oh belog

Sunday, March 18, 2012

ORIGAMI_EPISODE 7


EPISODE 7
          Wanita itu termenung di tangga. Rumah papan yang cantik dengan segala ukiran kayu itu pusaka dari bapanya. Sudah hampir setahun dia kembali ke rumah itu. Hampir setahun juga peristiwa dia dijadikan tebusan oleh suaminya sewaktu polis mahu memberkas lelaki tersebut berlalu. Luka akibat torehan pisau yang melukai pangkal lehernya sudah sembuh. Namun luka di hatinya masih lagi berdarah.
          Lelaki itulah yang dulunya berjanji mahu menjadikan dirinya seorang isteri paling bertuah dalam dunia. Lelaki itulah yang dulunya berkata yang dia tidak pernah ambil kisah tentang statusnya sebagai seorang janda. Dan lelaki itulah juga yang berjanji akan menjadikan satu-satunya anak peninggalan arwah suaminya seperti anaknya sendiri.
          Tapi semua itu cuma janji. Janji kosong seorang lelaki hina yang langsung tak tahu mengenang budi. Sekarang lelaki itu sudah ditangkap polis. Dijatuhkan hukuman penjara atas tuduhan mendera, mencederakan dengan sengaja, dadah dan juga judi. Dia kini merengkok di penjara. Mungkin menyesal, atau mungkin tidak langsung rasa bersalah atas segala perbuatannya yang dulu. Wanita itu tidak lagi kisah tentang apa yang terjadi kepada suaminya itu. Dia kini bebas. Tuntutan fasakh sudah dia buat. Tinggal menunggu perintah dari mahkamah. Selepas ini, lelaki bernama Zamir itu takkan pernah lagi wujud dalam hidupnya. Mungkin dia dulu terlalu bodoh untuk terus bergantung kepada lelaki itu. Namun kini dia sedar yang dia mampu berdiri sendiri. Mampu hidup berdikari tanpa seorang lelaki mahupun suami.
          Wanita itu Maznah. Dibeleknya kuntuman bunga-bunga orkid di halaman rumah peninggalan ibu bapanya itu sedari tadi. Hatinya bungkam. Sudah setahun dia terpisah dari anak lelakinya Hazim. Dia sudah bertekad untuk menjaga anaknya itu dengan tangannya sendiri selepas ini. Namun hasil perjumpaannya dengan Salmah jirannya itu dua bulan lepas membuatkannya hampa. Dia tidak tahu yang Zamir telah meninggalkan surat atas namanya kepada Salmah dan meminta wanita itu menjaga anaknya ataupun menyerahkannya kepada orang-orang yang mahukan anak angkat. Maznah bertambah sedih apabila mengetahui anaknya itu kini sudah dijaga oleh orang lain. Orang kaya besar di Kuala Lumpur. Konglomerat terkenal dalam bidang pembinaan bangunan.
          “ Aku minta maaf Maznah. Aku tak tahu nak buat apa. Waktu tu aku rasa itulah pilihan yang terbaik. Hazim dapat hidup selesa macam kanak-kanak lain. Bebas dari segala masalahnya yang lampau. Nanti kita jumpa mereka. Kita cakap elok-elok ya Maznah” itulah kata-kata Salmah kepadanya dua bulan lepas. Dia sudah dapatkan alamat En Daris dari Salmah. Namun dia belum pernah bersemuka dengan orang itu. Dia hanya memerhatikan sahaja rumah mereka dari jauh. Dia belum mampu untuk bersua muka dengan anaknya walaupun jauh di sudut hati tersimpan rasa rindu yang tebal terhadap anaknya itu.
          Pagi tadi dia ke sekolah Hazim. Puas dia mencari anak itu sekeliling kawasan sekolah. Dia memilih untuk berjumpa anak itu di luar pengetahuan Daris dan isterinya. Pencariannya hampa. Dia tidak menjumpai kelas Hazim kerana bangunan sekolah itu terlalu besar dan terlalu ramai murid yang berada di situ. Dia sudah kepenatan dan terus menuju ke kantin. Dia memesan segalas sirap duduk di meja paling hujung. Loceng berbunyi menandakan waktu rehat bermula. Sekelip mata kantin sekolah yang tadinya kosong itu penuh dengan pelajar yang berpusu-pusu mahu membeli makanan.
          “ Makcik, kat sini ada orang duduk tak? Boleh kami duduk sini” tiba-tiba kedengaran suara yang betul-betul membuat hatinya berdegup kencang. Hazim kini berdiri betul-betul di hadapannya. Tangannya memegang sepinggan mee goreng. Di sebelahnya berdiri dua orang lagi kanak-kanak lelaki juga dengan mee goreng masing-masing. Maznah kelu. Anak lelaki yang dirinduinya itu kini betul-betul berdiri di hadapannya. Namun anak itu jelas tidak mengenalinya.
          “ Mak cik, boleh ke tak kami duduk kat sini? Meja yang lain dah penuh” Hazim bertanya lagi.
          “ owh boleh. Duduklah. Makcik pun duduk sorang-sorang tak ada kawan ni” Maznah agak janggal membahasakan dirinya ‘makcik’ di hadapan anaknya sendiri. Namun dia tahu, anaknya itu tidak lagi mengenalinya kini. Menurut Salmah, hazim hilang ingatan selepas kemalangan tersebut.
          “ terima kasih makcik” tiga anak lelaki tadi duduk semeja dengan Maznah. Hazim kemudian mengeluarkan sebuah bekas makanan dari beg sekolahnya lantas membukanya. Bekas itu berisi tiga ketul ayam goreng yang sudah bersira dengan sambal. Hazim kemudiannya menghulurkan ayam itu satu persatu kepada dua orang lagi rakannya.
          “ Hari ni Mak Ani masak ayam goreng. Jimmy minta dia bungkuskan untuk awak dua orang sekali. Makan tau!”
          “ terima kasih Jimmy” dua orang kanak-kanak tadi sudah mula menyuapkan mee goreng dan ayam tadi ke dalam mulut. Perbuatan mereka hanya diperhatikan saja oleh Maznah yang sedang tersenyum. Hatinya remuk bila satu-satunya anak lelakinya itu sudah tidak mengenali dirinya. Namun dia cukup bahagia melihat anak itu sihat. Cukup gembira melihat betapa mulianya sifat anak lelakinya itu.
          “ Kenapa mak cik tak makan?” Hazim bertanya sambil mulutnya masih lagi mengunyah ayam goreng. Terdapat calitan sambal di pipinya. Maznah segera membersihkan sambal itu dengan tangannya. Sementara itu Hazim terdiam dan hairan dengan perbuatan itu.
          “ Makcik dah makan. Kamu bertiga makanlah” nada suara Maznah begitu sebak. Namun dia berjaya mengawal air matanya dari tumpah membasahi pipi. “nama adik ni siapa?”
          “ Nama saya Izzat Hazimi bin Abdullah. Kawan-kawan panggil saya Jimmy. Yang ini kawan saya Syafiq Hamidi dengan Khairul Afifi” Hazim menjawab soalan itu sambil mulutnya masih lagi mengunyah makanan.
          “ Oh, kenapa panggil Jimmy pulak?”
          “ Tak tahu. Mama dengan papa kita panggil nama kita Jimmy” Hazim masih lagi mengunyah makanan.
          “ Oh. Ha makan elok-elok. Namti tercekik tulang pula.” Sepanjang waktu rehat itu Maznah bersama dengan tiga anak lelaki tersebut. Bertanyakan soalan tentang guru-guru mereka, keluarga mereka. Dari situ dia tahu yang Hazim begitu gembira hidup bersama keluarga barunya. Mereka berpisah selepas loceng menandakan tamatnya waktu rehat berbunyi. Hazim, Syafiq dan Khairul segera membasuh tangan dan bergegas masuk ke kelas.
          “ Bye makcik!” mereka bergerak meninggalkan Maznah sendirian di situ, begitu juga kanak-kanak yang lain. Semuanya bergegas menuju ke kelas masing-masing. Suasana kantin yang tadinya hiruk-pikuk berubah tenang semula. Maznah bangun selepas menghabiskan airnya. Dia memikirkan cara bagaimana untuk bertemu anaknya itu setiap hari. Namun tidak ada solusi yang dia temui. Hinggalah dia terpandang helaian kertas bersaiz A4 yang terlekat di dinding yang tertulis ‘JAWATAN KOSONG. PEMBANTU KANTIN’.
          Maznah tersenyum lebar. Pokok-pokok orkid di halaman rumah itu sudah dia siram dengan air. Hatinya tenang. Esok dia akan memulakan kerjanya di kantin sekolah tersebut. Bermaksud dia akan berjumpa anaknya setiap hari. Walaupun anak itu sudah tidak lagi mengenalinya, namun setakat ini dia puas dapat melihat anak itu betul- betul sihat membesar di hadapan matanya.
                                                ***************
          Pagi itu Jimmy bangun awal. Belum lagi masuk waktu subuh. Sepanjang malam dia tidak mampu melelapkan mata. Hatinya berdebar-debar menunggu hari esok. Hari di mana dia akan bertemu buat pertama kali dengan ibu kandungnya. Dia mahu hari cepat-cepat siang. Entah mengapa dirasakan matahari terlalu lewat menyinarkan cahayanya waktu itu.
          Usai solat subuh Jimmy bergegas turun ke dapur. Mak Ani sedang leka mengupas bawang. Melihat wajah Jimmy dia tersenyum lebar. Sudah lama dia tidak melihat anak muda itu sejak dia mula menuntut di universiti. Padahal wajah itulah yang disetiap paginya akan masuk ke dapur menuntut makanan yang akan dibawanya ke sekolah. Jimmy duduk di meja makan tersebut berhadapan dengan Mak Ani.
          “ Masak ape harini mak Ani?” Jimmy tersenyum lebar. Sukar untuk dia menyembunyikan kegembiraannya waktu itu.
          “ Masak nasi lemak lah! Feveret Jimmy. Sejak Jimmy pegi sambung belajar, dah lama mak Ani tak masak nasi lemak tau” mak Ani tersengih melihat telatah Jimmy. Anak itu sudah dia anggap bagai anaknya sendiri.
          “ Ada sambal udang tak?”
          “ mestilah ada”
          “ yeay!!! Sayang Mak Ani! Jimmy dah lama mengidam sambal udang!” Jimmy tersenyum lebar. Hatinya betul-betul gembira waktu itu.
          “ Jimmy ni gembira semacam je ni. Mak Ani nak cakap sikit ni. Jimmy jangan pernah salahkan mama dengan papa Jimmy dalam hal ni tau. Diorang tu ikhlas jaga Jimmy macam anak sendiri” Mak Ani melihat wajah Jimmy dengan pandangan yang redup. Serentak itu wajah Jimmy yang tadinya ceria berubah agak serius.
          “ Ye Jimmy tau Mak Ani. Jimmy tau mama dengan papa tak bersalah. Jimmy tak sabar nak jumpa mak Jimmy. Jimmy nak tahu kenapa dia tinggalkan Jimmy pada orang lain” wajah Jimmy semakin kurang cerianya. Persoalan itulah yang bermain dibenaknya sepanjang malam tadi.
          “ Jimmy dengar sini. Setiap ibu yang baik takkan pernah abaikan anaknya Jimmy. Jimmy budak baik, kalau macam tu ibu Jimmy pun mesti orang yang baik. Jangan salahkan dia Jimmy. Takkan ada ibu yang sanggup berpisah dengan anaknya. Takkan ada. Mak Ani tahu mesti ada sebab ibu Jimmy buat begitu. Siapapun dia, dia tetap ibu Jimmy” Panjang lebar nasihat Mak Ani pagi itu. Wajah Jimmy direnungnya lagi.
          “ Jimmy faham Mak Ani. Jimmy janji, apapun alasan mak Jimmy bagi, Jimmy takkan pernah salahkan dia. Jimmy dah cukup bersyukur dah dapat tengok muka dia yang selama ini Jimmy ingat dah tak ada. Banyak lagi ke bawang nak kena potong? Nak Jimmy tolong” Jimmy mencapai pisau di atas meja dan mula mengupas bawang putih.
          “ Dah tak payah. Mak Ani boleh buat sendiri. Kalau nak tolong, pergi siang udang kat sinki tu. Hahaha” Mak Ani tergelak sakan. Sudah lama dia tidak mengenakan Jimmy. Tapi dia tahu, anak itu sememangnya rajin. Suruhlah apa saja kerja di dapur itu pasti dia buat.
          “ Jimmy janji tau! Mak Ani tak suka kalau Jimmy marah-marah macam malam tadi tu”
                                                *****************

          Jimmy bergerak menaiki kereta selepas bersarapan bersama ibu bapanya. Pak Mail yang memandu hari itu. Selepas bersalaman dengan Puan Rahemah dan En Daris dia terus masuk ke kereta. Sepanjang perjalanan tidak banyak yang dibualkannya bersama Pak Mail. Lelaki itu berulang kali menasihatinya. Persis nasihat Mak Ani untuknya pagi tadi. Dalam hati dia begitu teruja untuk bertemu ibunya. Namun disebalik itu tersimpan juga rasa bimbang di hati. Tidak tahu bagaimana harus dia tempuhi pertemuan itu sekejap nanti.
          Suzuki Swift bewarna biru yang masih lagi kemik bahagian kirinya itu dipandu memasuki suatu lorong. Jalan kampung yang dipenuhi rimbunan pokok pisang dan buluh lemang di pinggir kiri dan kanan itu membuatkan hati Jimmy tenang. Dia memang sukakan kehijauan hutan. Jauh dari hiruk pikuk kesibukan kota.
          Kereta itu dipandu perlahan memasuki perkarangan rumah papan yang dihiasi ukiran-ukiran kayu pada jenang tingkapnya. Enjin dimatikan. Hati Jimmy berdegup semakin kencang. Dipandangnya wajah Pak Mail dengan pandangan kosong. Dia tidak tahu harus berbuat apa.
          “ Ni rumah mak Jimmy. Pergilah. Cium tangan dia. Cium dahi dia. Pak Mail tahu Jimmy betul-betul rindu pada dia” Pak Mail menepuk-nepuk bahu anak muda itu. Perlahan-lahan Jimmy membuka pintu kereta dan terus berdiri di luar. Kakinya berat dilangkahkan menuju ke tangga di pintu masuk rumah tersebut.
          “ Assalamualaikum!” Jimmy memberi salam. Namun tiada sesiapa yang menjawab salamnya dari dalam rumah. Dia memberi salam sekali lagi. Namun salamnya tetap tidak disahut. Jimmy menunggu agak lama sebelum memberi salam yang ketiga kalinya.
          “ Assalamualaikum”
          “ Waalaikumsalam! Kejap... ada kat belakang ni ha” kali ini salam Jimmy disambut. Maznah rupanya sedang menyapu daun-daun kering di belakang rumah. Dia segera menuju ke depan untuk melihat tetamunya. Penyapu lidi masih kemas di tangan kirinya.  
          Maznah sampai ke pintu depan. Langkahnya terhenti. Ditenungnya wajah anak muda di hadapan tangga itu dalam-dalam. Dia kenal wajah itu. Wajah yang selalu bermain di fikirannya tiap waktu. Wajah yang kerap kali muncul di mimpi-mimpinya saban malam. Dan wajah itu kini betul-betul berada di hadapannya. Tidak ada kata yang mampu dia luahkan. Tidak ada. Penyapu lidi di tangan kirinya terlepas dari genggaman. Matanya hanya tertumpu pada wajah Jimmy.
          Jimmy juga tergamam. Dia merenung wajah ibunya dalam-dalam. Wajah itulah yang selalu dia mimpikan. Dan kini dia pasti wanita itulah yang bekerja di kantin sekolahnya sewaktu dia bersekolah rendah dulu. Mak cik Maznah. Dia tergamam lagi. Tiada sebarang kata yang terluah dari bibirnya. Cuma air matanya yang mengalir membasahi pipi. Cukup menunjukkan betapa hatinya sebak waktu itu. Cukup menjadi bukti betapa dia sangat ingin bertemu dengan ibu kandungnya itu. Penuh sebak Jimmy memulakan kata-katanya. Bait-bait katanya disebut satu persatu. Terlalu berat rasanya lidah mahu meluahkan apa yang terbuku di hati.
          “ Saya selalu hairan, kenapa mak cik selalu bagi nasi lebih untuk saya setiap kali waktu rehat. Saya selalu hairan kenapa setiap kali nasi lemak yang saya beli mesti ada sambal udang bila orang lain cuma dapat telur goreng” Jimmy tidak dapat menahan air matanya lagi. Wajahnya kini dibasahi air mata yang tak berhenti mengalir sedari tadi. “ saya selalu hairan kenapa setiap kali datang sekolah makcik akan tunggu saya depan pintu pagar. Kenapa? Kenapa tak cakap dari dulu. Kenapa biar Jimmy sorang-sorang mak?” Jimmy berdiri kaku di situ. Namun tangisannya tidak dapat ditahan lagi. Sedu sedannya meneggelamkan perkataan-perkataan yang terkeluar dari bibir.
          “ Dan mak pun selalu hairan. Kenapa anak yang mak kandung tak pernah kenal emak yang berdiri betul-betul di depannya selama empat tahun di sekolah itu” tangisan mereka berdua semakin lebat. Air mata yang berguguran jelas menunjukkan betapa mereka mensyukuri nikmat perjumpaan semula itu.
          “ Hazim anak mak!” Maznah mendepangkan dadanya. Sementara itu Hazim segera berlari ke arah ibunya dam membenamkam mukanya ke bahu wanita itu.
          “ Hazim rindu kat mak! Hazim rindu!” itu sahaja yang terluah dari mulutnya. Dia segera mencapai tangan ibunya itu dan dikucup berkali-kali. Dipandangnya wajah wanita itu. Dia sapukan air mata ibunya. Dikucupnya pipi wanita itu berkali kali dan kemudian memeluk erat wanita tersebut.
          Maznah terlalu sebak waktu itu. Dipeluknya erat anak lelakinya itu. Dia kucup ubun-ubun anak itu dan menyeka air matanya. “ mak rindu Hazim sangat-sangat. Mak rindu!” pelukan dua beranak itu makin erat. Sementara itu Pak Mail hanya memerhatikan sahaja kejadian itu dari dalam kereta. Dia tidak mahu mengganggu saat-saat indah pertemuan dua beranak tersebut. Diam-diam dia menyeka air matanya. Pertemuan itu terlalu mengharukan.
                                      **********************
         
          Jam menunjukkan jam enam petang. Hani berjalan masuk ke perkarangan kondominium mewah itu dari pintu pagar utama. Seperti kebiasaannya dia akan balik dari tempat kerja pada waktu-waktu sebegitu. Dia terus menuju ke rimbunan pandan di bawah kondominium tersebut. Mencari-cari kalau ada sebarang origami yang dulunya biasa terdapat di situ. Diam tak diam sudah hampir sebulan peristiwa dia diragut bersama Azman sudah berlalu. Dan dalam tempoh itu jugalah dia tidak pernah lagi melihat wajah Jimmy. Lelaki yang telah membantunya menangkap peragut-peragut tersebut.
          Kalau dulu setiap petang Jimmy akan berada di tepi tasik, sekarang ini tidak lagi. Mata Hani juga kerap dilirik ke tempat parkir kereta mencari kalau-kalau ada kereta Suzuki Swift bewarna biru diparkir di situ. Namun seperti tuannya, kereta biru itupun sudah hampir sebulan tidak kelihatan. Hari itu rimbunan pandan menghampakan lagi harapan Hani. Dia masuk ke dalam lif dengan wajah muram. Sudah hampir sebulan dia begitu.
          Lif berhenti di tingkat lima. Hani melepaskan keluhan kecil. Penat bekerja hari itu membuatkan dia semakin tidak bersemangat. Selepas memberi salam, dia membuka pintu, memanggalkan kasut dan terus merebahkan punggungnya di atas sofa.
          “ Ha balik dah! Eloklah anak dara duduk terkangkang macam tu!” Puan Latifah menegur anak daranya itu dari dapur.
          “ Alah kejaplah mak. Kaki orang nak tercabut dah ni. Satu hari dok berdiri je” Sekali lagi Hani melepaskan keluhan kecil. Tiba-iba matanya terpandang sesuatu di lantai. Sesuatu yang amat berharga baginya yang sepatutnya terletak kemas di atas meja solek di biliknya. ‘mawar kertas’
          “ mak, macammana bunga Hani ni boleh sampai kat sini? Siapa yang bawa keluar dari bilik Hani?” Hani mengambil bunga tersebut dan ditunjukkan pada ibunya di dapur.
          “ manalah emak tahu. Adik kau tu yang sibuk buat main benda tu tadi” Puan Latifah menjawab soalan Hani penuh selamba.
          “ Hah? Hadi ambil ni dari bilik Hani ke mak? Mana budak tu?” Hani semakin hilang sabar. Setahunya, Hadi tidak pernah masuk ke biliknya tanpa kebenaran.
          “ Engkau ni dah kenapa pulak? Adik kau tu ada tadi. Dia keluar kejap mak suruh beli tepung. Kejap lagi baliklah dia tu” Puan Latifah menyambung kembali kerjanya. Hani kembali ke sofa di ruang tamu. Tidak lama kemudian Hadi tiba dengan beg plastik berisi tepung gandum di tangan.
          “ ha, dah balik pun. Meh sini! Kau ambil ni dari bilik akak ea?” Hani bangun dan menghampiri adiknya itu.
          “Ambil apa? Mana ada Hadi masuk bilik akak!” Hadi menidakkan tuduhan itu.
          “ Owh tipu pulak. Cakap mana Hadi dapat bunga ni?” Hani sudah memulas telinga adiknya itu.
          “ Adoi sakitlah! Mak tengok akak ni! Mana ada Hadi ambil bunga tu dari bilik akak. Tu Hadi punya lah” Hadi terjingkit-jingkit menahan sakit.
          “ Kalau tak ambil dari bilik akak, mana kau dapat bunga ni?” Hani memulas lagi telinga adiknya itu.
          “ Auuu sakitlah! Hadi buat sendiri lah bunga tu! Mana ada ambil kakak punya!” Hadi meronta-ronta minta dilepaskan. Hani melepaskan telinga adiknya itu kemudian merenung matanya dalam dalam.
          “jangan tipu ea! Kalau betul Hadi yang buat, pergi ambil kertas buat depan akak sekarang” jari telunjuk Hani ditujukan ke arah bilik adiknya itu.
          “ Akak ni kenapa ha? Yelah kejap Hadi pergi ambil” seketika kemudian Hadi muncul semula ke ruang tamu dengan sehelai kertas putih di tangan. Puan Latifah yang berada di dapur jelas tidak mahu terlibat dalam pertelingkahan adik beradik itu. Hadi kemudiannya melipat kertas itu satu persatu sehingga menjadi sekuntum mawar kertas persis yang terdapat di bilik Hani.
          Hani terlopong. Tidak disangka memang bunga kertas di lantai itu adalah hasil tangan adiknya. Persoalan yang muncul di benaknya kini adalah ‘betul ke Hadi Camar Kertas?’. Dia mula berasa bimbang. Takkanlah selama ini dia jatuh cinta dengan adiknya sendiri. Perlahan-lahan dia cuba mendapatkan penjelasan dari adiknya itu.
          “ Hadi ke yang letak bunga-bunga kertas macam ni kat bawah tiap-tiap petang?”
          “ Apa akak merepek ni? Tadi tuduh orang masuk bilik dia. Pastu cakap orang buat apa-apa ntah!” Hadi memandang hairan kepada kakaknya itu.
          “ So Hadi bukanlah Camar Kertas kan?” Hani bertanya lagi.
          “ Dah gila ea? Malas nak layan” Hadi segera meninggalkan kakanya itu termangu-mangu sendirian. Dia terus menuju ke pintu kamarnya.’
          “ Hadi nanti dulu! Mana Hadi belajar buat bunga tu?” belum sempat Hadi masuk ke biliknya, Hani menyuarakan soalan itu.
          “ Abang Jimmy yang ajar Hadi. Akak tak kenal abang Jimmy tu? Hadi belajar ngan dia kat tepi tasik petang-petang” selamba Hadi menjawab soalan kakaknya itu.
          “ Jap! Jimmy tu duduk tingkat lapan ke?” Pantas Hani bertanya lagi.
          “ akak ni kenapa? Ha’a dia duduk tingkat lapan. Hadi tengok tiap-tiap hari dia tulis sesuatu kat kertas tu sebelum dia lipat jadi bunga”
          “ Apa dia tulis?” Hani terdesak untuk mendengar jawapan Hadi.
          “ Manalah orang tahu! Akak ni kenapa ea? Tadi tiba-tiba je pulas telinga orang. Pastu merepek apa ntah pasal camar kertaslah! Sekarang pasal abang Jimmy pulak. Hadi tak tahu. Abang Jimmy pun dah lama Hadi tak nampak. Dahlah Hadi nak mandi” Hadi terus masuk ke dalam biliknya meninggalkan Hani terpinga-pinga keseorangan di situ.
          Hani memanggil Hadi berulang kali namun adiknya itu sengaja tidak mengendahkan panggilannya. Hani segera masuk ke biliknya lalu menghempaskan badan di atas tilam bercorak bunga-bunga itu. Dia termenung jauh. Nyatalah kini bahawa Jimmylah ‘Camar Kertas’ yang dicari-carinya selama ini. Separuh hatinya berasa gembira kerana lelaki Jimmy dan camar kertas adalah individu yang sama. Namun separuh lagi hatinya bungkam. Lelaki itu tidak lagi hadir di hari-harinya kebelakangan ini. Origami-origami itupun sudah tidak lagi setia menunggunya di tepi rimbunan pandan setiap petang.
          Hani bangkit dari katilnya dan menuju ke meja solek. Dia capai satu dari kuntuman-kuntuman bunga yang tersusun indah di dalam pasu. Terasa tergerak hatinya untuk membuka lipatan mawar kertas tersebut setelah mendengar kata-kata Hadi tadi. Hani nekad untuk membuka lipatan tersebut. Kemudian, apa yang ditemuinya di sebalik lipatan kertas tersebut menyentuh naluri kewanitaannya.


          Semalam camar kertas ini biru
          Tapi hari ini oren
          Tak tahu mengapa rasa bodoh untuk terus menunggu di tepi tasik itu
          Mungkin kerana ganjarannya lumayan barangkali
          Esok camar kertas warna putih
          Harap awak sudi terima si putih itu

          Camar kertas


          Hani jelas terkejut membaca itu. Tidak pernah terduga di hatinya bahawa mawar-mawar kertas itu menyimpan kata-kata dari Jimmy. Dia terus membuka lagi mawar-mawar itu.

          Hitam
          Hari hitam ini semendung hati aku
          Semalam yang hijau pun kecewa

          Aku tak gemarkan merah jambu
          Sebab tak mahu orang gelarkan mat jambu’
          Tapi aku berkira-kira untuk ‘merah jambu’ hari esok

          Hmmmmm
          Esok camar kertas warna ungu

 saya xde baju pink: camar kertas

          Hani tersenyum sendiri membacakan setiap satu nota-nota dibalik lipatan mawar kertas tersebut. Dia berasa begitu bodoh kerana tidak mahu membuka mawar-mawar itu sejak awal-awal lagi.

          Semalam,
          Saat awak bantu perempuan itu
          Tangan saya menggigil sambil kutip buah oren atas jalan

          Cukup dengan senyum, awak buat tidur saya tak lena satu malam
          Hari ini camar kertas warna kelabu
          Saya tetap tunggu

          Sebab saya tak tahu malu: camar kertas

          Tiba-tiba Hani teringatkan peristiwa sewaktu dia membantu jirannya iaitu Cik Ros yang terjatuh tidak lama dulu. Dia tersenyum sendiri.


          Esok saya nekad pakai merah jambu
          Esok saya akan jadi mat jambu
          Sambil tunggu awak kat gazebo tepi tasik tu
          Tolong cari orang yang paling jambu

          Gurau saja
          Esok camar kertas warna kuning

          Betul ke nak saya merah jambu??: camar kertas

          Hani menggeleng-gelengkan kepala. Ada kalanya dia tergelak sorang sorang. Nota-nota itu terus dibacanya hinggalah ke nota yang terakhir.

         
          Alahai hati, kenapalah engkau degil?
          Orang sudah tidak mahu
          Kenapa mesti lagi tunggu

          Hari esok saya biru
          Tak tahu laratkah lagi mahu terus di situ
          Tapi tolonglah mahu
          Saya dah rasa cukup malu

          Muka dah tebal 2 inci: camar kertas

          Hani buka satu lagi.


          Saya selalu berharap
          Kalau naik lif sama-sama awak
          Biar lif itu mati

          Sebab saya mahu body glove satu lagi
          Melekat di sebelah pipi
          Barulah afdal lengkap kanan kiri

          Esok saya merah
         
          Gazebo tepi tasik: camar kertas

          Itu nota yang terakhir. Hani tidak pasti tentang turutan nota-nota itu. Yang pastinya bunga-bunga itu diletakkannya tidak mengikut turutan nombor atau hari. Jadi dia tidak tahu yang mana satu nota yang awal dan yang mana nota terakhir. Dia benar-benar terasa bodoh tika itu. Melepaskan peluang berharga kerana tidak mahu kehilangan origaminya. Dia menyesal.
          Hani mencapai topinya dan terus menju ke pintu depan. Dia keluar dari rumah dan masuk ke dalam lif. Butang bernombor lapan dia tekan. Pintu lif tertutup dan lif terus bergerak ke atas. Setibanya di tingkat lapan dia terus keluar. Ada empat pintu di tingkat itu. Dan Hani pun tidak pasti Jimmy tinggal di rumah yang mana satu.
          Hani memandang hampa ke lantai. Dia tidak tahu apa yang dilakukannya waktu itu. Dia tidak mungkin mengetuk pintu itu satu persatu. Kalaupun Jimmy ada. Dia tidak mahu dicop sebagai ‘perigi mencari timba’. Dia tidak mahu. Lagi pula selama ini Jimmy sudah menunggunya setiap hari di tepi tasik. Tapi dia tidak muncul. Mungkin juga lelaki itu sudah patah hati dan melupakannya kini. Fikiran-fikiran seperti itu buat Hani goyah. Dia terus kembali ke dalam lif. Hatinya tergerak untuk ke tasik. Jam sudah menunjukkan jam tujuh suku. Bermaksud sebentar lagi azan maghrib akan berkumandang. Butang G ditekan dan lif terus bergerak turun ke tingkat bawah.
          Sebaik pintu lif terbuka. Hani terus berlari ke arah tasik. Puas dia berlegar-legar di sekitar tasik itu. Namun sekali lagi dia hampa. Tiada seorang pun yang berada di situ. Hatinya runtun. Dia terduduk lesu di bangku. Lama juga dia berdiam diri sebelum akhirnya dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan menalifon seseorang.
          “Man... aku dah jumpa camar kertas. Aku... aku dah tahu siapa dia. Tapi.......” kata-kata Hani tenggelam dalam esak tangisnya.
                                                ******************
         
 -tamat episode 7-

ini lagu yang aku tuliskan khas untuk episode ini

MUNGKIN RINDU
terasa hilang xmenentu di hatiku
apakah puncanya aku pun langsung xmenahu
mungkin kerna apa yang kulakukan padamu
dan mungkin inilah yg mereka bilang rindu

tak pernah kurasakan sebegini
sebelum kau pergi tinggalkan aku sendiri
dan bila nantinya engkau pun datang kembali
ukirlah senyuman paling manis dari hati

memang selalu kau ada di depanku
yang membuat aku takpernah menghargai kamu
ku harap kau dengarkan lagu ini khas untukmu
yg aku tuliskan jujur mungkin aku rindu kamu


mungkin rindu:deedymarji


teruskan membaca episode 8
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by AllBlogTools.com Enhanced by MyBloggerTricks.com

No comments: