dari lif tersebut.
“ awak tak nak singgah dulu ke?” Azman mempelawa Jimmy masuk. Hani disebelahnya sudah sedia mencubit pinggang Azman.
“ hmm takpelah. Saya terus balik rumah. Saya naik dulu” Jimmy menolak pelawaan itu dan terus menekan butang menutup pintu lif tersebut.
“ terima kasih ya! Hati-hati!” Azman melambai mesra ke arah Jimmy. Sementara Hani di sebelahnya hanya diam membisu sambil tersenyum ke arah Jimmy. Pintu lif tertutup dan Jimmy hilang dari pandangan.
“ ya Allah nok!!! Hensem gila!!!” Azman membuat aksi gedik seperti biasanya. Dia memandang Hani dengan wajah penuh ceria. “ Bagi dia kat aku nok!”
“kau ni sakit-sakit pun menggedik kan! Nak ambik kau!’ Hani menumbuk-numbuk mesra badan Azman di sebelahnya,
“ Oi sakitlah! Kau ni tak kesian ke kat aku ni!”
“ padan muka kau! Tulah orang tua-tua cakap kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Nak laser sangat! Ambik kau!” Hani tertawa berdekah-dekah sambil tangannya memasukkan kunci ke dalam tombol pintu.
“ Ha dah balik dah. Kenapa lambat ni? Ya Allah! Apa dah jadi dengan kamu ni Man?” Puan Latifah terkejut melihat Azman. Mendengar suara ibunya yang cemas itu Hadi pun keluar dari biliknya dan menuju ke ruang tamu. Dia pun nyata terkejut dengan keadaan Azman.
“ Kenapa ni kak? Apa dah jadi?” Hadi bertanya kepada Hani. Hani dan Azman pun bercerita kepada ibunya dan Hadi tentang apa yang telah terjadi hari itu. Puan Latifah dan Hadi nyata terkejut mendengar semua itu.
“ Syukurlah kamu berdua tak teruk sangat. Dah Hadi kamu pergi ambil kotak ubat mak letak kat dalam laci sana tu. Ni kalau tak letak ubat ni makin teruk bengkak ni!” Puan Latifah segera mengarahkan Hadi mengambil kotak ubat dan segera menyapukan ubat di muka dan badan Azman yang cedera. Hadi dan Hani hanya memerhatikan sahaja ibu mereka membuat kerja. Sesekali mereka tergelak besar apabila Azman menjerit-jerit kesakitan apabila kapas yang sudah diletakkan ubat itu menyentuh lukanya.
“ auuuchhh sakitlah mak!”
                             *********************

Hani masuk ke bilinya. Begitu banyak yang terjadi hari itu. Dari masalah pelanggannya di pasaraya tadi hinggalah masalah dia dan Azman diragut. Semua itu berlaku dalam satu hari yang membuatkan dia terasa kusut semacam. Mujur penghujung hari itu bahagia. Mujur penghujung hari itu ceria. Azman sudah lama tidur di bilik belakang. Badannya masih lagi bengkak. Tapi tidaklah seteruk mula-mula tadi. Jam sudah menunjukkan jam 11 malam. Namun dia masih belum rasa mengantuk.
Hatinya tidak keruan lagi malam ini. Malah lebih teruk jika dibandingkan dengan malam sewaktu Puan Ros terjatuh tempoh hari. Jauh lebih teruk jika dibandingkan dengan peristiwa dia tersangkut di dalam lif lama dulu. Kali ini dia cukup yakin yang dia sudah gila bayang. Wajah dan senyuman Jimmy bermain di matanya. Bagaimana beraninya lelaki itu mengejar peragut tadi. Bagaimana lelaki itu tersenyum menghulurkan beg tangannya yang diragut petang tadi. Bagaimana baiknya lelaki itu menghantar mereka sampai ke rumah. Dia rasa gila. Di saat-saat genting seperti itu Jimmy datang menyelamatkannya. Tiba-tiba dia merasakan dirinya itu Mary Jane yang punya Peter Parker yang sentiasa ada untuk menyelamatkannya. Namun baginya Peter Parker versi yang ini jauh lebih kacak. Terlalu kuat untuk menggoncang naluri wanitanya.
Hani duduk di meja soleknya. Dia tersenyum sendiri melayan perasaannya waktu itu. Tiba-tiba dia bangun. Wajahnya kelihatan gusar. Bunga-bunga kertas di atas meja itu mengingatkan dia pada Camar Kertas.
“ omg aku lupa!” Hani segera keluar dari biliknya. Sudah tiada sesiapa di ruang tamu. Ibunya dan Hadi pun sudah masuk tidur. Dia capai topinya yang disangkut di balik pintu dan terus keluar rumah menuju ke arah lif.
Sesampainya di bawah dia terus berlari ke arah rimbunan pandan yang biasa. Malam itu hujan turun renyai-renyai. Hantinya berbisik ‘please jangan basah!’
Dia tiba di rimbunan pandan itu. Keadaan tanah sedikit becak. Matanya melilau mencari jikalau masih ada camar ataupun mawar kertas terdapat di kawasan itu. Namun dia hampa. Puas dia menyelak helaian daun-daun pandan mencari jikalau ada origami itu terselit disebaliknya. Bajunya sudah mulai basah disirami hujan. Mujur dia bertopi. Puas mencari di situ dia bergerak pula ke kawasan sekitar rumpun pandan itu. Namun dia kecewa. Tidak ada sebarang origami mahupun kertas berwarna putih di situ.
Dengan wajah yang muram dia kembali ke arah lif. Ketika itu barulah dia sedar yang dia sebenarnya sudah basan lencun. Dia segera membuka topinya yang basah itu dan menggosok rambutnya dengan tangan. Keadaanya persis orang baru lepas mandi. Mujur tidak ada sesiapa di situ. Dia terus menekan butang naik dan ingin segera balik ke rumah. Skrin di atas pintu lif masih menunjukkan nombor 6. Hani yang kesejukan itu berpeluk tubuh dengan rambutnya yang mengurai ke depan. Topinya masih lagi di tangan. Matanya cuma memandang pintu lif berharap ia segera terbuka. Rasa kecewa dan kesejukan itu membuatkan dia begitu tak bermaya.
Pintu lif terbuka. Hani ingin segera masuk ke dalam lif tersebut. Namun dia terhenti di situ. Matanya tertumpu ke arah seorang lelaki yang berdiri di dalam lif tersebut. Lelaki itu cukup dikenalinya. Hani tergamam. Jimmy berdiri di hadapannya sekarang. Lelaki itulah tadi yang tersenyum memberikan beg tangannya yang diragut. Lelaki itulah tadi yang tersenyum bila dia mengucapkan tanda terima kasih kerana menghantarnya pulang. Tetapi kali ini lelaki itu berwajah muram. Matanya basah dengan linangan air mata. Hani kelu untuk bersuara. Bibirnya ingin dilenturkan untuk mengkir senyum namun dia kaku.
Menyedari yang pintu lif sudah terbuka dan ada orang di hadapannya, Jimmy segera menyapu air matanya. Seboleh mungkin dia cuba untuk tersenyum sambil menyembunyikan rasa sedihnya.
“ hi” itu sahaja yang keluar dari mulut Jimmy. Senyum yang dipaksakan itu diberikan kepada Hani yang masih kaku di depan pintu lif. Jimmy terus keluar dari lif tersebut dan berjalan dengan pantas menuju ke keretanya. Hani hanya melihat sahaja gelagat lelaki itu. Dia cuba ingin bersuara menegur atau bertanyakan apa-apa kepada Jimmy. Namun dia tidak berani. Melihat air mata lelaki itu membuatkan dia terlupa betapa manisnya senyum lelaki petang tadi. Membuatkan dia terlupa betapa cerahnya sinaran mata lelaki itu sebentar tadi. Hatinya tidak keruan sekarang. Dia buntu.
Matanya terus memerhatikan kereta bewarna biru itu menghilang dari pandangan. Pintu lif sudah tertutup kembali. Di tekan lagi butang naik. Pintu terbuka dan dia terus masuk ke dalam. Hatinya jelas tertanya-tanya apakah yang terjadi kepada lelaki itu. Apakah masalah yang membuatnya menitiskan air mata seperti itu. Hani gelisah. Dia masuk ke biliknya dan terus ke bilik air kerana pakaiannya yang basah itu. Dia duduk termenung memandang cermin. Paip air dibuka dan dia terus tenggelam dalam kerisauannya.
                                      ********************

 -tamat episode 5-


INI LAGU YANG AKU TULISKAN KHAS UNTUK EPISODE INI

AKU ADA KAMU

hariku yang ku lalui diam sepi gelita tanpamu di sisi
dan setiap apa yang terjadi pasti resah gelisah bermain di hati

tanpamu di sisiku tak pernah ku bahagia
tanpamu bersamaku tak pernah ku ceria

kau kasih semuanya untukmu
takkan pernah ku berpaling kau hanya satu

disetiap adanya dirimu penuh warna warni disegenap hariku
hadirmu disisiku tak pernag ku derita
hadirmu bersamaku takkan ada bosannya

engkaulah segalanya untukku bahagia
dan engkaulah segalanya untukku ceria
engkaulah segalanya pengubat derita
kuberharap ku akan ada kamu selama-lamanya

aku ada kamu: deedymarji
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by AllBlogTools.com Enhanced by MyBloggerTricks.com