oh belog

Sunday, March 18, 2012

ORIGAMI_EPISODE 8


EPISODE 8

“ Kau serious ke nyah??” Azman terlopong. Dia bagaikan tidak percaya apa yang baru didengarnya itu. Hani baru sahaja memberitahunya tentang kenyataan bahawa Jimmy dan camar kertas adalah individu yang sama. Panggilan telefon dari Hani malam tadi hanya diisi dengan esak tangis gadis itu. Azman tidak dapat menangkap apa yang ingin diberitahu oleh Hani. Jadi hari ini dia membuat keputusan untuk mendengar terus dari mulut gadis tersebut. 
“ Aku jumpa bunga tu bersepah dalam rumah aku semalam. Aku ingat Hadi ambil dari bilik aku. Rupanya selama ni Jimmy yang ajar dia buat semua itu. Selama ni dia duduk tepi tasik petang-petang sebab nak tunggu aku. Bodohnya aku tak buka bunga-bunga tu awal-awal!” Hani bungkam. Dagunya ditongkat dengan tangan.
“ Tulah kau. Kan aku dah cakap memang dia tengah tunggu kau. Nak jugak tunggu camar kertas. Rupanya orang yang sama. Kan dah melepas dua-dua! Haha” Azman tergelak kecil. Telapak tangannya ditekupkan pada mulut.
“ Kau ni nak tolong aku ke nak perli aku? Baliklah kalau camtu. Tak guna aku ngadu kat kau kalau camni!” Hani memandang hampa ke arah Azman. Lelaki itu segera kembali serius.
“ Ok, ok. Sekarang, kalau kau cakap yang dia dah tak balik rumah lagi, macam mana kita nak cari dia? Bukannya kita tahu dia dia kerja tau belajar kat mana. Bukannya kita tahu mana rumah mak bapak dia pun” Azman menggelengkan kepalanya jelas buntu. Gelas di hadapannya hampir kosong. Kafe itu pun semakin lengang. 
“ Entahlah. Aku tak tahu nak buat apa. Dahlah jom kita balik” Hani mengangkat begnya dan terus ke kaunter untuk menjelaskan bil minuman mereka.
*************

Jimmy menghirup tehnya. Meja makan di dapur rumah kayu itu dilapik pastik bercorak bunga-bunga bewarna ungu. Sementara itu Maznah baru sahaja mengangkat gorengan cucur udang dari kuali dan terus dihidangkan di atas meja.
“Lama lagi ke cuti semester Hazim?” 
“ Lusa Hazim dah mula semester baru. Macam sekejap je rasa sebulan cuti. Tak puas rasanya duduk rumah mak ni” Jimmy menyuapkan cucur udang yang sudah dicicah dengan sambal tumis itu ke dalam mulutnya.
“ Tak apelah. Sebulan tu dah kira lama tu. Nanti bila-bila Hazim cuti balik lagi rumah mak. Lagipun dah sebulan ni Hazim duduk rumah mak jangan lupa pula nak pergi rumah mama dengan papa Hazim. Tak baik tau. Dioranglah yang jaga Hazim dari kecil” perlahan suara Maznah menasihati bujangnya itu.
“ ye mak. Hazim tahu. Esok sebelum balik ke kampus Hazim singgah rumah mama dengan papa dulu. Takpe, diorang faham. Kan Hazim dah lama tak jumpa mak. Lepas ni Hazim janji Hazim akan balik dua-dua rumah kalau ada waktu” Jimmy menyuap cucur udang yang kedua ke dalam mulutnya.
“ Esok Hazim gerak pukul berapa?”
“ Esok dalam pukul 10 pagi macam tu Hazim gerak. Hazim singgah rumah mama dulu lepas itu baru Hazim balik rumah Hazim. Nanti lain kali Hazim bawa mak pergi jumpa mama dengan papa ya!” Jimmy merenung wajah ibunya itu. Jauh di lubuk hati dia tahu ibunya itu sukar untuk melepaskan dia pergi. Tapi apakan daya, dia harus belajar. Jimmy bertekad akan terus menjaga ibunya itu dengan baik selepas ini.
“ Ha eloklah tu. Nanti esok pagi mak buat sarapan nasi lemak dengan sambal udang ya! Boleh Hazim bawa balik bagi mama sekali” Maznah tersenyum melihat anak lelakinya itu. Mendengar ‘sambal udang’ riak wajah Jimmy berubah tiba-tiba. Riak wajah seperti itulah yang selalu dia lihat di kantin sekolah dahulu bila mana anak itu ke kaunter dan bilang “makcik Maznah, Jimmy nak beli nasi lemak . hari ni dapat bonus sambal udang lagi kan?”
“ Yeay! Sambal udang!!”

**************

Kereta satria neo bewarna putih itu masuk ke perkarangan kondominium tersebut kemudian di parkir di petak bersebelahan pokok akasia yang rendang. Dari kereta tersebut keluar Azman dan Hani.
“ Dahlah tu. Kau ni macam orang mati laki tau! Tak payahlah risau. Kalau betul dia nak kat kau, satu hari nanti mesti dia balik cari kau punya” Azman menepuk bahu rakannya itu.
“ hmm yelah. Kau naik dulu ye Man. Cakap kat mak aku naik lama sikit” Hani melangkahkan kakinya menuju ke arah tasik.
“ Hei kau ni dah kenapa? Nak pegi mana pulak tu?” Azman kehairanan melihat tingkah laku Hani hari itu.
“ Alah kau naik jelah dulu ya. Aku nak duduk tepi tasik tu kejap” Hani terus berlalu meninggalkan Azman keseorangan di situ.
“ Ha eloklah tu. Buang tebiat petang-petang ni. Jangan sampai maghrib pulak ye! Ada pulak aku kena kutip mayat kau kembung dalam tasik. Frust laki lari! Ni siapa nak tolong aku angkat semua sayur-sayur ni nyah?” Kata-kata Azman tidak disahut. Hani terus menuju ke tasik. Dia sampai ke gazebo dan duduk di situ. Seumur hidup dia tidak pernah berperangai seperti itu. Namun hari ini dia keliru. Selama ini dia perlekehkan kawan-kawannya yang mogok makan segala akibat cinta. Hari ini dia tahu rasanya. Hari ini dia terima balasannya. Sakitnya kerna cinta.
Dia terus merenung tasik. Tidak jelas apa yang bermain di fikirannya. Yang dia tahu dia hanya mahu duduk di situ. Merasakan bagaimana jenuhnya Jimmy menunggunya setiap petang di situ. Merasakan peritnya rasa menunggu. Hani menggapai batu-batuan kecil dari tanah dan mula melemparkannya ke arah tasik.
“ Ikan tak makan batu lah. Awak buat apa kat sini?”  tiba-tiba seseorang menyapa Hani dari belakang. Hani tergamam. Dia teragak-agak untuk menoleh ke belakang. Dia kenal suara itu. Suara orang yang menangkap peragut begnya. Suara orang yang dilempangnya sewaktu terkandaS di dalam lif. Suara yang mengejutkannya dari mimpinya semalam. Suara itu kini benar-benar Datang dari arah belakangnya. Dia nekad untuk berpusing. Hatinya berdegup kencang.
“ Awak?”
*****************

Hari sudah lewat petang. Jimmy memandu keretanya untuk pulang ke rumahnya. Kereta itu sudah tidak kemik di sebelah kirinya. Sudah dia betulan di bengkel sebulan yang lepas. Dia banyak tersenyum hari itu. Di awal pagi dia keluar dari rumah papan yang penuh dengan ukiran kayu itu. Bersalaman dan berpelukan sama ibunya sebelum memandu balik ke rumah ibu bapa angkatnya.      Di rumah itu pula, En Daris dan Puan Rahemah sudah sedia menunggunya. Dia menceritakan segala yang berlaku kepada ibu bapa angkatnya itu. Segala penjelasan tentang kehilangan ibunya sebelum ini. Jimmy juga berjanji akan menemukan ibunya itu dengan ibu bapa angkatnya.
Suzuki Swift bewarna biru itu memasuki perkarangan kondominium tersebut. Jimmy memarkir keretanya di tempat biasanya kereta itu diparkir sebelum ini. Dia mencapai sesuatu dari tempat duduk belakang. Satu origami berbentuk burung camar dan satu lagi mawar kertas dibawanya ke depan. Dia tersenyum melihat origami-origami tersebut. Dalam hatinya bermain segala persoalan. Adakah Hani masih menunggu origami-origaminya setiap petang?. Adakah perempuan itu benar-benar tidak membaca nota-nota disebalik mawarnya?. Adakah Hani memang tidak pernah sudi menerimanya?
Jimmy membuka pintu kereta dan terus keluar. Dia segera menuju ke rimbunan pandan di bawah kondominium tersebut dan memandang sekeliling. Setelah pasti tiada sesiapa yang melihat, dia meletakkan kedua-dua origami itu dicelah rimbunan pandan tersebut.
Dari rimbunan pandan tempat dia berdiri itu dia merenung ke arah tasik. Kawasan rekreasi itu sunyi hari ini. Cuma terdapat dua orang lelaki tua sedang bermain catur di hujung sana. Hatinya tergerak untuk ke gazebo di tepi tasik tersebut. Setelah agak dekat jaraknya dengan gazebo tersebut, barulah dia perasankan kelibat seorang perempuan yang duduk di situ.
Perempuan itu cukup dikenalinya walau cuma dipandang dari belakang. Rambut panjang yang ditutupi topi itu cukup diingatinya. Perempuan itu sedang menundukkan badannya mengutip sesuatu dari tanah. Kemudiannya perempuan itu melemparkan batu-batu kecil ke dalam tasik. Jimmy hanya memerhatikan saja tingkah laku perempuan itu dari belakang. Sesudah mengumpulkan semangatnya, dia cuba menegur perempuan tersebut.
“ Ikan tak makan batulah! Awak buat apa kat sini?” perempuan itu kaku di tempatnya. Setelah agak lama barulah dia memalingkan mukanya menghadap Jimmy. 
“ Awak? Bila masa awak ada kat sini?” muka Hani merah padam. Dia begitu terkejut dengan kemunculan Jimmy di situ. Hatinya berdegup kencang. Tidak pernah sekencang itu sejak sebulan yang lalu. Sejak peristiwa dia diragut dahulu.
“ Saya baru je sampai. Awak buat apa?” Selamba Jimmy bersuara. Bibirnya mengukir senyuman. Sukar untuk dielakkan raut bahagianya itu.
“ Tengah tunggu orang” ringkas jawapan Hani.
“ Siapa?”
“ Adalah sorang tu” Hani hanya memandang ke bawah. Dia tidak mampu bertentang mata dengan lelaki itu saat ini.
“ kenapa tunggu dia?” Jimmy menyoal lagi. Dia seronok melihat tingkah Hani tidak keruan sebegitu.
“ sebab dia banyak hutang dengan saya” Hani memandang wajah Jimmy. Lelaki itu membuat reaksi kehairanan.
“ Hutang? Hahaha. Awak ni along ke?” Jimmy tertawa kecil. Kemudian dia terdiam. Hani juga sama. Hanya diam. Mereka hanya berpandangan mata.
“ camar kertas. Saya dah tahu siapa dia” Hani bersuara lagi.
“ Hah?” Jimmy terkelu. Dia tidak tahu harus berkata apa.
“ Hari-hari saya baca puisi dari camar kertas. Hari-hari saya lipat balik origami tu jadi camar semula. Kacang goreng”
“ Jadi?” Jimmy tidak dapat menangkap apa yang cuba disampaikan oleh Hani waktu itu.
“ Hari pertama saya dapat mawar kertas, saya buka lipatannya. Ingatkan ada sebarang coretan macam yang ada pada burung itu. Tapi tak ada. Awak tahu tak saya tak tidur satu malam nak lipat bunga tu balik?” Hani memandang Jimmy kali ini. Entah dari mana dia dapat kekuatan itu pun dia tidak tahu.
“ hahahaha. Habis tu berjaya ke tidak?” Jimmy tergelak kecil melihat gelagat Hani. Telatah seperti itulah yang digemarkannya dari gadis itu. ‘kasar-kasar manja’
“ mestilah tak! Dan bunga-bunga berikutnya saya tak berani buka lagi. Sebab saya tahu saya tak mampu nak lipat balik” Hani kelihatan sedikit marah melihat Jimmy mentertawakan ceritanya tadi. Jimmy terdiam. Sangkaannya tepat. Selama ini Hani tidak menemuinya di tasik itu bukanlah kerna dia tidak sudi. Tetapi kerana dia tidak tahu.
“ Dan sampai sekarang awak tak buka lagi bunga-bunga tu?” Jimmy bertanya untuk mendapatkan kepastian.
“ Sudah. Dan saya dah tak ada satu pun lagi bunga-bunga tu sekarang. Saya tak tahu nak lipat semula” Hani buat muka monyok. Dia benar-benar sayangkan bunga-bunga itu.
“ Dan awak baca semua tulisan disebalik bunga-bunga itu?” soalan Jimmy dijawab dengan anggukan lambat-lambat dari Hani. Selepas itu mereka terdiam seketika. Masing-masing malu untuk memulakan bicara.
“ Jadi................. ada peluang lagi untuk saya?” perlahan suara Hani menyuarakan soalan itu. Dia sudah tidak peduli. Biarlah orang mahu kata dia perigi mencari timba. Dia sudah tidak sanggup menanggung perasaan seperti mana yang dirasakannya sebulan kebelakangan ini.
“ Tunggu kejap ye” Jimmy berlari meninggalkan Hani keseorangan terpinga-pinga di situ. Dia berlari ke arah keretanya lalu membuka pintu belakang. Dari dalam kereta dia keluarkan sebuah kotak besar bewarna coklat dan berlari semula ke tasik itu.
“ Apa ni?” Hani kehairanan melihat Jimmy menghulurkan kotak itu kepadanya.
“ hutang saya”
“ Hah? Tak faham!” Hani jelas kebingungan. Jimmy meletakkan kotak tersebut di lantai gazebo itu lalu membukanya. Di dalam kotak itu terisi penuh dengan bunga-bunga dan camar kertas bewarna putih. Hati Hani tersentuh tiba-tiba. Tidak disangkanya lelaki itu menyiapkan origami sebanyak itu semata-mata untuknya.
“ ini hutang saya selama 30 hari. Termasuk 20 peratus interestnya” Jimmy tersenyum bahagia melihat air mata Hani mengalir membasahi pipinya sewaktu dia membelek-belek kandungan kotak tersebut.
“banyaknya.... terima kasih!”
“ janganlah nangis pulak!” Jimmy memandang wajah Hani yang dibasahi air mata itu. Hani segera menyapu air matanya dengan tangan. Topinya ditegakkan lalu dia duduk tegak-tegak sambil tangannya masih lagi memegang origami-origami itu.
“ mana ada nangis! Saya rock tau. Saya tak nangis”
“ Hahahahaha. Awak comel! Sebab itu saya suka. Rock awak tu comel!” Jimmy mencapai hujung topi Hani dan menekannya ke bawah menutupi wajah gadis itu. Tawa mereka memeriahkan kawasan tasik yang lengang pada petang itu.
Hani dan Jimmy duduk di gazebo itu sehingga maghrib. Mendengar cerita masing-masing. Jimmy menceritakan apa yang berlaku sehingga membuatkannya menghilangkan diri selama sebulan. Ternyata Hani seorang pendengar yang baik. Dia mengikuti cerita Jimmy dengan penuh teliti.
“ Baguslah kalau awak dah jumpa mak awak. Saya harap awak bahagia lepas ni. Setiap sesuatu itu tuhan sediakan hikmah disebaliknya. Kita kena redha walaupun kadang-kadang kita tak dapat elak dari rasa kecewa. Kan?” Hani merenung wajah Jimmy. Tangannya masih memegang kuntuman mawar kertas bewarna putih.
“ Awak macam ustazah saya. Ustazah Laila. Apa yang awak cakap tadi tu sama sebiji dengan apa yang dia cakap pada saya. Hahaha. Saya tahu. Saya kena redha. Dan sekarang saya dah terima hikmahnya. Saya dapat mak saya balik. Dan saya dapat apa yang saya nak” Jimmy bersuara tenang. Matanya dipandangkan ke tasik yang perlahan-lahan bertukar jingga akibat biasan mentari senja.
“ Apa yang awak nak?” Hani bertanya pantas.
“ awak!” Jimmy tersenyum melihat Hani malu-malu. Seperti biasa Hani akan membetulkan topinya tak menentu.
“ suka buat orang macam tu kan?” Hani terus memandang tanah. Digoyangkan kakinya persis orang yang sedang mendengarkan lagu.
“ owh saya tak tanya lagi. Macam mana awak boleh tahu saya ni ‘camar kertas’?” persoalan itu tiba-tiba muncul di fikiran Jimmy.
“ hahaha. Awak kenal Hadi?” Hani memandang wajah Jimmy.
“ Hadi......... oh kenal! Budak yang selalu turun kat sini petang-petang tu kan? Kenapa?”
“ dia adik saya! Hahaha” Hani tertawa melihat Jimmy yang jelas terkejut dengan kenyataannya sebentar tadi.
“WHAT??????” Jimmy terlopong.
“ Awak perasan tak?” Hani bersuara lagi.
“ Perasan apa?” Jimmy kehairanan.
“ Hari ini awak ‘jambu’! hahahaha” Hani tertawa geli hati.
“ Mana ada? Baju saya hitam tau!” Jimmy menunjukkan baju yang dipainya waktu itu kepada Hani. “mana ada pink?”
“ Tu!” Hani menghalakan jari telunjuknya ke arah satu jaluran sulaman bewarna merah jambu di bawah logo NIKE pada baju yang dipakai Jimmy hari itu. “mat jambu! Hahahaha”
“ hahahahaha” gelak mereka berkumandang lagi. Jelas menunjukan hati-hati mereka sedang gembira. Hati-hati mereka terasa lega. Hati-hati mereka berbunga-bunga. Senja itu senja paling indah bagi Jimmy. Senja itu senja paling bermakna buat Hani. 
Hani merenung objek kertas di tangannya. Kalau bukan kerana objek itu, mungkin dia tidak akan sebahagia ini hari ini. Objek itu..........ORIGAMI.

-tamat-
 ini lagu tema untuk keseluruhan cerpen ini

ORIGAMI




ORIGAMI

Kertas putih di atas meja
Kulipat mesra
Menjadi bunga-bunga

Kertas putih yang tak berwarna
Kucoret madah
Puisi buat dia

Takkan layu dan pudar
Bunga-bungaku kan mekar
Walaupun kau tak tahu
Ku selalu kan cinta

Takkan jatuh melayang
Camar kertasku kan terbang
Membawa bersamanya puisiku ke awan

kertas putih menjadi bunga
tersusun indah lambang cinta padanya

kertas putih kulipat mesra
tunjuk padanya
origami cintaku


origami: deedymarji
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by AllBlogTools.com Enhanced by MyBloggerTricks.com

ORIGAMI_EPISODE 7


EPISODE 7
          Wanita itu termenung di tangga. Rumah papan yang cantik dengan segala ukiran kayu itu pusaka dari bapanya. Sudah hampir setahun dia kembali ke rumah itu. Hampir setahun juga peristiwa dia dijadikan tebusan oleh suaminya sewaktu polis mahu memberkas lelaki tersebut berlalu. Luka akibat torehan pisau yang melukai pangkal lehernya sudah sembuh. Namun luka di hatinya masih lagi berdarah.
          Lelaki itulah yang dulunya berjanji mahu menjadikan dirinya seorang isteri paling bertuah dalam dunia. Lelaki itulah yang dulunya berkata yang dia tidak pernah ambil kisah tentang statusnya sebagai seorang janda. Dan lelaki itulah juga yang berjanji akan menjadikan satu-satunya anak peninggalan arwah suaminya seperti anaknya sendiri.
          Tapi semua itu cuma janji. Janji kosong seorang lelaki hina yang langsung tak tahu mengenang budi. Sekarang lelaki itu sudah ditangkap polis. Dijatuhkan hukuman penjara atas tuduhan mendera, mencederakan dengan sengaja, dadah dan juga judi. Dia kini merengkok di penjara. Mungkin menyesal, atau mungkin tidak langsung rasa bersalah atas segala perbuatannya yang dulu. Wanita itu tidak lagi kisah tentang apa yang terjadi kepada suaminya itu. Dia kini bebas. Tuntutan fasakh sudah dia buat. Tinggal menunggu perintah dari mahkamah. Selepas ini, lelaki bernama Zamir itu takkan pernah lagi wujud dalam hidupnya. Mungkin dia dulu terlalu bodoh untuk terus bergantung kepada lelaki itu. Namun kini dia sedar yang dia mampu berdiri sendiri. Mampu hidup berdikari tanpa seorang lelaki mahupun suami.
          Wanita itu Maznah. Dibeleknya kuntuman bunga-bunga orkid di halaman rumah peninggalan ibu bapanya itu sedari tadi. Hatinya bungkam. Sudah setahun dia terpisah dari anak lelakinya Hazim. Dia sudah bertekad untuk menjaga anaknya itu dengan tangannya sendiri selepas ini. Namun hasil perjumpaannya dengan Salmah jirannya itu dua bulan lepas membuatkannya hampa. Dia tidak tahu yang Zamir telah meninggalkan surat atas namanya kepada Salmah dan meminta wanita itu menjaga anaknya ataupun menyerahkannya kepada orang-orang yang mahukan anak angkat. Maznah bertambah sedih apabila mengetahui anaknya itu kini sudah dijaga oleh orang lain. Orang kaya besar di Kuala Lumpur. Konglomerat terkenal dalam bidang pembinaan bangunan.
          “ Aku minta maaf Maznah. Aku tak tahu nak buat apa. Waktu tu aku rasa itulah pilihan yang terbaik. Hazim dapat hidup selesa macam kanak-kanak lain. Bebas dari segala masalahnya yang lampau. Nanti kita jumpa mereka. Kita cakap elok-elok ya Maznah” itulah kata-kata Salmah kepadanya dua bulan lepas. Dia sudah dapatkan alamat En Daris dari Salmah. Namun dia belum pernah bersemuka dengan orang itu. Dia hanya memerhatikan sahaja rumah mereka dari jauh. Dia belum mampu untuk bersua muka dengan anaknya walaupun jauh di sudut hati tersimpan rasa rindu yang tebal terhadap anaknya itu.
          Pagi tadi dia ke sekolah Hazim. Puas dia mencari anak itu sekeliling kawasan sekolah. Dia memilih untuk berjumpa anak itu di luar pengetahuan Daris dan isterinya. Pencariannya hampa. Dia tidak menjumpai kelas Hazim kerana bangunan sekolah itu terlalu besar dan terlalu ramai murid yang berada di situ. Dia sudah kepenatan dan terus menuju ke kantin. Dia memesan segalas sirap duduk di meja paling hujung. Loceng berbunyi menandakan waktu rehat bermula. Sekelip mata kantin sekolah yang tadinya kosong itu penuh dengan pelajar yang berpusu-pusu mahu membeli makanan.
          “ Makcik, kat sini ada orang duduk tak? Boleh kami duduk sini” tiba-tiba kedengaran suara yang betul-betul membuat hatinya berdegup kencang. Hazim kini berdiri betul-betul di hadapannya. Tangannya memegang sepinggan mee goreng. Di sebelahnya berdiri dua orang lagi kanak-kanak lelaki juga dengan mee goreng masing-masing. Maznah kelu. Anak lelaki yang dirinduinya itu kini betul-betul berdiri di hadapannya. Namun anak itu jelas tidak mengenalinya.
          “ Mak cik, boleh ke tak kami duduk kat sini? Meja yang lain dah penuh” Hazim bertanya lagi.
          “ owh boleh. Duduklah. Makcik pun duduk sorang-sorang tak ada kawan ni” Maznah agak janggal membahasakan dirinya ‘makcik’ di hadapan anaknya sendiri. Namun dia tahu, anaknya itu tidak lagi mengenalinya kini. Menurut Salmah, hazim hilang ingatan selepas kemalangan tersebut.
          “ terima kasih makcik” tiga anak lelaki tadi duduk semeja dengan Maznah. Hazim kemudian mengeluarkan sebuah bekas makanan dari beg sekolahnya lantas membukanya. Bekas itu berisi tiga ketul ayam goreng yang sudah bersira dengan sambal. Hazim kemudiannya menghulurkan ayam itu satu persatu kepada dua orang lagi rakannya.
          “ Hari ni Mak Ani masak ayam goreng. Jimmy minta dia bungkuskan untuk awak dua orang sekali. Makan tau!”
          “ terima kasih Jimmy” dua orang kanak-kanak tadi sudah mula menyuapkan mee goreng dan ayam tadi ke dalam mulut. Perbuatan mereka hanya diperhatikan saja oleh Maznah yang sedang tersenyum. Hatinya remuk bila satu-satunya anak lelakinya itu sudah tidak mengenali dirinya. Namun dia cukup bahagia melihat anak itu sihat. Cukup gembira melihat betapa mulianya sifat anak lelakinya itu.
          “ Kenapa mak cik tak makan?” Hazim bertanya sambil mulutnya masih lagi mengunyah ayam goreng. Terdapat calitan sambal di pipinya. Maznah segera membersihkan sambal itu dengan tangannya. Sementara itu Hazim terdiam dan hairan dengan perbuatan itu.
          “ Makcik dah makan. Kamu bertiga makanlah” nada suara Maznah begitu sebak. Namun dia berjaya mengawal air matanya dari tumpah membasahi pipi. “nama adik ni siapa?”
          “ Nama saya Izzat Hazimi bin Abdullah. Kawan-kawan panggil saya Jimmy. Yang ini kawan saya Syafiq Hamidi dengan Khairul Afifi” Hazim menjawab soalan itu sambil mulutnya masih lagi mengunyah makanan.
          “ Oh, kenapa panggil Jimmy pulak?”
          “ Tak tahu. Mama dengan papa kita panggil nama kita Jimmy” Hazim masih lagi mengunyah makanan.
          “ Oh. Ha makan elok-elok. Namti tercekik tulang pula.” Sepanjang waktu rehat itu Maznah bersama dengan tiga anak lelaki tersebut. Bertanyakan soalan tentang guru-guru mereka, keluarga mereka. Dari situ dia tahu yang Hazim begitu gembira hidup bersama keluarga barunya. Mereka berpisah selepas loceng menandakan tamatnya waktu rehat berbunyi. Hazim, Syafiq dan Khairul segera membasuh tangan dan bergegas masuk ke kelas.
          “ Bye makcik!” mereka bergerak meninggalkan Maznah sendirian di situ, begitu juga kanak-kanak yang lain. Semuanya bergegas menuju ke kelas masing-masing. Suasana kantin yang tadinya hiruk-pikuk berubah tenang semula. Maznah bangun selepas menghabiskan airnya. Dia memikirkan cara bagaimana untuk bertemu anaknya itu setiap hari. Namun tidak ada solusi yang dia temui. Hinggalah dia terpandang helaian kertas bersaiz A4 yang terlekat di dinding yang tertulis ‘JAWATAN KOSONG. PEMBANTU KANTIN’.
          Maznah tersenyum lebar. Pokok-pokok orkid di halaman rumah itu sudah dia siram dengan air. Hatinya tenang. Esok dia akan memulakan kerjanya di kantin sekolah tersebut. Bermaksud dia akan berjumpa anaknya setiap hari. Walaupun anak itu sudah tidak lagi mengenalinya, namun setakat ini dia puas dapat melihat anak itu betul- betul sihat membesar di hadapan matanya.
                                                ***************
          Pagi itu Jimmy bangun awal. Belum lagi masuk waktu subuh. Sepanjang malam dia tidak mampu melelapkan mata. Hatinya berdebar-debar menunggu hari esok. Hari di mana dia akan bertemu buat pertama kali dengan ibu kandungnya. Dia mahu hari cepat-cepat siang. Entah mengapa dirasakan matahari terlalu lewat menyinarkan cahayanya waktu itu.
          Usai solat subuh Jimmy bergegas turun ke dapur. Mak Ani sedang leka mengupas bawang. Melihat wajah Jimmy dia tersenyum lebar. Sudah lama dia tidak melihat anak muda itu sejak dia mula menuntut di universiti. Padahal wajah itulah yang disetiap paginya akan masuk ke dapur menuntut makanan yang akan dibawanya ke sekolah. Jimmy duduk di meja makan tersebut berhadapan dengan Mak Ani.
          “ Masak ape harini mak Ani?” Jimmy tersenyum lebar. Sukar untuk dia menyembunyikan kegembiraannya waktu itu.
          “ Masak nasi lemak lah! Feveret Jimmy. Sejak Jimmy pegi sambung belajar, dah lama mak Ani tak masak nasi lemak tau” mak Ani tersengih melihat telatah Jimmy. Anak itu sudah dia anggap bagai anaknya sendiri.
          “ Ada sambal udang tak?”
          “ mestilah ada”
          “ yeay!!! Sayang Mak Ani! Jimmy dah lama mengidam sambal udang!” Jimmy tersenyum lebar. Hatinya betul-betul gembira waktu itu.
          “ Jimmy ni gembira semacam je ni. Mak Ani nak cakap sikit ni. Jimmy jangan pernah salahkan mama dengan papa Jimmy dalam hal ni tau. Diorang tu ikhlas jaga Jimmy macam anak sendiri” Mak Ani melihat wajah Jimmy dengan pandangan yang redup. Serentak itu wajah Jimmy yang tadinya ceria berubah agak serius.
          “ Ye Jimmy tau Mak Ani. Jimmy tau mama dengan papa tak bersalah. Jimmy tak sabar nak jumpa mak Jimmy. Jimmy nak tahu kenapa dia tinggalkan Jimmy pada orang lain” wajah Jimmy semakin kurang cerianya. Persoalan itulah yang bermain dibenaknya sepanjang malam tadi.
          “ Jimmy dengar sini. Setiap ibu yang baik takkan pernah abaikan anaknya Jimmy. Jimmy budak baik, kalau macam tu ibu Jimmy pun mesti orang yang baik. Jangan salahkan dia Jimmy. Takkan ada ibu yang sanggup berpisah dengan anaknya. Takkan ada. Mak Ani tahu mesti ada sebab ibu Jimmy buat begitu. Siapapun dia, dia tetap ibu Jimmy” Panjang lebar nasihat Mak Ani pagi itu. Wajah Jimmy direnungnya lagi.
          “ Jimmy faham Mak Ani. Jimmy janji, apapun alasan mak Jimmy bagi, Jimmy takkan pernah salahkan dia. Jimmy dah cukup bersyukur dah dapat tengok muka dia yang selama ini Jimmy ingat dah tak ada. Banyak lagi ke bawang nak kena potong? Nak Jimmy tolong” Jimmy mencapai pisau di atas meja dan mula mengupas bawang putih.
          “ Dah tak payah. Mak Ani boleh buat sendiri. Kalau nak tolong, pergi siang udang kat sinki tu. Hahaha” Mak Ani tergelak sakan. Sudah lama dia tidak mengenakan Jimmy. Tapi dia tahu, anak itu sememangnya rajin. Suruhlah apa saja kerja di dapur itu pasti dia buat.
          “ Jimmy janji tau! Mak Ani tak suka kalau Jimmy marah-marah macam malam tadi tu”
                                                *****************

          Jimmy bergerak menaiki kereta selepas bersarapan bersama ibu bapanya. Pak Mail yang memandu hari itu. Selepas bersalaman dengan Puan Rahemah dan En Daris dia terus masuk ke kereta. Sepanjang perjalanan tidak banyak yang dibualkannya bersama Pak Mail. Lelaki itu berulang kali menasihatinya. Persis nasihat Mak Ani untuknya pagi tadi. Dalam hati dia begitu teruja untuk bertemu ibunya. Namun disebalik itu tersimpan juga rasa bimbang di hati. Tidak tahu bagaimana harus dia tempuhi pertemuan itu sekejap nanti.
          Suzuki Swift bewarna biru yang masih lagi kemik bahagian kirinya itu dipandu memasuki suatu lorong. Jalan kampung yang dipenuhi rimbunan pokok pisang dan buluh lemang di pinggir kiri dan kanan itu membuatkan hati Jimmy tenang. Dia memang sukakan kehijauan hutan. Jauh dari hiruk pikuk kesibukan kota.
          Kereta itu dipandu perlahan memasuki perkarangan rumah papan yang dihiasi ukiran-ukiran kayu pada jenang tingkapnya. Enjin dimatikan. Hati Jimmy berdegup semakin kencang. Dipandangnya wajah Pak Mail dengan pandangan kosong. Dia tidak tahu harus berbuat apa.
          “ Ni rumah mak Jimmy. Pergilah. Cium tangan dia. Cium dahi dia. Pak Mail tahu Jimmy betul-betul rindu pada dia” Pak Mail menepuk-nepuk bahu anak muda itu. Perlahan-lahan Jimmy membuka pintu kereta dan terus berdiri di luar. Kakinya berat dilangkahkan menuju ke tangga di pintu masuk rumah tersebut.
          “ Assalamualaikum!” Jimmy memberi salam. Namun tiada sesiapa yang menjawab salamnya dari dalam rumah. Dia memberi salam sekali lagi. Namun salamnya tetap tidak disahut. Jimmy menunggu agak lama sebelum memberi salam yang ketiga kalinya.
          “ Assalamualaikum”
          “ Waalaikumsalam! Kejap... ada kat belakang ni ha” kali ini salam Jimmy disambut. Maznah rupanya sedang menyapu daun-daun kering di belakang rumah. Dia segera menuju ke depan untuk melihat tetamunya. Penyapu lidi masih kemas di tangan kirinya.  
          Maznah sampai ke pintu depan. Langkahnya terhenti. Ditenungnya wajah anak muda di hadapan tangga itu dalam-dalam. Dia kenal wajah itu. Wajah yang selalu bermain di fikirannya tiap waktu. Wajah yang kerap kali muncul di mimpi-mimpinya saban malam. Dan wajah itu kini betul-betul berada di hadapannya. Tidak ada kata yang mampu dia luahkan. Tidak ada. Penyapu lidi di tangan kirinya terlepas dari genggaman. Matanya hanya tertumpu pada wajah Jimmy.
          Jimmy juga tergamam. Dia merenung wajah ibunya dalam-dalam. Wajah itulah yang selalu dia mimpikan. Dan kini dia pasti wanita itulah yang bekerja di kantin sekolahnya sewaktu dia bersekolah rendah dulu. Mak cik Maznah. Dia tergamam lagi. Tiada sebarang kata yang terluah dari bibirnya. Cuma air matanya yang mengalir membasahi pipi. Cukup menunjukkan betapa hatinya sebak waktu itu. Cukup menjadi bukti betapa dia sangat ingin bertemu dengan ibu kandungnya itu. Penuh sebak Jimmy memulakan kata-katanya. Bait-bait katanya disebut satu persatu. Terlalu berat rasanya lidah mahu meluahkan apa yang terbuku di hati.
          “ Saya selalu hairan, kenapa mak cik selalu bagi nasi lebih untuk saya setiap kali waktu rehat. Saya selalu hairan kenapa setiap kali nasi lemak yang saya beli mesti ada sambal udang bila orang lain cuma dapat telur goreng” Jimmy tidak dapat menahan air matanya lagi. Wajahnya kini dibasahi air mata yang tak berhenti mengalir sedari tadi. “ saya selalu hairan kenapa setiap kali datang sekolah makcik akan tunggu saya depan pintu pagar. Kenapa? Kenapa tak cakap dari dulu. Kenapa biar Jimmy sorang-sorang mak?” Jimmy berdiri kaku di situ. Namun tangisannya tidak dapat ditahan lagi. Sedu sedannya meneggelamkan perkataan-perkataan yang terkeluar dari bibir.
          “ Dan mak pun selalu hairan. Kenapa anak yang mak kandung tak pernah kenal emak yang berdiri betul-betul di depannya selama empat tahun di sekolah itu” tangisan mereka berdua semakin lebat. Air mata yang berguguran jelas menunjukkan betapa mereka mensyukuri nikmat perjumpaan semula itu.
          “ Hazim anak mak!” Maznah mendepangkan dadanya. Sementara itu Hazim segera berlari ke arah ibunya dam membenamkam mukanya ke bahu wanita itu.
          “ Hazim rindu kat mak! Hazim rindu!” itu sahaja yang terluah dari mulutnya. Dia segera mencapai tangan ibunya itu dan dikucup berkali-kali. Dipandangnya wajah wanita itu. Dia sapukan air mata ibunya. Dikucupnya pipi wanita itu berkali kali dan kemudian memeluk erat wanita tersebut.
          Maznah terlalu sebak waktu itu. Dipeluknya erat anak lelakinya itu. Dia kucup ubun-ubun anak itu dan menyeka air matanya. “ mak rindu Hazim sangat-sangat. Mak rindu!” pelukan dua beranak itu makin erat. Sementara itu Pak Mail hanya memerhatikan sahaja kejadian itu dari dalam kereta. Dia tidak mahu mengganggu saat-saat indah pertemuan dua beranak tersebut. Diam-diam dia menyeka air matanya. Pertemuan itu terlalu mengharukan.
                                      **********************
         
          Jam menunjukkan jam enam petang. Hani berjalan masuk ke perkarangan kondominium mewah itu dari pintu pagar utama. Seperti kebiasaannya dia akan balik dari tempat kerja pada waktu-waktu sebegitu. Dia terus menuju ke rimbunan pandan di bawah kondominium tersebut. Mencari-cari kalau ada sebarang origami yang dulunya biasa terdapat di situ. Diam tak diam sudah hampir sebulan peristiwa dia diragut bersama Azman sudah berlalu. Dan dalam tempoh itu jugalah dia tidak pernah lagi melihat wajah Jimmy. Lelaki yang telah membantunya menangkap peragut-peragut tersebut.
          Kalau dulu setiap petang Jimmy akan berada di tepi tasik, sekarang ini tidak lagi. Mata Hani juga kerap dilirik ke tempat parkir kereta mencari kalau-kalau ada kereta Suzuki Swift bewarna biru diparkir di situ. Namun seperti tuannya, kereta biru itupun sudah hampir sebulan tidak kelihatan. Hari itu rimbunan pandan menghampakan lagi harapan Hani. Dia masuk ke dalam lif dengan wajah muram. Sudah hampir sebulan dia begitu.
          Lif berhenti di tingkat lima. Hani melepaskan keluhan kecil. Penat bekerja hari itu membuatkan dia semakin tidak bersemangat. Selepas memberi salam, dia membuka pintu, memanggalkan kasut dan terus merebahkan punggungnya di atas sofa.
          “ Ha balik dah! Eloklah anak dara duduk terkangkang macam tu!” Puan Latifah menegur anak daranya itu dari dapur.
          “ Alah kejaplah mak. Kaki orang nak tercabut dah ni. Satu hari dok berdiri je” Sekali lagi Hani melepaskan keluhan kecil. Tiba-iba matanya terpandang sesuatu di lantai. Sesuatu yang amat berharga baginya yang sepatutnya terletak kemas di atas meja solek di biliknya. ‘mawar kertas’
          “ mak, macammana bunga Hani ni boleh sampai kat sini? Siapa yang bawa keluar dari bilik Hani?” Hani mengambil bunga tersebut dan ditunjukkan pada ibunya di dapur.
          “ manalah emak tahu. Adik kau tu yang sibuk buat main benda tu tadi” Puan Latifah menjawab soalan Hani penuh selamba.
          “ Hah? Hadi ambil ni dari bilik Hani ke mak? Mana budak tu?” Hani semakin hilang sabar. Setahunya, Hadi tidak pernah masuk ke biliknya tanpa kebenaran.
          “ Engkau ni dah kenapa pulak? Adik kau tu ada tadi. Dia keluar kejap mak suruh beli tepung. Kejap lagi baliklah dia tu” Puan Latifah menyambung kembali kerjanya. Hani kembali ke sofa di ruang tamu. Tidak lama kemudian Hadi tiba dengan beg plastik berisi tepung gandum di tangan.
          “ ha, dah balik pun. Meh sini! Kau ambil ni dari bilik akak ea?” Hani bangun dan menghampiri adiknya itu.
          “Ambil apa? Mana ada Hadi masuk bilik akak!” Hadi menidakkan tuduhan itu.
          “ Owh tipu pulak. Cakap mana Hadi dapat bunga ni?” Hani sudah memulas telinga adiknya itu.
          “ Adoi sakitlah! Mak tengok akak ni! Mana ada Hadi ambil bunga tu dari bilik akak. Tu Hadi punya lah” Hadi terjingkit-jingkit menahan sakit.
          “ Kalau tak ambil dari bilik akak, mana kau dapat bunga ni?” Hani memulas lagi telinga adiknya itu.
          “ Auuu sakitlah! Hadi buat sendiri lah bunga tu! Mana ada ambil kakak punya!” Hadi meronta-ronta minta dilepaskan. Hani melepaskan telinga adiknya itu kemudian merenung matanya dalam dalam.
          “jangan tipu ea! Kalau betul Hadi yang buat, pergi ambil kertas buat depan akak sekarang” jari telunjuk Hani ditujukan ke arah bilik adiknya itu.
          “ Akak ni kenapa ha? Yelah kejap Hadi pergi ambil” seketika kemudian Hadi muncul semula ke ruang tamu dengan sehelai kertas putih di tangan. Puan Latifah yang berada di dapur jelas tidak mahu terlibat dalam pertelingkahan adik beradik itu. Hadi kemudiannya melipat kertas itu satu persatu sehingga menjadi sekuntum mawar kertas persis yang terdapat di bilik Hani.
          Hani terlopong. Tidak disangka memang bunga kertas di lantai itu adalah hasil tangan adiknya. Persoalan yang muncul di benaknya kini adalah ‘betul ke Hadi Camar Kertas?’. Dia mula berasa bimbang. Takkanlah selama ini dia jatuh cinta dengan adiknya sendiri. Perlahan-lahan dia cuba mendapatkan penjelasan dari adiknya itu.
          “ Hadi ke yang letak bunga-bunga kertas macam ni kat bawah tiap-tiap petang?”
          “ Apa akak merepek ni? Tadi tuduh orang masuk bilik dia. Pastu cakap orang buat apa-apa ntah!” Hadi memandang hairan kepada kakaknya itu.
          “ So Hadi bukanlah Camar Kertas kan?” Hani bertanya lagi.
          “ Dah gila ea? Malas nak layan” Hadi segera meninggalkan kakanya itu termangu-mangu sendirian. Dia terus menuju ke pintu kamarnya.’
          “ Hadi nanti dulu! Mana Hadi belajar buat bunga tu?” belum sempat Hadi masuk ke biliknya, Hani menyuarakan soalan itu.
          “ Abang Jimmy yang ajar Hadi. Akak tak kenal abang Jimmy tu? Hadi belajar ngan dia kat tepi tasik petang-petang” selamba Hadi menjawab soalan kakaknya itu.
          “ Jap! Jimmy tu duduk tingkat lapan ke?” Pantas Hani bertanya lagi.
          “ akak ni kenapa? Ha’a dia duduk tingkat lapan. Hadi tengok tiap-tiap hari dia tulis sesuatu kat kertas tu sebelum dia lipat jadi bunga”
          “ Apa dia tulis?” Hani terdesak untuk mendengar jawapan Hadi.
          “ Manalah orang tahu! Akak ni kenapa ea? Tadi tiba-tiba je pulas telinga orang. Pastu merepek apa ntah pasal camar kertaslah! Sekarang pasal abang Jimmy pulak. Hadi tak tahu. Abang Jimmy pun dah lama Hadi tak nampak. Dahlah Hadi nak mandi” Hadi terus masuk ke dalam biliknya meninggalkan Hani terpinga-pinga keseorangan di situ.
          Hani memanggil Hadi berulang kali namun adiknya itu sengaja tidak mengendahkan panggilannya. Hani segera masuk ke biliknya lalu menghempaskan badan di atas tilam bercorak bunga-bunga itu. Dia termenung jauh. Nyatalah kini bahawa Jimmylah ‘Camar Kertas’ yang dicari-carinya selama ini. Separuh hatinya berasa gembira kerana lelaki Jimmy dan camar kertas adalah individu yang sama. Namun separuh lagi hatinya bungkam. Lelaki itu tidak lagi hadir di hari-harinya kebelakangan ini. Origami-origami itupun sudah tidak lagi setia menunggunya di tepi rimbunan pandan setiap petang.
          Hani bangkit dari katilnya dan menuju ke meja solek. Dia capai satu dari kuntuman-kuntuman bunga yang tersusun indah di dalam pasu. Terasa tergerak hatinya untuk membuka lipatan mawar kertas tersebut setelah mendengar kata-kata Hadi tadi. Hani nekad untuk membuka lipatan tersebut. Kemudian, apa yang ditemuinya di sebalik lipatan kertas tersebut menyentuh naluri kewanitaannya.


          Semalam camar kertas ini biru
          Tapi hari ini oren
          Tak tahu mengapa rasa bodoh untuk terus menunggu di tepi tasik itu
          Mungkin kerana ganjarannya lumayan barangkali
          Esok camar kertas warna putih
          Harap awak sudi terima si putih itu

          Camar kertas


          Hani jelas terkejut membaca itu. Tidak pernah terduga di hatinya bahawa mawar-mawar kertas itu menyimpan kata-kata dari Jimmy. Dia terus membuka lagi mawar-mawar itu.

          Hitam
          Hari hitam ini semendung hati aku
          Semalam yang hijau pun kecewa

          Aku tak gemarkan merah jambu
          Sebab tak mahu orang gelarkan mat jambu’
          Tapi aku berkira-kira untuk ‘merah jambu’ hari esok

          Hmmmmm
          Esok camar kertas warna ungu

 saya xde baju pink: camar kertas

          Hani tersenyum sendiri membacakan setiap satu nota-nota dibalik lipatan mawar kertas tersebut. Dia berasa begitu bodoh kerana tidak mahu membuka mawar-mawar itu sejak awal-awal lagi.

          Semalam,
          Saat awak bantu perempuan itu
          Tangan saya menggigil sambil kutip buah oren atas jalan

          Cukup dengan senyum, awak buat tidur saya tak lena satu malam
          Hari ini camar kertas warna kelabu
          Saya tetap tunggu

          Sebab saya tak tahu malu: camar kertas

          Tiba-tiba Hani teringatkan peristiwa sewaktu dia membantu jirannya iaitu Cik Ros yang terjatuh tidak lama dulu. Dia tersenyum sendiri.


          Esok saya nekad pakai merah jambu
          Esok saya akan jadi mat jambu
          Sambil tunggu awak kat gazebo tepi tasik tu
          Tolong cari orang yang paling jambu

          Gurau saja
          Esok camar kertas warna kuning

          Betul ke nak saya merah jambu??: camar kertas

          Hani menggeleng-gelengkan kepala. Ada kalanya dia tergelak sorang sorang. Nota-nota itu terus dibacanya hinggalah ke nota yang terakhir.

         
          Alahai hati, kenapalah engkau degil?
          Orang sudah tidak mahu
          Kenapa mesti lagi tunggu

          Hari esok saya biru
          Tak tahu laratkah lagi mahu terus di situ
          Tapi tolonglah mahu
          Saya dah rasa cukup malu

          Muka dah tebal 2 inci: camar kertas

          Hani buka satu lagi.


          Saya selalu berharap
          Kalau naik lif sama-sama awak
          Biar lif itu mati

          Sebab saya mahu body glove satu lagi
          Melekat di sebelah pipi
          Barulah afdal lengkap kanan kiri

          Esok saya merah
         
          Gazebo tepi tasik: camar kertas

          Itu nota yang terakhir. Hani tidak pasti tentang turutan nota-nota itu. Yang pastinya bunga-bunga itu diletakkannya tidak mengikut turutan nombor atau hari. Jadi dia tidak tahu yang mana satu nota yang awal dan yang mana nota terakhir. Dia benar-benar terasa bodoh tika itu. Melepaskan peluang berharga kerana tidak mahu kehilangan origaminya. Dia menyesal.
          Hani mencapai topinya dan terus menju ke pintu depan. Dia keluar dari rumah dan masuk ke dalam lif. Butang bernombor lapan dia tekan. Pintu lif tertutup dan lif terus bergerak ke atas. Setibanya di tingkat lapan dia terus keluar. Ada empat pintu di tingkat itu. Dan Hani pun tidak pasti Jimmy tinggal di rumah yang mana satu.
          Hani memandang hampa ke lantai. Dia tidak tahu apa yang dilakukannya waktu itu. Dia tidak mungkin mengetuk pintu itu satu persatu. Kalaupun Jimmy ada. Dia tidak mahu dicop sebagai ‘perigi mencari timba’. Dia tidak mahu. Lagi pula selama ini Jimmy sudah menunggunya setiap hari di tepi tasik. Tapi dia tidak muncul. Mungkin juga lelaki itu sudah patah hati dan melupakannya kini. Fikiran-fikiran seperti itu buat Hani goyah. Dia terus kembali ke dalam lif. Hatinya tergerak untuk ke tasik. Jam sudah menunjukkan jam tujuh suku. Bermaksud sebentar lagi azan maghrib akan berkumandang. Butang G ditekan dan lif terus bergerak turun ke tingkat bawah.
          Sebaik pintu lif terbuka. Hani terus berlari ke arah tasik. Puas dia berlegar-legar di sekitar tasik itu. Namun sekali lagi dia hampa. Tiada seorang pun yang berada di situ. Hatinya runtun. Dia terduduk lesu di bangku. Lama juga dia berdiam diri sebelum akhirnya dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan menalifon seseorang.
          “Man... aku dah jumpa camar kertas. Aku... aku dah tahu siapa dia. Tapi.......” kata-kata Hani tenggelam dalam esak tangisnya.
                                                ******************
         
 -tamat episode 7-

ini lagu yang aku tuliskan khas untuk episode ini

MUNGKIN RINDU
terasa hilang xmenentu di hatiku
apakah puncanya aku pun langsung xmenahu
mungkin kerna apa yang kulakukan padamu
dan mungkin inilah yg mereka bilang rindu

tak pernah kurasakan sebegini
sebelum kau pergi tinggalkan aku sendiri
dan bila nantinya engkau pun datang kembali
ukirlah senyuman paling manis dari hati

memang selalu kau ada di depanku
yang membuat aku takpernah menghargai kamu
ku harap kau dengarkan lagu ini khas untukmu
yg aku tuliskan jujur mungkin aku rindu kamu


mungkin rindu:deedymarji


teruskan membaca episode 8
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by AllBlogTools.com Enhanced by MyBloggerTricks.com