oh belog

Sunday, March 18, 2012

ORIGAMI_EPISODE 5


EPISODE 5

Jam sudah menunjukkan jam enam petang. Seperti biasa Jimmy akan duduk di gazebo bersebelahan tasik di bawah kondominium itu. Hari itu Hadi tidak datang berjumpanya. Sudah empat hari berturut-turut  dia ‘membuka kelas’ origami dengan Hadi di tepi tasik itu. Akhirnya berjaya juga Hadi membuat bunga itu sendiri. Hari ini Hadi ada kelas tuisyen jadi Jimmy duduk berseorangan di situ seperti selalunya. Semua baju berlainan warna sudah dipakainya. Biru, kuning, hitam, merah, hijau, putih. Hari ini dia bermula semula dengan warna biru.
Dari jauh kelihatan seorang perempuan berjalan dari arah pintu masuk utama. Pada mulanya Jimmy menyangkakan perempuan itu adalah Hani. Rupanya perempuan itu adalah perempuan separuh umur dalam lingkungan usia ibunya sedang berjalan menuju ke kondominium tersebut. Jimmy hanya memperhatikan sahaja tingkah laku perempuan itu yang berjalan terdengkot-dengkot. Tiba-tiba kaki perempuan itu tergelincir dan dia jatuh ke tanah. Buah-buah oren di dalam plastik yang dipegang perempuan itu bertaburan.
Jimmy segera berlari untuk membantu perempuan tua itu namun langkahnya terhenti pabila melihat Hani juga sedang berlari ke arah perempuan itu dari arah pintu masuk utama. Hani membantu perempuan itu berdiri dan membetulkan pakaiannya.
“ Cik Ros tak apa-apa ke? Macammana boleh terjatuh ni? Ada luka tak?” Hani menepuk-nepuk kain Puan Ros yang dikotori tanah itu.
“ Tak pe Hani. Cik Ros tak perasan pulak ada lubang kat situ tadi. Cik Ros okay.” Puan Ros mengambil beg tangannya yang terjatuh di atas tanah. Sementara itu Jimmy sudah berada dekat dengan mereka. Dia segera mengutip buah-buah oren yang yang bertaburan di tanah.
“ Mak cik ok?” Jimmy terus memasukkan buah-buah oren yang dikutipnya itu ke dalam plastik. Sementara itu seperti biasanya Hani akan begitu gemuruh bila berjumpa dengan Jimmy. Dia masih lagi menepuk-nepuk kain Pn Ros walaupun debu-debu tadi sudah lama hilang.
“ Takpe dik, makcik ok. Terima kasihlah tolong makcik ni”
“ Makcik nak saya tolong angkatkan barang-barang ni ke rumah ke?” Jimmy bertanya lagi. Dari gayanya, Puan Ros baru pulang dari pasar dengan segala bungkusan sayur dan buah di tangannya.
“ Eh takpe-takpe, makcik boleh balik sendiri. Makcik ok! Terima kasihlah dik oi” Puan Ros mengambil bungkusan limau yang dihulurkan oleh Jimmy.
“ Awak, takpe, Cik Ros ni jiran saya. Biar saya je yang hantar” Hani tersenyum ke arah Jimmy dan terus memimpin Puan Ros yang berjalan agak terdengkot-dengkot itu naik ke atas. Jimmy pula hanya memerhatikan sahaja tingkah-laku Hani dari belakang.
Sesungguhnya hari itu buat dia begitu gembira. Sampai lewat malam dia tidak dapat tidur. Peristiwa tadi masih jelas terbayang dimatanya. Bagaimana Hani berlari untuk membantu perempuan itu. Bagaimana mata Hani mesra memandangnya. Bagaimana senyum Hani terukir di bibirnya. Bagaimana Hani dan puan Ros berhenti sekejap di tepi rimbunan pandan dan mengutip origami-origaminya. Dan paling tidak boleh dilupakan kata-kata Hani ‘awak, takpe cik Ros ni jiran saya’
“ Dia panggil aku AWAK” satu malam Jimmy hanya terbaring di katilnya melayan perasaan sambil mulutnya tersenyum-senyum sendiri.
                             ***********************

Petang itu agak mendung. Suasana di perhentian bas itu agak lengang. Hani duduk bersama dengan Azman menunggu bas dari tempat kerja seperti biasanya. Sudah hampir lima belas minit mereka menunggu namun bas yang biasa mereka naiki masih belum tiba. Azman buat muka masam mencuka. Payung bewarna hijau di tangannya sekejap dibuka dan sekejap dia tutup.
“ Kau nak jumpa mr Angel aku tak?” Hani buat pandangan nakal ke arah Azman.
“ Gila tak nak! Mestilah aku nak! Lepas kau cerita yang dia tolong Cik Ros minggu lepas tu aku terus cair dah! Tapi camne nak jumpa dia? Kau ada nombor dia ke?” Azman meletakkan payungnya di sisi dan terus tekun mendengar cerita Hani.
“ Manalah aku tau nombor dia. Nama pun aku tak tahu. Tapi sejak kebelakangan ni tiap-tiap petang dia akan duduk melepak kat bawah pokok tepi tasik bawah kondo tu. Dah dekat tiga minggu kot. Aku tak tahu dia buat apa”
“ weh jangan-jangan dia Camar Kertas kau?” Azman semakin teruja.
“ Aku rasa tak kot. Sebab masa aku ambil origami-origami tu dia dah lama duduk tepi tasik tu. Aku tak rasa pulak dia yang letak. And dah beberapa kali jugak aku baca puisi tu depan dia masa dalam lif. Kalau dia tahu tu dia punya mesti dia terkejut kot. Tapi dia selamba je. Cakap pasal Camar Kertas, aku rasa dia macam tengah bercinta je. Makin jiwang pulak sekarang. Pelik lah! Eh tapi serius kalau kau nak tengok mr angel tu nanti aku tunjuk. Ntah ape dia buat tepi tasik tu pun aku tak tahu!” Hani bercerita panjang lebar.
“ Entah-entah dia tunggu kau balik kerja tak? Tiga minggu? Gila setia menunggu! Hahahahaha” Azman ketawa mengilai seperti biasanya. Namun dia berhenti tertawa apabila sebuah motosikal dinaiki dua orang lelaki berhenti di hadapan perhentian bas itu. Mereka meletakkan motorsikal itu di pinggir jalan dan duduk di perhentian bas itu bersebelahan dengan Azman.
“ weh nanti kalau dia ada lagi kat tepi tasik tu kau tunjuk kat aku yang mana orangnya okay! Kau taknak tegur dia dulu kan, biar aku je yang ambil! Hahahaha” sekali lagi Azman ketawa mengilai. Lelaki-lelaki di sebelahnya pula memandangnya dengan wajah hairan. Azman pula buat muka jijik melihat dua lelaki tersebut.
“ Apsal? Ada masalah?” Azman bertanya kepada kedua lelaki itu dengan nada tidak sopan biasanya. Kedua lelaki tadi berpandangan sesama sendiri sambil tersenyum sumbing.
“ Man kau jangan nak start lagi ok!” Hani bagaikan sudah menghidu apa yang bakal berlaku selepas itu. Sudah banyak kali dia dan Azman ditimpa masalah jika peristiwa seperti itu berlaku.
“ Ahhh pergi mampos lah! Perasan bagus! Kesah ke aku!” Azman membuka begnya dan mengeluarkan cermin kecil sambil membelek wajahnya. “ weh jerawat kat hidung!”
“ Aduhai pondan ni pun tak sedar diri. Muka kalau dah jantan pecah rumah tak payah berangan jadi betina!” tiba-tiba salah seorang dari lelaki tadi bersuara sambil disahut dengan gelak tawa rakannya di sebelah. Mendengarkan itu Azman bingit. Dia membetulkan duduknya, mengipas wajahnya dengan tangan dan merenung ke arah Hani. Hani disebelahnya hanya terdiam sambil kepalanya digeleng-gelengkan tanda tidak mahu Azman bersuara lagi.
“ Aduh panas ni!! Eh Hani darling, you dengar tak apa i dengar? Ada macam bunyi babi tadi kan?” usai mengatakan itu Azman berpaling memandang kedua lelaki tadi dengan muka selamba. “ korang dengar tak?”
“ Woi bapok lu ni kurang hajar sangat ape hal? Kau ni sekali aku terajang mampos!” salah seorang dari lelaki tadi sudah berdiri di hadapan Azman. Tangannya sudah menggenggam kolar baju Azman. Hani di sebelah hanya terdiam. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan.
“ Kau fikir kau punya terajang je ke? Pegi mamposlah! Korang tu yang kurang ajar! Nak terajang, terajanglah!” Azman meludah muka lelaki tadi. Serentak itu juga satu tumbukan yang kuat tepat mengenai pipi Azman. Hani menjerit ketakutan. Dia cuba untuk membantu Azman berdiri namun dihalang oleh lelaki yang satu lagi.
“ Lu minah kalau nak selamat baik lu duduk je dekat situ. Member kau yang pondan ni memang kurang ajar!” Hani hanya mampu menjerit minta Azman dilepaskan bila melihat tubuh Azman dihinjak berkali-kali oleh kedua lelaki tadi. Azman pula menutup tangannya di muka.Dia menjerit kesakitan setiapa kali tubuhnya dipukul.
“ kau tu yang babi bodoh!”Lelaki yang mula-mula memukul Azman tadi tunduk ke muka Azman dan meludahnya kembali. Dia kemudiannya merampas beg Azman dan terus berdiri. Sementara itu lelaki yang seorang lagi sedang bergelut dengan Hani yang sedaya upaya tidak mahu begnya dirampas. Dia berkali-kali menjerit meminta pertolongan. Adengan tarik menarik berlaku dan dengan satu tolakan Hani jatuh ke tanah dan kedua lelaki tadi sudah menaiki motorsikal mereka.
                                      *********************
Hari sudah lewat petang. Jimmy memandu keretanya pulang dari kampus. Hari itu dia terlalu sibuk. Jadualnya padat kerana dipenuhi dengan kelas-kelas ganti yang telah ditangguhkan di awal semester. Jam sudah menunjukkan jam lima setengah petang.
Jimmy memandu agak laju. Dia tidak mahu ketinggalan untuk menunggu Hani hari itu. Camar dan mawar kertas masih belum dia lipat. Nota yang diberikan untuk Hani hari semalam menyatakan yang dia akan berbaju merah hari ini. Tapi kemeja yang dipakainya itu berwarna putih. Dia kelam kabut. Di mindanya dia cuba mengarang secepat mungkin bait-bait puisi untuk dicoretkan di camarnya hari itu. Dia buntu.
Mujur kenderaan tidak banyak di atas jalan hari itu. Jadinya dia dapat memandu dengan laju tanpa banyak halangan. Kalaupun ada cuma lampu traffik yang sedari tadi asyik merah. Dia menyumpah di dalam hati bila terpaksa berhenti di lampu merah sekali lagi. Jika diikutkan hati sudah dilanggar sahaja lampu itu. Jimmy mengeluh panjang. Radio yang dari tadi dipasang perlahan dia kuatkan volumenya. Dia mengangguk-anggukkan kepala mengikut rentak lagu yang berputar di corong radio.
Tiba-tiba dari dalam kereta itu dia dapat melihat jelas seorang perempuan jatuh terduduk ditolak seorang lelaki yang kemudiannya melarikan beg perempuan itu bersama rakannya yang sudah sedia di atas motosikal. Dia juga melihat kelibat seseorang yang terbaring di bawah bangku perhentian bas itu. Tanpa berfikir panjang dia terus memecut keretanya walaupun lampu traffik masih lagi menyala merah. Dia cuba untuk memotong motorsikal itu namun gagal. Berkali-kali dia membunyikan hon namun motosikal itu makin memecut dengan laju.
Jimmy menekan pedal minyaknya. Dia hampir berjaya memotong motosikal tersebut. Di belakang keretanya terdapat sebuah iswara merah yang nampaknya juga sedang mengejar motosikal tersebut. Jimmy memusingkan sterengnya ke sebelah kiri dan melanggar bahagian belakang motor tersebut. Penunggang motosikal tersebut kehilangan keseimbangan lalu mereka berdua jatuh terseret di atas jalan. Jimmy berhenti dan keluar dari kenderaanya. Dia kemudiannya memberkas pembonceng motosikal tadi yang kakinya sudah luka berdarah.
Tanpa Jimmy sedar, lelaki yang membawa motor tadi sudah berdiri dan mengangkat motornya semula. Dia naik ke motornya, memulas pedal dan terus bergerak meninggalkan kawannya yang sudah diberkas Jimmy. Namun pemandu kereta iswara tadi bertindak pantas dengan menghadang jalan penunggang motosikal tadi dan membuatkan dia tersungkur buat kali kedua. Dari dalam kereta iswara itu keluar seorang lelaki dan seorang perempuan yang kelihatan seperti pasangan suami isteri setengah umur. Si suami pantas memberkas penunggang motosikal tadi manakala isterinya mengeluarkan telefon dan menelefon polis.
Beberapa kenderaan lagi berhenti di situ. Masing-masing ingin membantu. Dari tempat dia duduk memegang tangan si peragut tadi Jimmy dapat melihat kelibat seorang perempuan sedang memapah lelaki kurus di sebelahnya menuju ke arah kumpulan orang ramai itu. Bila mereka semakin mendekat, barulah Jimmy kenal dengan wajah itu. “Hani” dia berbisik dalam hati.
“ owh kau meragut ya! Kurang ajar!” seorang lelaki berbadan agak besar datang ke arah Jimmy dan cuba untuk menendang si peragut tadi. Jimmy bertindak pantas dengan menghalang niat lelaki itu.
“ Bang jangan bang! Orang ni dah cedera teruk!”
“ Padan muka dia! Siapa suruh meragut. Kau tengok budak perempuan ni! Kau tengok kawan dia teruk kena pukul!” lelaki tadi menuding jarinya kepada Hani dan Azman yang berdiri di belakang Jimmy. Jimmy terus berpaling ke belakang. Sekali lagi matanya bertentangan dengan Hani. Dia dapat melihat dengan jelas riak terkejut di mata yang digilainya itu. Azman di sebelah Hani pula hanya bersandar di bahu Hani dan seorang lagi lelaki yang memapahnya.
“Nah ni beg awak kan!” Jimmy menghulur beg Hani yang diambilnya dari peragut tadi sambil tersenyum. Hani menerima beg itu dengan senyuman manis di bibirnya.
“ Terima kasih “ Hani terus mengalihkan perhatiannya ke arah Azman di sebelahnya.
“ Beg aku!” Azman menunjuk ke arah begnya yang masih di tangan peragut yang membawa motosikal tadi.
“ Kau ni dah sakit-sakit pun beg kau je yang kau ingat. Jap aku pergi ambil!” Hani meninggalkan Azman di situ. Dia menuju ke motosikal tadi dan mengambil beg Azman. Sebenarnya dia berasa janggal bila duduk berdekatan dengan Jimmy sebentar tadi. Kerna seperti biasanya dia akan gugup. Kali ini Jimmy telah menolongnya dan hatinya tidak boleh dikawal lagi debarannya.
Beberapa minit selepas itu kenderaan polis pun sampai. Beberapa pegawai keluar dan menggari kedua-dua peragut tadi.
“ siapa yang kena ragut ni?” seorang pegawai polis bertanya kepada orang ramai yang ada di situ. Hani dan Azman mengangkat tangan. Orang-orang yang lain pun menudingkan jari ke arah mereka.
“ Zarif kamu bawa dua orang ni ke balai. Awak berdua yang kena ragut tu boleh ikut saya. Kami nak ambil keterangan dan awak boleh buat report sekali. Mana-mana yang terlibat untuk tangkap dua orang tak guna tadi tu pun boleh ikut kami juga. Terima kasihlah kerana bantu, siapa yang tangkap ni tadi?”
Jimmy, pasangan suami isteri tadi, dan beberapa lagi lelaki yang berada di situ mengangkat tangan. Mereka pun memandu kenderaan masing-masing menuju ke balai polis. Semua yang berkumpul tadi bersurai meninggalkan beberapa pegawai polis yang sedang mengangkat motosikal peragut tadi itu.
                             ******************

“ takpe encik. Saya kenal mereka berdua ni. Kami duduk di bangunan yang sama. Saya boleh tolong hantarkan mereka balik ke rumah”
“ Owh kalau macam tu baguslah! Ha yang awak ni betul ke tak mahu pergi hospital?” Pegawai polis itu bertanya kepada Azman yang duduk di sebelah Hani.
“ tak pe encik, saya ok dah. Sakit sikit je ni”
“ ok takpelah kalau macamtu. Tapi kalau betul awak sakit kami boleh hantarkan ke hospital. Baiklah setakat ini awak semua bolehlah balik. Tapi harap boleh beri kerjasama jika kami perlukan awak-awak ni semua sebagai saksi jika kes ni dibawa ke mahkamah kelak” pegawai polis itu sudah berdiri dari kerusinya. Jimmy, Hani, Azman dan pasangan suami isteri itu pun turut bangun dan bersalaman dengan pegawai tadi.
“ ni encik Hazimi, betul nak bawa mereka berdua ni?” sekali lagi pegawai polis itu bertanya kepada Jimmy.
“ Takpe. Kami duduk di kondo yang sama encik. Hmm kalau macam tu kami gerak dululah ya!” sekali lagi dia bersalaman dengan pegawai itu.
“ terima kasihlah kerana membantu kami pihak polis dalam membanteras jenayah ragut ni ya! Harap dapat terus membantu kami. Terima kasih ye En Hazimi, En Zainal, Puan Zaiton. Awak berdua ni lain kali hati-hati ya! Jenayah ni boleh berlaku kat mana-mana pun!”  pegawai polis itu mengucapkan selamat tinggal kepada mereka semua. Pasangan suami isteri tadi pun bersalaman dengan Jimmy, Hani dan Azman lalu meninggalkan mereka bertiga di situ. Mereka bertiga pun menuju ke tempat parkir dimana tempat kereta Jimmy berada. Hani yang berada di sebelah kiri kereta itu dapat melihat dengan jelas kesan kemik di bahadian hadapan kereta biru itu akibat perlanggaran tadi.
“ Kereta awak kemik!” Hani bersuara dan memandang ke arah Jimmy. Azman disebelahnya hanya memerhatikan sahaja kesan kemik itu.
“ hmmm takpe. Sikit je tu. Masuk bengkel ketuk-ketuk sikit dah ok dah. Hmm masuklah!” Jimmy mempelawa Hani dan Azman masuk dan kemudian mereka pun bergerak untuk pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan mereka hanya banyak berdiam. Terutama sekali Azman yang bengkak pipinya akibat ditumbuk sebentar tadi.
“ korang berdua ok ke? Serius tak nak pergi hospital dulu?” Jimmy memulakan bicara.
“ eh takpe, kami nak terus balik rumah je” Hani segera menolak pelawaan itu. Hatinya masih berdegup kencang. Mujur ada Azman di situ. Kalau tidak mungkin dia sudah pengsan .
“ macammana kau tahu kitorang duduk kondominium Datin Aminah tu?” Azman menyuarakan soalannya.
“ saya duduk situ juga. So pernahlah nampak korang berdua kat situ” Jimmy menjawab soalan itu dengan penuh hati-hati. Dia tidak mahu tersilap kata. Padahal dialah yang duduk di tepi tasik menunggu Hani pulang kerja tiga minggu berturut-turut. Padahal dia jugalah yang menjatuhkan origami-origami dari jendela untuk Hani setiap petang.
Hani cuma senyap seribu bahasa. Azman begitu hairan dengan sikap kawannya itu. Dia mengangkat kening memberikan isyarat kepada Hani yang sedang membelek telefon bimbitnya tanpa sebab itu. ‘kenapa?’
Hani faham maksud isyarat yang diberikan Azman yang duduk di sebelahnya di belakang kereta itu. Di lantas menaip sesuatu di telefonnya dan menunjukkannya kepada Azman.
‘Mr Angel’
“hah??!!” Azman tidak dapat mengawal rasa terkejutnya. Dia kemudiannya menutup mulut tanda tidak percaya. Ditenungnya mata Hani dalam dalam dan kemudiannya tersenyum sambil berkata sesuatu. Tapi tiada suara yang kedengaran. Dari gerak mulut dan gaya menggedik Azman, Hani dapat mengagak apa yang cuba dikatakan oleh sahabatnya itu.
‘HENSEM GILAAAAAAAAAAAAAA!!!!’
                                      **********
Kereta berhenti di perkarangan kondominium tersebut. Jimmy memarkir Suzuki Swift nya di tempat biasa.
“ ok dah sampai” Jimmy keluar dari kereta tersebut diikuti oleh Hani dan Azman.
“ Awak terima kasih ye bantu kami. Kalau awak dengan orang-orang tadi takde mesti dah lesap dah beg kami” Hani berkata kepada Jimmy. Azman disebelahnya pula hanya tersenyum kambing melihat wajah Jimmy.
“ takpe, kebetulan saya lalu jalan tu. So saya tolonglah. So jomlah naik!”
“ terima kasih banyak-banyak ye!” Azman pula berterima kasih kepada Jimmy. Bibirnya masih lagi tersenyum lebar. Mereka bertiga pun berjalan menuju ke arah lif dan naik ke atas. Mereka tiba di tingkat lima. pintu terbuka. Hani dan Azman pun keluar dari lif tersebut.
“ awak tak nak singgah dulu ke?” Azman mempelawa Jimmy masuk. Hani disebelahnya sudah sedia mencubit pinggang Azman.
“ hmm takpelah. Saya terus balik rumah. Saya naik dulu” Jimmy menolak pelawaan itu dan terus menekan butang menutup pintu lif tersebut.
“ terima kasih ya! Hati-hati!” Azman melambai mesra ke arah Jimmy. Sementara Hani di sebelahnya hanya diam membisu sambil tersenyum ke arah Jimmy. Pintu lif tertutup dan Jimmy hilang dari pandangan.
“ ya Allah nok!!! Hensem gila!!!” Azman membuat aksi gedik seperti biasanya. Dia memandang Hani dengan wajah penuh ceria. “ Bagi dia kat aku nok!”
“kau ni sakit-sakit pun menggedik kan! Nak ambik kau!’ Hani menumbuk-numbuk mesra badan Azman di sebelahnya,
“ Oi sakitlah! Kau ni tak kesian ke kat aku ni!”
“ padan muka kau! Tulah orang tua-tua cakap kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Nak laser sangat! Ambik kau!” Hani tertawa berdekah-dekah sambil tangannya memasukkan kunci ke dalam tombol pintu.
“ Ha dah balik dah. Kenapa lambat ni? Ya Allah! Apa dah jadi dengan kamu ni Man?” Puan Latifah terkejut melihat Azman. Mendengar suara ibunya yang cemas itu Hadi pun keluar dari biliknya dan menuju ke ruang tamu. Dia pun nyata terkejut dengan keadaan Azman.
“ Kenapa ni kak? Apa dah jadi?” Hadi bertanya kepada Hani. Hani dan Azman pun bercerita kepada ibunya dan Hadi tentang apa yang telah terjadi hari itu. Puan Latifah dan Hadi nyata terkejut mendengar semua itu.
“ Syukurlah kamu berdua tak teruk sangat. Dah Hadi kamu pergi ambil kotak ubat mak letak kat dalam laci sana tu. Ni kalau tak letak ubat ni makin teruk bengkak ni!” Puan Latifah segera mengarahkan Hadi mengambil kotak ubat dan segera menyapukan ubat di muka dan badan Azman yang cedera. Hadi dan Hani hanya memerhatikan sahaja ibu mereka membuat kerja. Sesekali mereka tergelak besar apabila Azman menjerit-jerit kesakitan apabila kapas yang sudah diletakkan ubat itu menyentuh lukanya.
“ auuuchhh sakitlah mak!”
                             *********************

Hani masuk ke bilinya. Begitu banyak yang terjadi hari itu. Dari masalah pelanggannya di pasaraya tadi hinggalah masalah dia dan Azman diragut. Semua itu berlaku dalam satu hari yang membuatkan dia terasa kusut semacam. Mujur penghujung hari itu bahagia. Mujur penghujung hari itu ceria. Azman sudah lama tidur di bilik belakang. Badannya masih lagi bengkak. Tapi tidaklah seteruk mula-mula tadi. Jam sudah menunjukkan jam 11 malam. Namun dia masih belum rasa mengantuk.
Hatinya tidak keruan lagi malam ini. Malah lebih teruk jika dibandingkan dengan malam sewaktu Puan Ros terjatuh tempoh hari. Jauh lebih teruk jika dibandingkan dengan peristiwa dia tersangkut di dalam lif lama dulu. Kali ini dia cukup yakin yang dia sudah gila bayang. Wajah dan senyuman Jimmy bermain di matanya. Bagaimana beraninya lelaki itu mengejar peragut tadi. Bagaimana lelaki itu tersenyum menghulurkan beg tangannya yang diragut petang tadi. Bagaimana baiknya lelaki itu menghantar mereka sampai ke rumah. Dia rasa gila. Di saat-saat genting seperti itu Jimmy datang menyelamatkannya. Tiba-tiba dia merasakan dirinya itu Mary Jane yang punya Peter Parker yang sentiasa ada untuk menyelamatkannya. Namun baginya Peter Parker versi yang ini jauh lebih kacak. Terlalu kuat untuk menggoncang naluri wanitanya.
Hani duduk di meja soleknya. Dia tersenyum sendiri melayan perasaannya waktu itu. Tiba-tiba dia bangun. Wajahnya kelihatan gusar. Bunga-bunga kertas di atas meja itu mengingatkan dia pada Camar Kertas.
“ omg aku lupa!” Hani segera keluar dari biliknya. Sudah tiada sesiapa di ruang tamu. Ibunya dan Hadi pun sudah masuk tidur. Dia capai topinya yang disangkut di balik pintu dan terus keluar rumah menuju ke arah lif.
Sesampainya di bawah dia terus berlari ke arah rimbunan pandan yang biasa. Malam itu hujan turun renyai-renyai. Hantinya berbisik ‘please jangan basah!’
Dia tiba di rimbunan pandan itu. Keadaan tanah sedikit becak. Matanya melilau mencari jikalau masih ada camar ataupun mawar kertas terdapat di kawasan itu. Namun dia hampa. Puas dia menyelak helaian daun-daun pandan mencari jikalau ada origami itu terselit disebaliknya. Bajunya sudah mulai basah disirami hujan. Mujur dia bertopi. Puas mencari di situ dia bergerak pula ke kawasan sekitar rumpun pandan itu. Namun dia kecewa. Tidak ada sebarang origami mahupun kertas berwarna putih di situ.
Dengan wajah yang muram dia kembali ke arah lif. Ketika itu barulah dia sedar yang dia sebenarnya sudah basan lencun. Dia segera membuka topinya yang basah itu dan menggosok rambutnya dengan tangan. Keadaanya persis orang baru lepas mandi. Mujur tidak ada sesiapa di situ. Dia terus menekan butang naik dan ingin segera balik ke rumah. Skrin di atas pintu lif masih menunjukkan nombor 6. Hani yang kesejukan itu berpeluk tubuh dengan rambutnya yang mengurai ke depan. Topinya masih lagi di tangan. Matanya cuma memandang pintu lif berharap ia segera terbuka. Rasa kecewa dan kesejukan itu membuatkan dia begitu tak bermaya.
Pintu lif terbuka. Hani ingin segera masuk ke dalam lif tersebut. Namun dia terhenti di situ. Matanya tertumpu ke arah seorang lelaki yang berdiri di dalam lif tersebut. Lelaki itu cukup dikenalinya. Hani tergamam. Jimmy berdiri di hadapannya sekarang. Lelaki itulah tadi yang tersenyum memberikan beg tangannya yang diragut. Lelaki itulah tadi yang tersenyum bila dia mengucapkan tanda terima kasih kerana menghantarnya pulang. Tetapi kali ini lelaki itu berwajah muram. Matanya basah dengan linangan air mata. Hani kelu untuk bersuara. Bibirnya ingin dilenturkan untuk mengkir senyum namun dia kaku.
Menyedari yang pintu lif sudah terbuka dan ada orang di hadapannya, Jimmy segera menyapu air matanya. Seboleh mungkin dia cuba untuk tersenyum sambil menyembunyikan rasa sedihnya.
“ hi” itu sahaja yang keluar dari mulut Jimmy. Senyum yang dipaksakan itu diberikan kepada Hani yang masih kaku di depan pintu lif. Jimmy terus keluar dari lif tersebut dan berjalan dengan pantas menuju ke keretanya. Hani hanya melihat sahaja gelagat lelaki itu. Dia cuba ingin bersuara menegur atau bertanyakan apa-apa kepada Jimmy. Namun dia tidak berani. Melihat air mata lelaki itu membuatkan dia terlupa betapa manisnya senyum lelaki petang tadi. Membuatkan dia terlupa betapa cerahnya sinaran mata lelaki itu sebentar tadi. Hatinya tidak keruan sekarang. Dia buntu.
Matanya terus memerhatikan kereta bewarna biru itu menghilang dari pandangan. Pintu lif sudah tertutup kembali. Di tekan lagi butang naik. Pintu terbuka dan dia terus masuk ke dalam. Hatinya jelas tertanya-tanya apakah yang terjadi kepada lelaki itu. Apakah masalah yang membuatnya menitiskan air mata seperti itu. Hani gelisah. Dia masuk ke biliknya dan terus ke bilik air kerana pakaiannya yang basah itu. Dia duduk termenung memandang cermin. Paip air dibuka dan dia terus tenggelam dalam kerisauannya.
                                      ********************

 -tamat episode 5-


INI LAGU YANG AKU TULISKAN KHAS UNTUK EPISODE INI

AKU ADA KAMU

hariku yang ku lalui diam sepi gelita tanpamu di sisi
dan setiap apa yang terjadi pasti resah gelisah bermain di hati

tanpamu di sisiku tak pernah ku bahagia
tanpamu bersamaku tak pernah ku ceria

kau kasih semuanya untukmu
takkan pernah ku berpaling kau hanya satu

disetiap adanya dirimu penuh warna warni disegenap hariku
hadirmu disisiku tak pernag ku derita
hadirmu bersamaku takkan ada bosannya

engkaulah segalanya untukku bahagia
dan engkaulah segalanya untukku ceria
engkaulah segalanya pengubat derita
kuberharap ku akan ada kamu selama-lamanya

aku ada kamu: deedymarji
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by AllBlogTools.com Enhanced by MyBloggerTricks.com

No comments: