oh belog

Sunday, March 18, 2012

ORIGAMI_EPISODE 4


EPISODE 4

     Hani masuk ke biliknya dengan tersenyum. Segala masalah hari itu sudah selesai. Azman kini sudah menjadi sebahagian dari keluarganya. Makan malam yang tadi itu begitu bermakna bagi mereka sekeluarga. Dia geli hati melihat Azman yang kekok memanggil emaknya dengan panggilan ‘emak’ bila selama ini lelaki itu selamba memanggil emaknya dengan panggilan ‘Cik Tipah Gebu’. Hadi pula cuma banyak berdiam diri sewaktu makan tadi. Mungkin dia masih rasa bersalah terhadap Azman. Namun dia tahu Azman tidak pernah marahkan Hadi.
     Azman yang dia kenal sejak kecil bukanlah seorang yang suka berdendam. Jauh sekali dengki pada orang lain. Cuma terkadang memang mulut lelaki itu agak lancang bila bersuara. Tapi dia tahu hati sahabat karibnya itu baik. Dia masih ingat bagaimana mereka hampir bergaduh besar dengan dua lelaki di pasar raya. Mereka berdua sedang berjalan untuk mencari beg baru Hani bila tiba-tiba seorang dari lelaki itu mengusik Azman dengan memanggilnya “pondan!”.
     Lantas dengan lancangnya Azman berpaling kepada lelaki tadi dan bersuara “ eh apa tu? Macam bunyi babi je! Kau dengar tak Hani?” nyaris-nyaris mereka dibelasah di situ. Mujur kawasan bangunan membeli-belah itu ramai orang yang sedang berbelanja dan terdapat dua orang pengawal sedang meronda di situ. Jika tidak sudah lama mereka dikerjakan agaknya.
Hani duduk di katilnya. Dia menyeluk begnya dan mengeluarkan burung kertas bewarna putih dari dalamnya. Dia membuka lipatan origami itu dan membaca tulisan yang tercoret di situ.

Aku sedang tersenyum ini
Sedang bahagia

Ambil buku lima engkau,
Palukan di mukaku

Buka telapak tangan engkau
Balunkan di pipiku

Biar sampai bengkak
Biar sampai merah

Aku pasti bibir ini akan tetap tersenyum
Sebab aku sedang gila

Matanya buat aku lemah
Senyumnya aku tak tentu arah
Oh tuhan
Temukan lagi aku dengan dia

Camar ini aku sihirkan dengan cinta
Biar dia terbang ke pemilik mata itu
Mata tercantik sedunia

Aku gila:  camar kertas

     Hani mengerutkan dahinya. “ Jiwang pulak Camar Kertas ni!” Hani tersenyum kecil. Dari bahasanya, dia tahu si Camar Kertas itu sedang bahagia. Dia kemudiannya teringatkan mawar kertas yang ditemukan oleh Azman sebentar tadi lantas menyelongkar begnya mencari origami itu.
     Hani meneliti mawar kertas itu. Dia belum pernah melihat origami yang begitu. Dia kagum. Dalam hatinya dia berkira-kira untuk membuka lipatan mawar tersebut. Dia tertanya-tanya adakah Camar Kertas ada mencoretkan sesuatu dibalik lipatan mawar itu. Namun dia teragak-agak untuk membuka lipatan tersebut kerana dia tidak yakin mampu untuk melipatnya kembali ke bentuk yang asal.
     Setelah berfikir agak lama, Hani nekad untuk membuka lipatan tersebut. Perbuatan itu mungkin adalah kesilapan besar yang dia lakukan kerana ternyata tiada apa-apa yang dicoretkan di balik mawar kertas itu. Hani begitu menyesal kerana memang ternyata origami itu sukar untuk dilipat semula. Dia menghabiskan hampir satu jam setengah duduk di meja soleknya untuk melipat kembali origami itu ke bentuk yang asal. Namun dia tidak berjaya dalam usahanya. Akhirnya dia tertidur dengan rasa penuh menyesal dan kecewa kerna tidak lagi memiliki mawar kertas yang dikaguminya itu.
     “ Mr Camar Kertas, esok aku nak order bunga tu lagi boleh? Aku janji aku takkan buka lagi!” Hani merenung camar kertas yang baru dilipatnya itu dengan berharap yang dia akan menemukan lagi mawar kertas itu esok harinya.
***********************

     Petang itu Jimmy hanya duduk di rumah. Tugasan kampusnya sudah disiapkan. Kelas-kelas kuliahnya pun sudah tamat seawal tengahari. Jadi dia mengambil keputusan untuk duduk di rumah sahaja. Kebelakangan ini dia sudah jarang didatangi mimpi-mimpi ngeri yang biasa. Hidupnya berubah serta merta. Dia lebih banyak tersenyum. Selalunya selepas tamat kuliah dia akan ke perpustakaan atau keluar dengan rakan-rakannya. Namun kini kebanyakan masanya dihabiskan di rumah.
     Bila dia sampai diperkarangan kondominium itu dia rasa teruja. Setiap kali ingin menaiki lif dia akan berharap agar dapat melihat mata itu lagi disebalik pintu lif yang terbuka. Jika sebelum ini dia akan terus naik ke tingkat lapan, kebelakangan ini dia pasti menekan juga butang nombor lima. Bila lif berhenti di tingkat lima, dia akan melihat keluar, memandang pintu-pintu apartment di tingkat itu, mencari kelibat gadis yang terperangkap bersamanya di situ beberapa hari lepas. Dalam hatinya berbisik ‘macam ni ke orang panggil gila bayang?’
     Jam menunjukkan jam lima petang. Jimmy menuju ke meja belajarnya yang berada di tepi jendela. Dia mengeluarkan sekeping kertas putih dari laci dan mencoretkan puisi seperti selalu.

Wanita dengan air mata itu sudah hilang
Tidak lagi hadir
Melawat mimpi-mimpi aku

Tiba-tiba rindu wujud untuk dia
Tiba-tiba aku rindu air matanya
Menangisi anak kecil
Menangisi derita dibedil
Atau cuma tersenyum comel

Siapa pun engkau
aku rindu
dimanapun engkau
aku mahu ketemu

p/s:Mimpi aku semalam cuma diisi mata itu, mata tercantik sedunia

Mata dia cantik: Camar Kertas

     Usai mencoretkan itu, Jimmy melipat kertas itu menjadi camar kertas seperti biasanya. Sesudah siap, dia mengeluarkan sekeping lagi kertas putih dari laci dan mula menulis lagi.

Untuk awak, si pemilik mata tercantik
Pembaca setia puisi-puisi saya

Camar kertas ini mahu berkenalan
Kalau sudi jumpa saya di gazebo
tepi tasik bawah kondo ni esok petang
Saya tunggu
p/s: Esok camar kertas warna biru


Jimmy tersenyum lebar. Dia mencapai gunting dan mengerat kertas putih itu menjadi bentuk segi empat sama. Kemudiannya dia mula melipat kertas putih itu menjadi sekuntum mawar putih yang cantik. Dia membelek mawar putih itu kemudian menciumnya sambil tersenyum.
Dia kemudiannya mencapai camar kertas di atas meja tadi dan terus membuka jendela. Dilepaskannya camar dan bunga kertas itu dari jendela dan menanti sehingga kedua-duanya jatuh ke atas tanah. Dia berasa lega kerana kedua objek itu jatuh tidak jauh dari rimbunan pokok pandan tempat dimana selalunya akan dilalui oleh Hani.
Sudah hampir setengah jam dia duduk bersidai di jendela itu mengharapkan Hani muncul untuk mengutip origami-origaminya. Namun kelibat Hani masih belum kelihatan. Tiba-tiba dia terlihat seorang kanak-kanak perempuan berbaju merah jambu datang ke rimbunan pandan itu dan mengutip origami tersebut.
Dia bingung. Hampir-hampir sahaja dia mahu menjerit kepada kanak-kanak itu supaya tidak mengambil origaminya. Tetapi kelibat seorang perempuan yang  berlari-lari menuju ke tempat kanak-kanak tadi berdiri menghalang niat Jimmy untuk menjerit. Perempuan itu adalah Hani. Jimmy tersenyum.
Dari jendela tingkat lapan itu Jimmy melihat bagaimana Hani memujuk kanak-kanak itu untuk memberikan origami-origami itu kepadanya. Kanak-kanak itu hanya menggelengkan kepala. Hani pula asyik menghulurkan tangannya ke arah kanak-kanak itu yang sudah meletakkan tangannya yang memegang origami itu di belakang badannya.
Seketika kemudian, Jimmy melihat Hani mencari sesuatu dari dalam begnya dan mengeluarkan sesuatu yang kelihatannya seperti gula-gula. Hani kemudiannya menghulurkan gula-gula itu kepada kanak-kanak tadi. Akhirnya kanak-kanak tadi memberikan origami-origami itu kepada Hani dengan balasan beberapa biji gula-gula. Jimmy tertawa kecil melihat gelagat Hani dan kanak-kanak itu.
“ haha, rasuah gula-gula! Comel je!” Jimmy kemudiannya terus berlari ke ruang tamu mencapai kunci rumah dan terus keluar menuju ke arah lif. Dia masuk kedalam lif itu dan terus menekan butang G.
Sementara itu di bawah Hani sedang tersenyum membelek bunga kertas yang kini berada di tangannya. Dia mula berkira-kira untuk memastikan begnya diisi dengan stok gula-gula yang banyak di hari-hari akan datang. Kanak-kanak perempuan tadi mungkin bawa kawan-kawannya pula hari esok. Jadi dia perlu bersedia.
Dia segera menuju ke arah lif dan menekan butang untuk naik. Dia cuma berdiri sambil berpeluk tubuh sementara menunggu pintu lif terbuka. Skrin nombor masih menunjukkan angka 7. Hani terus mengambil camar kertas tadi dan membukanya. Manakala mawar kertas itu pula diselitkannya di dalam beg.
Pintu lif terbuka. Alangkah terkejutnya Hani apabila mendapati Jimmy berada di dalam lif tersebut. Kertas putih di tangannya hampir sahaja terlepas. Mata mereka berdua bertemu. Jimmy tersenyum manakala Hani segera menundukkan wajahnya. Dia menunggu Jimmy keluar dari lif itu dan terus masuk ke dalam. Jimmy berjalan beberapa langkah sambil tersenyum. Kemudian  dia segera berlari kembali ke arah lif tersebut.
“nanti, nanti, nanti!” pintu lif terbuka semula. “sorry saya tertinggal barang” Jimmy terus masuk ke dalam lif tersebut dan berdiri di sebelah Hani.
“ Tingkat lapan kan?” Hani menekan butang 8. Hatinya berdegup kencang. Sama kencangnya sewaktu mereka terperangkap di dalam lif waktu itu. Dia tidak berani memandang ke arah Jimmy. Matanya ditumpukan ke arah coretan puisi pada kertas di tangannya. Sedaya upaya dia cuba fokus untuk membaca puisi tersebut. Namun dia tidak dapat berkonsentrasi. Hatinya terlalu gemuruh.
“ Puisi lagi ke?” Jimmy memulakan bicara.
“ ha? Owh ha’a puisi” setelah agak lama barulah Hani menjawab pertanyaan Jimmy itu. Itupun tanpa berpaling ke arah Jimmy. Lif berhenti di tingkat lima. hani bergegas keluar tanpa menghiraukan Jimmy. Dia terus masuk ke rumahnya. Puan Latifah yang sedang duduk menonton televisyen di ruang tamu hairan melihat gelagat anaknya itu.
“ ha da balik dah. Kenapa pulak dengan kau ni? Macam nampak hantu je!”
“ bukan hantu mak. Malaikat!” Hani tersenyum dan terus masuk ke bilik meninggalkan ibunya yang masih kebingungan di situ. Belum pun sempat Puan Latifah bertanya lebih lanjut. Kelibat Hani sudah tidak kelihatan.
*******************

Petang itu, seperti petang-petang sebelumnya Jimmy akan duduk menulis puisi dan mencampakkan bunga dan camar kertasnya ke bawah. Hari itu kelasnya tamat pukul empat. Jadi dia bergegas pulang ke rumah dari kampus selepas tamat kelas. Hari itu hari yang penting. Dia mengenakan seluar sukan dan berjersey Chelsea berwarna biru sama dengan nota di mawar kertas yang diberikan pada Hani semalam. Dia turun kebawah dan berlegar-legar di tepi tasik tempat dimana penghuni kondominium itu berekreasi bila ada kelapangan.
Ada yang berjoging, berkayak, ataupun cuma duduk di bangku sambil membaca novel. Jam baru menunjukkan jam 5.30 petang. Kebiasaannya Hani akan sampai dalam lingkungan jam enam petang. Jadi Jimmy mengambil keputusan untuk berjoging terlebih dahulu.
Dia segera duduk di gazebo itu bila jam menunjukkan hampir pukul enam. Matanya ditumpukan ke arah pintu masuk utama tempat biasanya Hani akan berjalan masuk sepulangnya dari kerja. Dari jauh kelihatan Hani berjalan kaki masuk keperkarangan kondominium itu. Hati Jimmy tak keruan. Dia sentiasa berharap Hani akan berjalan ke arahnya. Ke arah gazebo itu. Mencari insan berbaju biru. Dia memandang sekeliling. Cuma dia yang berbaju biru di situ. Jadi dia yakin Hani akan mengenalnya jika dia sampai di tasik itu.
Namun segala harapannya musnah. Ternyata Hani tidak menuju ke tepi tasik itu. Hani membelok ke arah kondominium. Ke arah rimbunan pandan yang biasanya. Dari jauh Jimmy dapat melihat Hani mengutip origaminya dan kemudian masuk ke dalam lif dan hilang dari pandangan. Dia hampa.
Hari itu dia pulang kerumah dengan wajah yang muram. Hatinya berbisik ‘mungkin dia tidak suka aku’. Dia merebahkan badannya di atas tilam. Sambil merenung siling dia berkata ‘ esok aku cuba lagi!’
*******************

“ Kau ni kata nak jogging sama-sama. Kalau ada hal janganlah janji. Penat aku tunggu kat bawah ni tau. Hmmm takpelah, aku jogging sorang-sorang je” Hadi mematikan telefonnya. Sudah setengah jam dia berlegar-legar di tepi tasik itu menunggu kehadiran rakannya Razif untuk berjogging bersama. Namun Razif tidak dapat hadir kerana ada urusan. Jadi niatnya untuk bersenam hari itu padam. Dia hanya berjalan-jalan sahaja mengelilingi tasik itu.
Dia kemudiannya berhenti di hadapan gazebo dan duduk di situ. Petang itu tidak ramai yang turun ke tasik. Cuma ada dia, beberapa kanak-kanak kecil yang bermain lari-lari dan beberapa lagi orang yang sedang melakukan aktiviti masing-masing. Hadi duduk menghadap tasik. Di hadapan gazebo itu terdapat pohon rendang yang tumbuh betul-betul di gigi air. Dan disitulah juga selalunya kelihatan pasangan kekasih duduk berduaan atau keluarga-keluarga yang duduk berseronok sambil minum petang. Tapi hari itu pokok itu sunyi. Bangku di bawah pokok itu cuma ada seorang lelaki. Lelaki berbaju hijau lumut yang sedang tekun melipat kertas di atas meja. Seingat Hadi dia belum pernah melihat lelaki itu sebelum ini. Bosan duduk bersendirian Hadi mengambil keputusan untuk menegur lelaki tadi.
“ assalamualaikum. Baru ye duduk sini? Tak pernah nampak pun” Hadi cukup kenal dengan orang-orang yang duduk di kondominium itu terutama sekali yang selalu turun ke tasik kerana tasik itu kawasan tertutup untuk orang luar. Cuma penghuni kondominium itu sahaja yang boleh masuk. Jadinya sesiapa yang berada di tasik itu pun pasti penghuni kondominium tersebut. Kalaupun tidak, pasti mereka ada saudara mara yang tinggal di situ.
“ waalaikumsalam. Ha’a, baru je tinggal sini. Baru dua bulan setengah” Jimmy menjawab mesra pertanyaan Hadi sambil tangannya masih lagi melipat kertas di atas meja.
“ First time ke turun tasik ni?” Selepas mendapat respon yang baik dari Jimmy Hadi mula bertanya lagi. Adakalanya dia tidak dilayan bila bertanyakan pada orang-orang di tepi tasik itu. Bimbang mungkin dia ‘budak minta sedekah’ atau ‘ sindiket gores dan menang’ barangkali. Tapi Jimmy nampaknya tidak begitu. Lama juga mereka berbual di bawah pokok itu.
“ Takdelah first time. Dah dekat seminggu jugaklah turun kat sini tiap-tiap petang. Pemandangan dia cantik. Ikan-ikan dalam tasik tu pun banyak. Hari ni lupa pula nak bawa roti. Kalau tak mesti seronok tengok diorang makan. Kau duduk sini juga ke?” Jimmy terus melipat origaminya.
“ Owh, ha’a saya duduk sini juga. Tasik ni orang luar tak boleh masuk. So pakcik-pakcik tu, budak-budak tu semua orang sini. Nanti lama-lama abang kenallah dengan diorang. Pakcik dua orang kat sana tu tiap-tiap petang main chess kat meja tu” Hadi menunjuk ke arah dua orang lelaki yang sedang duduk bermain catur di meja seberang tasik sana.
“ owh, aku pun perasan jugak pakcik dua orang tu. Dah seminggu turun tasik ni, hari-hari nampak diorang berdua kat situ. Kau nak jogging ke?” Jimmy masih tekun dengan kertasnya. Hadi pun turut memandang kertas itu. Dia bertanya-tanya apakah yang ingin dibuat oleh Jimmy dengan kertas itu.
“ Tadi ingat nak jogging. Tapi member tak datang. Takde mood dah. So ingat nak lepak-lepak je. Buat ape tu bro?”
“ Apa? Ni? Owh, buat origami. Bosan pulak duduk kat rumah petang-petang camni. So aku duduk sini main lipat-lipat kertas. Nampak macam bosan kan hidup aku? Hahaha”  Jimmy tertawa kecil dan terus melipat kertasnya sambil diperhatikan oleh Hadi.
“ Origami. Saya tak pandai buat. Kat sekolah cikgu ada ajar tapi tak jadi jugak” Hadi terus memerhatikan Jimmy yang tekun melipat kertasnya. Lama kelamaan kertas sekeping itu mula bertukar betuk. Dari segi empat kepada segitiga. Kemudian Jimmy lipatkan kertas itu sehingga bentuknya menjadi rumit. Hadi membesarkan matanya tanda tidak faham.
“ kejap lagi siaplah ni” Jimmy terus melipat kertasnya hingga menjadi bentuk ‘cube’ seperti dadu yang besar. Kemudian dari situ dia tarik beberapa lipatan di empat sisinya dan kelihatan seperti kelopak bunga. Jimmy kemudiannya memasukkan kertas yang sudah digulung menjadi seperti tangkai bunga itu ke dalam lubang di bawah kelopak tadi dan terus memintal hujung ‘cube’ itu. Hasilnya, sekuntum mawar kertas berwarna putih Jimmy letakkan di atas meja. Hadi terlopong. Dia kagum.
“ wahhh.... cool gila origami ni! Ni boleh bagi kat awek ni mesti cair ni!nak belajar boleh tak bro?” Hadi membelek-belek bunga kertas itu di tangannya.
“ haha. Suke ke? Boleh je. Tapi esoklah. Dah petang lah ni. Aku nak balik dulu” Jimmy berpaling ke arah pondok pengawal. Dia melihat kelibat Hani masuk dari situ. Dan seperti biasanya Hani cuma menuju ke arah rimbunan pandan. Bukan ke tasik itu. Bukan untuk mencari ‘si hijau lumut’ hari itu. Hani cuma mengutip origaminya di situ.Sekali lagi dia kecewa.
“ okay, esok balik dari tuisyen saya datang sini. Nama saya Hadi, nama bro ni siapa?”
“ Jimmy. Hmm oklah kalau camtu aku cau dululah. Esok aku bawa kertas extra untuk kau” Jimmy terus mengemaskan  kertas-kertasnya dan berlalu pergi. Hari itu seperti hari-hari sebelumnya dalam minggu itu dia pulang dengan hampa.
********************

     Hani masuk ke dalam rumahnya. Seperti biasa Puan Latifah sedang menonton televisyen di ruang tamu. Dia memalingkan mukanya ke arah Hani apabila mendengar pintu rumah dibuka.
“ balik dah. Macammana kerja hari ni?”
“ Biasa je mak. Hadi mana? Senyap je rumah ni” Hani memandang sekeliling mencari kelibat adiknya Hadi.
“ Adik kau ada kat tasik bawah tu. Tadi dia kata nak jogging dengan kawan dia yang duduk tingkat dua si Razif tu. Kejap lagi baliklah tu. Dah kau pergi mandi dulu nanti lepas maghrib kita makan”
“ mak masak apa hari ni?” Hani tersenyum manja melihat ibunya.
“ Sambal sotong” selamba Puan Latifah menjawab soalan Hani. Dia tahu anaknya itu akan melonjak kegembiraan bila mendengar ‘sambal sotong’
“ yeayyy!!!! Ok Hani nak mandi dulu. Sayaaang mak!!” Hani terus masuk ke biliknya dan duduk di meja solek. Dia mengeluarkan mawar kertas dari dalam begnya dan meletakkannya di pasu bunga di atas meja itu. Bunga-bunga kertas itu sudah menjadi sejambak bunga yang cantik memenuhi pasu tersebut.
Hani kemudiannya mengeluarkan pula camar kertas dari begnya dan membaca tulisannya seperti biasa. Kali ini dia hairan kerana coretan Camar Kertas hari itu pendek luar biasa.

Hari biru aku kecewa
Hari kuning aku hampa
Hari hitam aku gelita
Hari merah aku duka
Hari putih aku sedih
Hari kelabu aku buntu

Hari ini hijau lumut
Harapnya ada cahaya
Harapnya ada bahagia

Jangan biar aku ‘merah jambu’: Camar Kertas

“ Apa ni?” Hani membaca puisi pendek itu berulang kali. Dia tidak dapat menangkap apa maksud puisi camar kertas hari itu. Apa yang tersirat di balik ‘hari’ dan ‘warna-warna’ itu dia keliru. Terlalu individual barangkali.
Hani terus melipat kembali camar kertas itu dan dimasukkan di dalam kotak di bawah meja soleknya. Kotak itu sudah hampir penuh denga camar kertas. Lama dia tenung burung-burung kertas itu. Kemudian dia tenung pula bunga-bunga di atas meja.
“ siapa kau ni sebenarnya camar kertas? Kau buat aku gila!”
*************************
-TAMAT EPISODE 4-

ini lagu yang aku tuliskan khas untuk episode ini

LAGU UNTUK DIA



LAGU UNTUK DIA

Dan berlari aku mencari
Diriku
Dan berhenti aku menghindar
Rasaku

Laguku
Bernyanyi aku sendiri
Menahan rasa
Kembali aku ragui
Hatiku

Kau
Kuharapkan kau mengerti
Maksudku
Tak perlu
Kan ku tersiksa begini
Fahami aku

Maafkan
Kutakkan pernah bisa untuk
Melafazkan


Maafkan
Kutakkan pernah mampu untuk
Menyatakan

Oh padamu
Kurindu, kumahu
Akhirnya telah kubiarkan
Kau pergi berlalu

Berlari
Mencari
Cinta, cintaku

Tak perlu kau ragu
Kusedia, kusedia
menunggu


lagu untuk dia: deedymarji



teruskan membaca episode 5
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by AllBlogTools.com Enhanced by MyBloggerTricks.com

No comments: